Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hanya 55 Peratus Pesawat F-35 Amerika “Mampu Laksana Operasi” Ketika Ini

Badan pemantau itu yang dipanggil, Government Accountability Office (GAO) dalam laporannya menyatakan bahawa hanya 55 peratus daripada keseluruhan pesawat pejuang F-35 milik Amerika Syarikat itu mampu "melaksana operasi" (mission capable) pada ketika ini.

0 947

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya 55 peratus daripada keseluruhan pesawat pejuang generasi kelima milik Amerika Syarikat, F-35 berkemampuan melaksanakan satu-satu misi yang diamanahkan kepadanya pada ketika ini, menurut sebuah badan pemantau negara kuasa besar itu.

Badan pemantau itu yang dipanggil, Government Accountability Office (GAO) dalam laporannya menyatakan bahawa lebih separuh daripada keseluruhan pesawat-pesawat pejuang termoden milik Amerika Syarikat itu tidak mampu melaksanakan operasinya disebabkan beberapa isu yang kritikal.

Badan itu menyifatkan peratusan kesiagaan operasional (operational readiness) pesawat F-35 yang dimiliki oleh Amerika Syarikat itu adalah “terlalu rendah dan tidak boleh diterima.”

“Kadar kemampuan melaksanakan misi pesawat-pesawat F-35 berada pada tahap 55 peratus pada bulan Mac 2023, jauh dibawah sasaran program,” menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Khamis.

“Jika hanya 55 peratus daripada pesawat-pesawat pejuang itu mampu beraksi berbanding 80 hingga 85 peratus, maka pembayar cukai tidak mendapat apa yang sepatutnya,” kata laporan itu.

F-35
F-35A ROKAF (Republic of Korea Air Force)

 

Ia berkata program pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin lambat dalam melaksanakan aktiviti penyelenggaraan di peringkat depot untuk memperbaiki.

Pada ketika ini, pesawat-pesawat F-35 Amerika memerlukan 141 hari untuk diperbaiki berbanding 90 sehari daripada yang dirancang.

“Hasil daripada kelewatan dalam melaksanakan aktiviti penyelenggaraan di peringkat depot itu telah menyebabkan tempoh masa memperbaiki komponen adalah perlahan, dengan 10,000 komponen sedang menunggu untuk diperbaiki – kadar yang lebih tinggi daripada apa yang disasarkan,” menurut laporan itu.

Laporan itu seterusnya menyatakan bahawa Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat memerlukan sejumlah US$1.3 trillion (RM5.85 trillion) untuk terus memastikan pesawat canggih itu terus “terbang” selepas segala penyelenggaraan dilakukan.

Walaupun berhadapan dengan masalah berkaitan dengan program F-35, laporan oleh badan pemantau GAO itu juga menyatakan bahawa pentadbiran Presiden Jo Biden dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat tetap komited membelanjakan US$1.7 trillion (RM7.6 trillion)  untuk membeli sejumlah 2,500 pesawat pejuang F-35 untuk tentera Amerika Syarikat.

“Dalam dekad akan datang, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat merancang untuk membelanjakan US$1.7 trillion (RM7.6 trillion) untuk perolehan 2,500 pesawat F-35,” menurut laporan itu, sambil menambah bahawa sebahagian besar daripada peruntukan itu akan dibelanjakan untuk tujuan operasi, penyelenggaraan dan memperbaiki pesawat canggih itu.

F-35
F-35

 

Sejak bermulanya program pembangunan pesawat pejuang F-35 itu, pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan dengan pesawat generasi kelima itu.

Laporan oleh badan pemantau itu dikeluarkan kira-kira seminggu selepas satu lagi kemalangan membabitkan pesawat pejuang F-35 itu di di South Carolina.

Dalam kejadian itu,  sebuah pesawat pejuang halimunan F-35B (Vertical Short Take-Off Landing) milik Amerika Syarikat benar-benar “halimunan” selepas ia masih gagal ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas terlibat dalam satu “kemalangan”.

Menurut media tempatan negara itu, juruterbang pesawat canggih dianggar bernilai US$120 juta (RM540 juta sebuah) itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada pesawat menggunakan kerusi injalnya.

“Kehilangan” pesawat F-35B itu telah menyebabkan Pangkalan Udara Bersama Charleston meminta bantuan penduduk sekitar lokasi kemalangan itu untuk sama-sama mencari pesawat pejuang itu, yang bukan sahaja halimunan ketika terbang tetapi juga “halimunan” walau selepas mengalami “kemalangan” dan terhempas.

F-35B
F-35B Vertical Short Take-Off Landing (VSTOL)

 

Menurut jurucakap Pangkalan Udara Bersama Charleston Jeremy Huggins kepada NBC, sebelum juruterbang pesawat F-35B itu keluar daripada pesawat menggunakan kerusi injalnya, ia telah meletakkan pesawat itu dalam mode “autopilot” yang bermakna terdapat kemungkinan itu masih berada di udara lagi walau juruterbang telah meninggalkan kokpitnya.

 Insiden itu telah menimbulkan kemarahan seorang wakil rakyat, Nancy Mace daripada parti Republikan yang mempersoalkan bagaimana pihak tentera dan kerajaan Amerika Syarikat boleh “kehilangan” pesawat pejuang F-35.

“Bagaimanakah pesawat itu tidak mempunyai alat pengesanan dan kini kita terpaksa meminta bantuan orang awam untuk mencari dan memulangkannya semula,” kata beliau. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...