Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Produk Pertahanan Iran Tarik Perhatian Ramai Pada Pameran DSA & NATSEC 2024

Sejak bermula pameran DSA&NATSEC 2024 Isnin lepas, Pavilion Iran telah menarik ramai delegasi perdagangan dan orang-orang kenamaan daripada dalam dan luar negara yang tertarik dengan produk-produk pertahanan keluaran Iran. Mereka mungkin tertarik dengan kemampuan dan prestasi produk-produk persenjataan Iran di pelbagai "pentas" konflik di rantau Timur Tengah pada masa ini.

0 4,547

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah satu pavilion negara yang paling mendapat perhatian pada pameran  Defence Services Asia (DSA) and National Security (NatSec) Asia 2024 yang sedang berlangsung kini adalah daripada Iran.

Sejak bermula pameran Isnin lepas, pavilion itu telah menarik kunjungan dan lawatan delegasi perdagangan dan orang-orang kenamaan daripada dalam dan luar negara yang tertarik dengan produk-produk pertahanan keluaran Iran.

Mereka berkemungkinan tertarik dengan kemampuan dan prestasi produk-produk persenjataan keluaran berikutan penggunaannya di pelbagai pentas di rantau Timur Tengah pada masa ini.

Menurut salah seorang pegawai di Pavilion Iran, mereka hanya menonjolkan sebahagian kecil daripada sistem persenjataan dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Iran pada pameran DSA & NATSEC 2024 yang berlangsung di MITEC pada ketika ini.

“Apa yang kami pamerkan ini adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan produk pertahanan Iran. Kami tidak boleh membawa semua (produk pertahanan Iran) pada pameran DSA & NATSEC 2024 ini,” katanya.

Iran
Dron “Gaza”

 

Sememangnya, pada Pavilion Iran itu tidak kelihatan peluru-peluru berpandu ballistik yang digunakan oleh Iran untuk menyerang Israel baru-baru ini, namun apa yang kelihatan adalah model-model peluru berpandu kruisnya.

Seorang lagi pegawai di Pavilion Iran itu menyatakan bahawa mereka bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Malaysia yang berminat untuk memperolehi sistem-sistem persenjataan keluaran Iran.

“Sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, setiap negara berhak untuk berurusan dengan mana-mana negara termasuk di dalam urusan pertahanan dan tidak dikenakan tekanan daripada negara-negara tertentu.”

“Segala urusan penjualan sistem persenjataan dengan Iran dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa. Tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan,” kata pegawai di Pavilion Iran itu yang teruja dengan sambutan yang diterima oleh mereka pada pameran kali ini.

Defence Security Asia menghabiskan masa kira-kira sejam di Pavilion Iran itu dan sepanjang tempoh mengakui bahawa pavilion itu dikunjungi oleh ramai delegasi perdagangan daripada dalam dan luar negara, termasuk VIP Malaysia yang tertarik dengan apa yang dipamerkan di pavilion itu.

Antara yang paling mendapat perhatian adalah model dron “Shahid-149 GAZA”, yang mengambil nama sempena perjuangan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Iran
Sistem pertahanan udara “Khordad”

 

Pada Oktober tahun lepas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran telah mendedahkan kepada umum varian dron “Shahid-149 Gaza” yang telah dipertingkatkan kemampuannya buat pertama kalinya.

Apa yang pasti rekabentuk dron “Shahid 149-Gaza” buatan industri pertahanan tempatan Iran itu hampir menyerupai keseluruhannya kepada dron terkenal “MQ-9 Reaper” buatan syarikat General Atomics, Amerika Syarikat.

Iran berkemungkinan membangunkan dron “Shahid 149-Gaza” hasil usaha reverse engineering pakar-pakar senjatanya selepas memperolehi bangkai dron buatan Amerika Syarikat yang berjaya ditembak jatuh oleh pihak-pihak yang bersekutu dengannya di medan peperangan.

Pihak Pengawal Revolusi Iran mendedahkan varian dron yang dipertingkatkan kemampuannya itu di Pangkalan Udara Martyr Karimi di bandar Kashan Oktober tahun lepas itu.

Menurut Komander Barisan Pengawal Revolusi Iran Mejar Jeneral Hossein Salami dilapor berkata dron itu dinamakan “Gaza” bagi mengingati mereka yang berjuang menentang pendudukan haram Zionis.

Dron “Shahid-149 Gaza” telah direkabentuk oleh Shahed Aviation Industries dan dibina oleh Iran Aircraft Manufacturing Industries Corporation (HESA) dan telah didedahkan kepada umum buat pertama kali pada 2021.

IRAN
Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “ALMAS”

 

Selain sistem persenjataan, dron itu juga boleh membawa pelbagai sistem lain seperti peralatan elektro-optik, kamera resolusi tinggi, sistem infra-red,laser designation dan laser illumination bagi menjadikannya ia salah satu dron paling canggih Iran.

Dron itu berkemampuan berada di udara selama 35 jam, penerbangan meliputi 7,000km dalam satu-satu misi.

Ia boleh terbang selaju 350km sejam menggunakan enjin 750 kuasa kuda.

Pihak tentera Iran menggunakan dron itu untuk tugas Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR), tetapi dengan hardpoints menunjukkan ia juga boleh dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan untuk tugasan kombat.  

Dron “Shahid-149 Gaza” dibangun untuk menggantikan dron terdahulu “Shahed 129” yang digunakan oleh Pengawal Revolusi Iran sejak 2012.

Satu lagi sistem persenjataan yang dipamerkan adalah peluru berpandu peluru berpandu anti-kereta kebal generasi ketiga “ALMAS” yang dipercayai adalah hasil usaha reverse-engineer daripada peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” tentera Israel.

Iran
Peluru berpandu anti-kereta kebal “DEHLAVIEH”

 

Kumpulan bersenjata Hezbollah dilaporkan buat pertama kalinya telah menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal “ALMAS” buatan Iran terhadap kedudukan tentera Israel di selatan Lubnan ketika ini.

Menurut maklumat, pejuang-pejuang Hezbollah berjaya merampas peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” Israel ketika konflik antara kedua-dua pihak di selatan Lubnan pada 2006 dan bertindak menyerahkannya kepada Iran.

Pakar-pakar persenjataan Iran yang memperolehi sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” itu telah bertindak melakukan “reverse-engineer” terhadap sistem persenjataan moden itu dan berjaya menghasilkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas.”

Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” itu telah didedahkan oleh Iran pada 2021, di mana ia memiliki beberapa varian daripada lancaran anggota tentera (man-portable), lancaran udara (air-launched) serta boleh dilancarkan daripada kenderaan-kenderaan.

Sebagaimana peluru berpandu “Spike”, peluru berpandu “Almas” itu juga menggunakan wayar fibre-optik bagi mod “fire-observe-and-update” bagi membolehkan pengendalinya memandu peluru berpandu itu ke arah sasarannya dengan darjah ketepatan yang tinggi.

Iran
Dron berani mati “KARRAR”

 

Selain varian menggunakan wayar fibre-optik, peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” itu juga mempunyai varian “fire-and-forget” yang hanya memerlukan pengendalinya “lock-on” kepada sasaran dan membiarkan peluru berpandu menuju ke sasarannya.

Peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaranya sejauh 8km. — DSA

 

Comments
Loading...