KAI Berikan Komitmen Enam FA-50M Diserah Akhir Tahun Depan – Panglima TUDM
Komitmen Korea Aerospace Industries untuk mempercepat penghantaran FA-50M Block 20 menandakan fasa kritikal pemodenan kuasa udara Tentera Udara Diraja Malaysia di tengah tekanan keselamatan serantau.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak Korea Aerospace Industries (KAI) telah memberikan komitmen untuk menyerahkan enam buah pesawat pejuang ringan FA-50M (Block 20) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada penghujung tahun depan.
Perkara itu dinyatakan oleh Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris kepada media tempatan.

Beliau berkata bahawa baki 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50M itu akan diserahkan kepada secara berperingkat kepada TUDM mulai tahun 2027 sehingga penghantaran pesawat-pesawat pejuang ringan itu selesai sepenuhnya.
Komitmen penghantaran enam buah FA-50M pada penghujung tahun depan ini menandakan titik permulaan kritikal dalam fasa peralihan struktur kuasa udara TUDM, khususnya ketika negara berdepan kekangan inventori pesawat tempur yang semakin berusia.
Penyerahan berperingkat baki 12 buah pesawat mulai 2027 membolehkan TUDM melaksanakan penjanaan keupayaan secara beransur-ansur tanpa mengganggu kesinambungan operasi harian dan kesiapsiagaan pertahanan udara negara.
Dari sudut perancangan strategik, jadual penghantaran ini memberikan ruang yang lebih realistik untuk penyelarasan latihan juruterbang, teknikal dan sokongan logistik secara selari dengan kemasukan platform baharu.
Langkah KAI memenuhi komitmen penghantaran awal turut memperkukuh kredibiliti Korea Selatan sebagai rakan industri pertahanan yang boleh dipercayai dalam melaksanakan kontrak bernilai tinggi di bawah tekanan jadual dan keperluan operasi pelanggan.
Dalam konteks serantau, kemasukan awal FA-50M ke dalam inventori TUDM berpotensi mengubah imbangan kualitatif kuasa udara Malaysia, terutamanya dalam peranan pemantauan, pemintasan dan serangan tepat di kawasan maritim strategik.
Penjadualan penghantaran berperingkat juga membolehkan TUDM mengintegrasikan FA-50M secara sistematik ke dalam doktrin operasi sedia ada tanpa keperluan penyesuaian drastik yang berisiko tinggi.
Secara keseluruhan, komitmen penghantaran ini mencerminkan pendekatan pemodenan yang pragmatik, berfasa dan berorientasikan keupayaan, selaras dengan keperluan keselamatan Malaysia dalam persekitaran strategik yang semakin mencabar.
Enam FA-50M Tiba Lebih Awal, Jadual Penghantaran Dipacu Ke Hadapan
Sebelum ini, sumber industri memberitahu Defence Security Asia bahawa kemajuan terkini pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM itu adalah lebih cepat daripada jadual asal, menggambarkan keberkesanan program pembinaannya oleh syarikat KAI.
“Progress program pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM telah pun melebihi daripada jadual asal daripada apa yang terkandung dalam kontrak,” menurut sumber itu.
Sebelum ini dinyatakan bahawa TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat FA-50M pada Oktober 2026, tetapi kenyataan terkini daripada Panglima TUDM menyatakan bilangan itu telah meningkat kepada enam buah.
Kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M itu akan beroperasi daripada Pangkalan TUDM Kuantan.
Ketika melawat Korea Selatan pada November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan proses penghantaran 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperolehi Malaysia daripada Korea Selatan itu dipercepatkan.
Beliau mahukan proses penghantaran pesawat pesawat pejuang ringan milik TUDM yang dibangunkan oleh KAI itu disegerakan.
“Kita meminta disegerakan (proses) pembelian yang beberapa tahun lalu diputuskan (iaitu) 18 unit pesawat FA-50M, yang sepatutnya sampai pada 2026.
“Kalau boleh dipercepatkan,” kata Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan tetapi tidak menjelaskan dengan lanjut tempoh sepatutnya Malaysia menerima pesawat pejuang ringan itu.
