F-15SG Singapura Kena “Tapau” Dengan F-35 Dalam Pitch Black 2022?
Walaupun bilangan pesawat F-35 itu kurang berbanding bilangan pesawat “musuh” dalam Latihan Pitch Black 2022, tetapi pesawat generasi kelima yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu masih mampu mensasarkan dan menembak jatuh kesemua pesawat "musuh" itu termasuk F-15SG Singapura.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Prestasi amat baik yang ditunjukkan oleh pesawat-pesawat F-35 dalam Latihan Pitch Black 2020 yang baru sahaja berakhir di Australia telah membuatkan Singapura semakin tidak sabar untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima itu.
Malah, republik di selatan tanahair itu bukan sahaja tidak sabar untuk memperolehi pesawat F-35 yang dipesannya pada 2020 itu, tetapi laporan terkini mengatakan ia mahu menambah bilangan pesawat itu.
Pada 2020, Singapura dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bersetuju untuk memperolehi empat buah pesawat F-35B yang merupakan varian Short Take-Off Vertical Landing (STOVL) dan tambahan lapan buah lagi.

Amerika Syarikat akan mula menghantar pesawat-pesawat F-35B yang dipesan oleh Tentera Udara Singapura bermula daripada tahun 2026.
Kini Singapura dilaporkan sedang mengkaji untuk memperolehi varian lain pesawat F-35 itu bagi menggantikan kira-kira 60 buah F-16C/D miliknya bermula daripada tahun 2030.
Mengapa Tentera Udara Singapura tidak “sabar-sabar” untuk memiliki pesawat F-35 itu?
Jawapannya berkemungkinan datang daripada laporan/analisis daripada juruterbang-juruterbangnya yang berpeluang untuk menguji kemampuan mereka dengan pesawat F-35 dalam pertempuran udara olok-olok semasa Latihan Pitch Black 2022 itu.
Dalam laporan portal Kementerian Pertahanan Singapura mengenai Latihan Pitch Black 2022 itu, ia melaporkan bahawa pesawat F-35 (tidak dinyatakan milik negara mana) telah terlibat dalam “misi” menentang pesawat musuh dalam pertempura olok-olok itu.

Walaupun bilangan pesawat F-35 itu kurang berbanding bilangan pesawat “musuh”, tetapi pesawat generasi kelima yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu masih mampu mensasarkan pesawat musuh itu dan menembak jatuh kesemuanya.
Salah sebuah pesawat yang bertindak menjadi “musuh” dalam pertempuran udara olok-olok dengan F-35 itu adalah pesawat F-15SG milik Tentera Udara Singapura.
Comments are closed.