Penghantaran F-35 Digantung, Komponen Guna Bahan Dari China Ditemui
Syarikat Lockheed Martin yang membangunkan pesawat pejuang F-35 berkata magnet itu digunakan oleh alatan dinamakan Turbomachine – suatu komponen yang memberikan tenaga kepada starter/generator pesawat. Magnet itu diperbuat menggunakan Cobalt dan Aloi Samarium daripada China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pihak Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah menghentikan penghantaran pesawat pejuang F-35 buat sementara waktu selepas pihaknya mendapati komponen penting digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima tu diperbuat menggunakan bahan asli berasal daripada China.
Bahan asli yang dikenalpasti berasal daripada China itu digunakan untuk menghasilkan magnet yang dipasang pada pesawat pejuang itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat Lockheed Martin yang membangunkan pesawat pejuang itu berkata magnet itu digunakan oleh alatan dinamakan Turbomachine – yang merupakan komponen yang memberikan tenaga kepada starter/generator.
Magnet itu diperbuat menggunakan bahan-bahan seperti Cobalt dan Aloi Samarium yang berasal daripada China.
Pihak Lockheed Martin sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh portal Defense News, hanya mengetahui tentang perkara itu baru-baru ini.
Jurucakap syarikat Laura Siebert berkata, magnet-magnet yang telah dipasang di pesawat-pesawat F-35 sebelum ini tidak akan digantikan dengan magnet yang diperbuat daripada bahan-bahan asli didapati bukan daripada China.
Ini kerana magnet-magnet yang telah dipasang di pesawat-pesawat pejuang itu adalah selamat untuk penerbangan dan tidak meletakkan maklumat-maklumat sensitif di dalam keadaan berbahaya.
Seorang lagi jurucakap di Joint Program Office (JPO), Russel Goemaere pula mengesahkan bahawa magnet itu tidak mengeluarkan sebarang maklumat atau membahaya keselamatan pesawat itu.
Operasi pesawat pejuang F-35 yang telah diserahkan kepada pelanggan dan sedang berkhidmat akan diteruskan tanpa sebarang perubahan.
Bagaimanapun disebabkan dengan pematuhan terhadap agensi, Defense Federal Acquisition Regulation Supplement atau DFARS, pejabat JPO telah mengarahkan Agensi Pengurusan Kontrak Pertahanan supaya menghentikan penerimaan pesawat-pesawat F-35 buat sementara waktu.
Comments are closed.