Kementerian Pertahanan Malaysia dan KAI menandatangani kontrak bernilai RM4 billion ketika LIMA 2023 untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (FA-50 Block 20).

FA-50M Varian Paling Canggih, Setara dengan FA-50PL Poland
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.
Ditemu ramah oleh Bernama di Pulau Langkawi ketika LIMA 2023, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata varian FA-50M yang diperoleh Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan jika dibandingkan dengan varian FA-50 yang dioperasikan oleh Tentera Udara Republik Korea (ROKAF).
Keupayaan FA-50M yang diperoleh TUDM meletakkan Malaysia negara pengguna FA-50 yang menerima konfigurasi hampir setara dengan Poland, yang menekankan keupayaan tempur sebenar dan bukan sekadar peranan latihan lanjutan.
Pemilihan konfigurasi bertahap tinggi ini mencerminkan keperluan operasi TUDM untuk mengisi jurang keupayaan antara pesawat latihan lanjutan dan pesawat tempur barisan hadapan, terutamanya dalam persekitaran keselamatan serantau yang semakin berlapis dan berintensiti tinggi.
Dari sudut teknikal, FA-50M direka untuk beroperasi sebagai platform tempur pelbagai peranan dengan keupayaan beyond-visual-range (BVR), serangan darat berketepatan tinggi dan integrasi rangkaian data taktikal moden.
Kesetaraan FA-50M dengan FA-50PL Poland juga menandakan tahap kepercayaan industri pertahanan Eropah terhadap kematangan reka bentuk FA-50 sebagai platform yang boleh disesuaikan untuk keperluan operasi NATO dan bukan NATO.
Dalam konteks Asia Tenggara, konfigurasi FA-50M TUDM melepasi tahap keupayaan pesawat FA-50 yang dioperasikan oleh beberapa negara jiran, sekali gus memberikan kelebihan kualitatif dari segi sensor, integrasi senjata dan kesedaran situasi.
Langkah Malaysia untuk memperoleh varian paling canggih ini turut mengurangkan risiko keusangan awal, memandangkan seni bina FA-50M direka dengan ruang pertumbuhan (growth margin) untuk naik taraf masa hadapan.
Secara keseluruhan, pemerolehan FA-50M dalam konfigurasi premium ini menandakan peralihan TUDM ke arah pendekatan pemodenan yang lebih selektif dan berasaskan keupayaan, berbanding pemilihan platform secara kuantitatif semata-mata.
Latihan Juruterbang TUDM di Korea Selatan Bermula 2026
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa latihan juruterbang akan bermula pada awal tahun 2026 melibatkan enam orang juruterbang untuk tempoh di antara tiga hingga enam bulan.
Ia akan meliputi dengan latihan menggunakan simulator.
Latihan itu akan dilaksanakan di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) di Gwangju, negara Asia Timur itu.
“Latihan intensif itu akan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 Golden Eagle yang dibangunkan secara bersama di antara KAI dan Lockheed Martin dari Amerika Syarikat.
“Hanya selepas latihan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 Golden Eagle itu, mereka (juruterbang TUDM) akan beralih untuk mengendalikan pesawat pejuang ringan FA-50M sebenar,” kata sumber itu.
Latihan juruterbang TUDM di Korea Selatan ini mencerminkan pendekatan berfasa yang berhati-hati bagi memastikan peralihan ke platform FA-50M berlaku dengan risiko operasi yang minimum serta tahap kesiapsiagaan tempur yang optimum.
Pemilihan pangkalan ROKAF di Gwangju sebagai lokasi latihan turut memberikan pendedahan awal kepada persekitaran operasi udara berintensiti tinggi, sejajar dengan doktrin peperangan udara moden yang menekankan kesedaran situasi, integrasi rangkaian dan pengurusan beban misi yang kompleks.
Penggunaan pesawat latihan lanjutan T-50 Golden Eagle sebagai platform peralihan membolehkan juruterbang TUDM membiasakan diri dengan seni bina avionik, sistem kawalan penerbangan digital serta falsafah operasi yang hampir identik dengan FA-50M.
