Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ukraine Enggan Terima Sumbangan Kereta Kebal “Usang, Rosak” Leopard 1 Dari Jerman

Laporan media Jerman “Spiegel” berkata, Ukraine telah pun memaklumkan kepada Jerman bahawa kereta-kereta kebal Leopard berusia itu yang diserahkan kepadanya baru-baru ini dalam keadaan terlalu usang dan memerlukan usaha baikpulih yang menyeluruh.

0 3,553

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ukraine dilapor enggan menerima sumbangan 10 buah kereta kebal utama Leopard 1A5 daripada Jerman kerana kereta kebal terbabit berada di dalam keadaan terlalu usang dan memerlukan usaha baikpulih yang ekstensif, tetapi Kiev tidak memiliki kepakaran untuk memperbaikinya.

Laporan media Jerman “Spiegel” berkata, Ukraine telah pun memaklumkan kepada Jerman bahawa kereta-kereta kebal Leopard berusia itu yang diserahkan kepadanya baru-baru ini dalam keadaan terlalu usang dan memerlukan usaha baikpulih yang menyeluruh.

Berikutan itu Jerman telah menghantar pakar-pakarnya ke Kiev untuk melihat dengan lebih dekat aduan terbabit dan mendapati sememangnya kereta-kereta kebal itu berada di dalam keadaan usang dan rosak sebab ia digunakan untuk melatih anggota-anggota Ukraine untuk mengendalikannya.

Latihan untuk anggota tentera Ukraine mengendalikan kereta kebal Leopard itu diadakan di Jerman.

Pada Julai, isu yang sama juga timbul dimana Jerman telah mengirimkan 10 buah kereta kebal Leopard yang telah berusia dan berhadapan dengan pelbagai kerosakan ke Ukraine untuk digunakan menentang tentera Russia.

Leopard
Leopard 1A5

 

Kementerian Pertahanan Jerman ketika ditanya oleh media Jerman itu enggan mengulas mengenai kes-kes tertentu tetapi menyatakan bahawa kereta-kereta kebal terbabit dibaikpulih dengan kerjasama Ukraine.

Kereta kebal Leopard 1 mula dibangunkan pada tahun-tahun 1950-an dan memasuki perkhidmatan tentera Jerman pada 1965.

Awal tahun ini, Jerman bersama-sama Denmark dan Belanda mengatakan bahawa mereka akan “mendermakan” kira-kira 100 buah kereta kebal Leopard 1 yang telah berusia kepada Ukraine.

Denmark dan Belanda juga dilaporkan bersetuju untuk membeli 14 buah kereta kebal Leopard 2 yang lebih terkini daripada kereta kebal Leopard 1 daripada syarikat pembuatnya, Rheinmetall untuk didermakan kepada Ukraine.

Pada Julai lalu, media-media di Eropah mendakwa terdapat senjata-senjata yang disumbang oleh negara-negara Barat kepada Ukraine adalah “terlalu usang” untuk digunakan terhadap tentera Russia di medan peperangan.

Laporan itu adalah berdasarkan kepada dokumen-dokumen kerajaan Ukraine yang dipetik oleh media.

Leopard
Leopard 1A5

 

Disebabkan “terlalu usang” untuk digunakan di medan peperangan, pihak Ukraine hanya menggunakan senjata yang disumbangkan itu sebagai sumber bekalan alat-alat ganti.

Sejak Russia menceroboh Ukraine pada Februari tahun lepas, negara-negara Barat telah menyumbang pelbagai jenis senjata yang dianggarkan bernilai berbilion-bilion dollar kepada negara Eropah Timur itu.

Banyak daripada sumbangan bekalan senjata daripada negara-negara Barat melibatkan senjata-senjata moden seperti sistem pertahanan udara untuk digunakan terhadap pesawat, dron dan peluru berpandu Russia.

Bagaimanapun, terdapat juga kes-kes dimana senjata-senjata yang disumbang itu datangnya daripada stok bekalan negara penderma, yang memerlukan kerja-kerja baik pulih yang menyeluruh dan menelan belanja yang tinggi.

Penganalisis menyatakan kira-kira 30 peratus daripada senjata yang digunakan oleh tentera Ukraine pada ketika ini memerlukan kerja-kerja baikpulih, suatu kadar peratusan yang tinggi bagi negara yang sedang melancarkan serangan balas.

Satu kes melibatkan penghantaran sejumlah 33 buah meriam bergerak (self-propelled howitzer) sumbangan kerajaan Itali kepada Ukraine, dimana ia didapati sebahagian daripada meriam “sumbangan” itu mempunyai masalah kerosakan yang kritikal.

M777
M777 Howitzer

 

Kementerian Pertahanan Itali dalam satu kenyataan menyatakan bahawa meriam-meriam terbabit telah dibersarakan daripada perkhidmatan beberapa tahun lalu tetapi kerajaan Ukraine tetap mahukannya.

“Kerajaan Ukraine mahukan (meriam-meriam itu) diperbaiki dan dihantar ke medan peperangan untuk menghadai tentera Russia, “ menurut Kementerian Pertahanan Itali.

Sementara itu, dalam satu laporan Jabatan Pertahanan Amerika pula menunjukkan tentera darat negara itu telah diminta untuk menghantar 29 buah kenderaan HUMVEES daripada sebuah kem di Kuwait kepada Ukraine.

Unit tentera darat Amerika itu menyatakan bahawa hanya satu daripada 29 kenderaan itu tidak boleh digunakan.

Bagaimanapun pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Pertahanan menunjukkan 26 daripada 29 buah kenderaan terbabit adalah terlalu usang untuk digunakan di medan peperangan di Ukraine.

Humvees
Humvee

 

Unit tentera darat Amerika yang sama juga telah ditugaskan untuk menghantar enam buah meriam M777 ke Ukraine hanya beberapa minggu selepas tercetusnya peperangan di antara negara Eropah Timur dengan Russia.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati bahawa meriam-meriam memerlukan penyelenggaraan dan baikpulih yang ekstensif kerana ia sudah 19 bulan tidak digunakan.

Laporan juga menyatakan bahawa sebuah daripada meriam terbabit adalah terlalu usang sehingga ia boleh menyebabkan operator terbunuh jika ia digunakan.

Pada Januari lepas, Setiausaha Pertahanan United Kingdom pada ketika itu, Ben Wallace menyatakan bahawa ia akan memindahkan sistem meriam bergerak AS-90 kepada Ukraine, namun pada Mac, Kementerian Pertahanan negara itu menyatakan bahawa 12 daripada meriam itu perlu diperbaiki atau hanya digunakan sebagai alat-alat ganti sahaja.— DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...