Amerika Tolak Hasrat Thailand Miliki F-35, Beri Alasan Bangkok “Belum Bersedia”
Walaupun Washington memberikan alasan Bangkok tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan yang diperlukan untuk mengoperasi F-35 tetapi bagi penganalisis, sebab utama penolakan itu adalah kerana hubungan yang rapat antara Thailand dengan China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah menolak hasrat Thailand untuk membeli pesawat F-35 Joint Strike Fighter yang dibangunkan oleh firma pertahanan, Lockheed Martin, dengan alasan negara Asia Tenggara itu “belum bersedia” untuk mengoperasikan pesawat canggih itu.
Menurut media-media di Thailand, Washington telah memaklumkan bahawa belum tiba masanya untuk negara Asia Tenggara itu memiliki pesawat generasi kelima itu.
Bagaimanapun penganalisis di negara itu mendakwa sebab utama Washington menolak hasrat Bangkok untuk membeli F-35 adalah kerana hubungan rapat di antara kepimpinan kini Thailand dengan China.
“Menurut sumber daripada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), Duta Amerika ke Thailand Robert Gordec telah bertemu dengan panglima RTP Alongkorn Wannarot untuk menyampaikan keputusan oleh kerajaan Amerika Syarikat itu,” kata sumber itu kepada akhbar berkenaan.
Pertemuan itu dikatakan berlangsung di ibu pejabat RTAF di Don Mueang kira-kira dua minggu lepas.
Sumber itu juga berkata bahawa Thailand tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat itu.
Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat itu.
Duta Amerika itu menyatakan bahawa Washington bersedia untuk berbincang dengan Bangkok sekali lagi sekiranya negara Asia Tenggara itu telah bersedia untuk memiliki pesawat generasi kelima itu pada masa depan.
Sebaliknya Amerika Syarikat telah menawarkan kepada Thailand pesawat-pesawat pejuang lain untuk dipertimbangkan oleh negara itu bagi menggantikan keengganannya menjual pesawat F-35 itu.
Washington dikatakan telah menawarkan kepada Thailand, varian terkini F-16 Block 70 dan juga F-15 berkemunginan varian “EX” sebagaimana yang bakal dimiliki oleh Indonesia.
Bagaimanapun, setakat ini tiada respons daripada Thailand berkenaan tawaran Amerika Syarikat untuk menjual F-16 Block 70 atau F-15 itu.
Sementara itu laporan di Thailand juga menyatakan bahawa Bangkok berkemungkinan akan menambah pegangan pesawat pejuang Saab Gripen dengan membeli 12 buah lagi, bagi membawa jumlah keseluruhan pesawat itu dalam RTAF kepada 24 buah.
Kesemua 11 buah pesawat pejuang Gripen (sebuah terhempas) kini ditempatkan di pangkalan udara di Surat Thani, selatan Thailand.
Thailand sebelum ini menyatakan hasratnya untuk memiliki 12 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35A menjelang tahun 2034, menjadi negara kedua di Asia Tenggara untuk mengoperasi pesawat canggih itu, sekira hasrat itu menjadi realiti.
Jika hasrat Thailand itu direalisasikan, maka negara itu akan mengikut jejak Singapura memiliki pesawat F-35A.
Perolehan pesawat-pesawat F-35 oleh Tentera Udara Thailand itu akan dibahagikan kepada tiga fasa.
Fasa pertama akan melihat Thailand memperolehi dua buah pesawat F-35A diantara tahun 2026 dan 2027, maka fasa kedua pula akan melihat negara Asia Tenggara itu memperolehi empat buah pesawat pejuang generasi kelima itu.
Fasa ketiga dan terakhir dalam program perolehan oleh Tentera Udara Thailand itu akan melihat negara itu memperolehi enam buah pesawat F-35A menjelang tahun 2032.
Pada Februari lalu, Singapura mengumumkan bahawa ia membeli lapan buah lagi pesawat pejuang generasi kelima, F-35 keluaran syarikat Lockheed Martin itu.
Perolehan lapan buah lagi pesawat pejuang F-35 akan menjadikan jumlah keseluruhan pesawat pejuang generasi itu yang dimiliki Singapura sebanyak 12 buah. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com