Pendekatan latihan ini juga mengurangkan jurang kecekapan (capability gap) antara fasa latihan dan fasa operasi sebenar, sekali gus mempercepatkan proses penjanaan skuadron FA-50M yang benar-benar berkeupayaan tempur.
Dalam konteks lebih luas, pelaburan terhadap latihan awal juruterbang ini menegaskan bahawa pemerolehan FA-50M bukan sekadar pembelian platform, tetapi satu usaha pembinaan keupayaan jangka panjang yang menyentuh aspek modal insan, doktrin dan kesiapsiagaan strategik TUDM.
Radar AESA, Sniper ATP dan Integrasi Senjata Moden Perkukuh Keupayaan Tempur
Antara perbezaan utama varian FA-50M milik Malaysia dengan varian FA-50 milik tentera-tentera udara negara lain adalah — pesawat pejuang ringan milik TUDM dan Tentera Udara Poland itu dilaporkan bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.
Radar AESA PhantomStrike itu dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, RTX.
Mengenai radar AESA yang menjadi pilihan pesawat pejuang ringan FA-50M TUDM itu, radar AESA PhantomStrike adalah memiliki kriteria Low Size, Weight and Power (SWaP).
Radar AESA itu direka untuk diintegrasikan kepada pelbagai platform termasuk pesawat pejuang ringan, pesawat berkepak, sistem pesawat tanpa pemandu dan menara-menara bagi memberikan kemampuan pengesanan dan penjejakan ancaman jarak jauh.
Radar AESA PhantomStrike menggunakan kuasa gallium nitride (GaN), digital beamforming dan steering, digital receiver/exciter, processor dipanggil Chirp yang telah dibangunkan oleh Raytheon Missiles & Defense.
RTX mendakwa bahawa radar AESA PhantomStrike memberikan keupayaan tinggi kepada penggunanya bagi membolehkan mereka tahap kesedaran yang tinggi terhadap apa yang berlaku di medan peperangan pada sebahagian daripada kos sistem radar tradisional.
Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.
Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.
Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.
Kemampuan Sniper ATP untuk “plug and play” membolehkan ia digunakan oleh pelbagai platform tanpa perlu menukar software.
Antara kemampuan pod sasaran Sniper ATP termasuklah mid-wave Forward Looking Infrared (FLIR) definisi tinggi, HDTV, dual-mode laser, laser spot tracker, laser marker, video data link, digital data recorder.
Pod sasaran keluaran syarikat Lockheed Martin itu juga memiliki kemampuan untuk menjejak sasaran taktikal menerusi imagery real-time yang disalurkan kepada paparan di kokpit.
Sniper ATP juga adalah sesuai untuk digandingkan dengan bom-bom “J-Series” yang terkini untuk digunakan terhadap sasaran bergerak dan sasaran kekal.
Penggunaan Sniper ATP oleh pesawat-pesawat FA-50M TUDM juga adalah baik untuk atas dasar Commonality dengan pesawat-pesawat F/A-18D Hornet milik negara yang juga akan dilengkapkan dengan pod sasaran Sniper ATP itu.
Penggunaan Sniper ATP oleh pesawat-pesawat F/A-18D Hornet TUDM itu adalah sebahagian daripada Mid-Life Upgrade (MLU).
Jabatan Negara Amerika Syarikat telah pun mengumumkan kemungkinan penjualan 10 unit Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bernilai US$80 juta (RM379 juta).
Diumumkan pada 7 Mei tahun lali bahawa kelulusan telah diberikan terhadap penjualan 10 unit Sniper ATP berikutan permintaan daripada kerajaan Malaysia berkemungkinan untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang F/A-18D milik TUDM.
Cadangan penjualan itu meliputi data-data teknikal dan publikasi, latihan anggota, peralatan latihan dan perisian, elemen-elemen lojistik dan program bantuan.
“Cadangan penjualan (Sniper ATP) itu akan meningkatkan kemampuan Malaysia dalam menangani ancaman pada masa ini dan masa depan dengan memodenkan pesawat F/A-18D dengan pod sasaran yang sama.
