Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Akibat Tertinggal Lampu Suluh, Pesawat F-35 Alami Kerosakan Bernilai US$4 Juta (RM18 Juta)

Menurut laporan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat, ketika kerja-kerja penyelenggaraan terhadap pesawat pejuang F-35 milik 56th Fighter Wing dilakukan pada waktu malam 15 Mac tahun lepas, lampu suluh terbabit yang ditinggalkan oleh krew terbabit telah disedut ke dalam enjin itu menyebabkan kerosakan.

8,329

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang generasi ke-lima F-35 terpaksa menjalani kerja-kerja pembaikan dianggar menelan belanja US$4 juta (RM18 juta) disebabkan kecuaian krew penyelenggaraan kerana tertinggal lampu suluh kecil (handheld flashlights) di dalam inlet enjin pesawat itu ketika enjin itu dihidupkan.

Kejadian pada 2023 itu berlaku di Pangkalan Udara Luke di Arizona, menurut laporan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) baru-baru ini.

Ketika kerja-kerja penyelenggaraan terhadap pesawat pejuang F-35 milik 56th Fighter Wing pada waktu malam 15 Mac lepas, lampu suluh terbabit yang ditinggalkan oleh krew terbabit telah disedut ke dalam enjin itu menyebabkan kerosakan pada enjin,

Ketika proses penyelenggaraan itu, tiga orang krew menghidupkan enjin pesawat pejuang itu tanpa melakukan kerja-kerja pemeriksaan standard yang perlu dilakukan bagi memastikan tiada objek asing sebelum enjin itu dihidupkan.

“Hanya apabila krew cuba mematikan enjin itu apabila mereka terdengar bunyi yang agak lain daripada normal. Tiada krew penyelenggaran cedera dalam insiden itu,” menurut laporan yang dipetik oleh media pertahanan Amerika Syarikat.

Pasukan penyiasatan mendapati krew-krew penyelenggaraan itu tidak mematuhi arahan sebagaimana terkandung di dalam senarai pemeriksaan “Joint Technical Data” yang menyebabkan mereka tertinggal lampu suluh itu.

F-35

Akibat kecuaian krew-krew teknikal itu tertinggal lampu suluh sehingga menyebabkan ia disedut ke dalam enjin pesawat F-35 itu, telah mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa komponen mahal milik pesawat itu.

Antara komponen-komponen pesawat yang rosak adalah second stage rotor, third stage rotor, fifth stage rotor, sixth stage rotor, fuel nozzle, bypass duct, high pressure compressor, high pressure turbine dan fan inlet variable vane, menurut laporan terbabit.

Secara keseluruhannya, kos kerosakan yang dialami oleh pesawat pejuang F-35 itu dianggarkan bernilai US$3,933,106 juta (RM18 juta).

Laporan siasatan membuat kesimpulan bahawa krew teknikal gagal memastikan tiada lagi objek asing di inlet enjin selepas melakukan pemeriksaan terhadap enjin sebelum bertindak menghidupkan enjin pesawat F-35 itu.

“Kegagalan menyelesaikan senarai pemeriksaan terhadap enjin telah mengakibatkan lampu suluh itu tertinggal di dalam inlet jet sehingga menyebabkan ia disedut ke dalam enjin apabila ia dinyalakan.”

Pada Disember tahun lepas, Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) mengumumkan bahawa ia terpaksa menamatkan perkhidmatan sebuah pesawat pejuang F-35A miliknya yang mengalami kerosakan selepas terlanggar seekor burung dalam insiden yang berlaku pada Januari tahun lepas.

F-35
F-35 milik Korea

 

Menurut agensi berita Yonhap, ROKAF dalam satu analisis yang dilakukannya bersama syarikat pembuat pesawat pejuang generasi kelima itu, Lockheed Martin mendapati sejumlah 300 komponen pesawat itu mengalami kerosakan akibat insiden pelanggaran dengan burung pada Januari 2022.

Kerosakan-kerosakan itu termasuklah di bahagian airframe, struktur, enjin dan kawalan dan sistem navigasi.

“Memandangkan kosnya yang tinggi dan tempoh yang panjang untuk memperbaikinya serta kebimbangan tentang keselamatan,maka Jawatankuasa Penilaian Tentera Udara Korea Selatan memutuskan adalah lebih baik untuk menamatkan perkhidmatan pesawat itu daripada memperbaikinya.”

“Rancangan itu (menamatkan khidmat F-35A) itu akan dilaksanakan dengan kelulusan daripada Kementerian Pertahanan,” menurut ROKAF dan menambah ia tidak menyangka bahawa kerosakan dialami oleh pesawat itu adalah lebih teruk daripada disangka.

Kos memperbaiki pesawat pejuang itu dianggarkan mencecah 140 bilion Won atau kira-kira US$107.6 juta (RM481 juta).

F-35A
ROKAF F-35A

 

Kos pembaikan itu adalah jauh lebih tinggi daripada kos perolehan pesawat itu daripada Amerika Syarikat yang berjumlah 110 bilion Won atau US$85 juta (RM382 juta).

“Disebabkan jurang kewangan di antara kos pembaikan dan kos perolehan itu, maka Tentera Udara Korea Selatan berpendapat adalah lebih baik untuk menamatkan/melupuskan perkhidmatan pesawat pejuang generasi kelima itu.”

Pesawat pejuang F-35A yang malang itu adalah salah satu daripada 40 buah pesawat pejuang generasi kelima yang dimiliki oleh ROKAF, yang menggunakan landasan konvensional untuk berlepas dan mendarat. — DSA

To contact email: [email protected]

Comments are closed.