Cadangan penjualan juga akan menangani kebimbangan keusangan pada masa depan dan memberikan TUDM memenuhi keperluan operasi pada masa depan. Malaysia tidak akan menghadapi kesukaran menggunapakai peralatan ini dalam angkatan tenteranya,” menurut kenyataan oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA).
Kontraktor utama adalah syarikat Lockheed Martin yang membangunkan Sniper ATP itu.
Pada ketika ini, TUDM mengoperasikan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang dibangunkan oleh syarikat Boeing.
pesawat FA-50 Block 20 Malaysia itu juga dipasang dengan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.
Sebanyak 18 buah pesawat FA-50M yang diperolehi Malaysia pada harga lebih RM4 bilion juga dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” (military tactical data link) yang selamat, secure, bebas daripada usaha pemintasan pihak musuh dan lain-lain lagi.
Selain itu varian pesawat itu juga akan dilengkapi dengan meriam 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration, GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.
Varian pesawat FA-50M juga dilaporkan akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) iaitu “Cobham Mission System” yang dibangunkan oleh syarikat Cobham daripada United Kingdom.
Kemudahan pengisian minyak di udara akan memastikan pesawat FA-50M beroperasi lebih jauh dan berada di udara lebih lama.
“Daripada Latihan kepada Tempur: Bagaimana FA-50 Muncul sebagai Aset Kuasa Udara Pilihan Negara-Negara Sedang Membangun”
Penggunaan pesawat FA-50 oleh negara-negara lain di luar Malaysia menunjukkan bagaimana platform ini telah berkembang daripada sekadar pesawat latihan lanjutan kepada aset tempur ringan yang berdaya guna dalam pelbagai persekitaran operasi.
Tentera Udara Republik Korea (ROKAF), sebagai pengguna asal, telah memanfaatkan FA-50 terutamanya untuk misi pertahanan udara, latihan lanjutan dan rondaan bersenjata, sekali gus mengesahkan kebolehpercayaan asas reka bentuk pesawat tersebut.
Filipina pula menggunakan FA-50PH sebagai tulang belakang keupayaan jet tempurnya, dengan platform itu terbukti berkesan dalam misi serangan darat, sokongan udara rapat dan operasi keselamatan dalaman.
Pengalaman Filipina memperlihatkan bahawa FA-50 mampu beroperasi secara konsisten dalam iklim tropika dan dari infrastruktur pangkalan udara yang terhad, satu faktor penting bagi negara-negara membangun.
Iraq, sebagai pengguna FA-50IQ, memilih pesawat ini untuk mengisi jurang kritikal dalam keupayaan sokongan udara rapat dan serangan tepat selepas tempoh konflik berpanjangan, menandakan nilai FA-50 sebagai platform pemulihan keupayaan (capability regeneration).
Di Eropah, pemilihan FA-50PL oleh Poland mencerminkan penerimaan FA-50 sebagai penyelesaian interim yang kredibel untuk mengukuhkan keupayaan tempur sambil menunggu penjanaan kekuatan pesawat generasi lebih tinggi.
Kesemua pengalaman pengguna ini menunjukkan bahawa FA-50 mempunyai fleksibiliti tinggi untuk disesuaikan mengikut keperluan doktrin, ancaman dan kekangan bajet setiap negara.
FA-50 juga semakin dilihat sebagai elemen penting dalam konsep “high-low mix”, di mana ia melengkapkan pesawat tempur barisan hadapan yang lebih mahal dan kompleks.
Kebolehan FA-50 untuk diintegrasikan dengan senjata pintar, pod sasaran dan rangkaian data taktikal moden menjadikannya relevan dalam landskap peperangan udara kontemporari.
Secara keseluruhan, rekod operasi FA-50 di pelbagai negara mengukuhkan reputasinya sebagai platform tempur ringan yang matang, boleh dipercayai dan berkesan dari sudut kos, sekali gus menjelaskan mengapa semakin banyak tentera udara mempertimbangkannya sebagai komponen utama struktur kuasa udara mereka. — DEFENCE SECURITY ASIA
