Selepas B-2 Spirit, Amerika Kini Gantung Operasi Pesawat F-35 Pula
Pergantungan operasi sebahagian daripada pesawat pejuang F-35 itu merupakan pergantungan yang kedua di dalam tempoh terdekat membabitkan pesawat kombat negara itu selepas tindakan yang sama terhadap pesawat pengebom strategik, B-2 Spirit pada minggu lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat bertindak menggantung operasi sebahagian daripada pesawat F-35 miliknya berikutan insiden yang menimpa sebuah pesawat F-35B VSTOL (Vertical Short Take-Off Landing) di pangkalan udara di Texas pada 15 Disember yang lalu.
Dalam insiden terbabit, juruterbang terbabit berjaya menggunakan kerusi anjal dan terselamat.
Ia merupakan pergantungan operasi pesawat kombat kedua dalam tempoh terdekat oleh tentera Amerika Syarikat selepas ia mengambil tindakan yang sama terhadap pesawat pengebom strategik B-2 Spirit minggu lepas selepas pesawat bernilai di antara US$1 bilion hingga US$2 bilion itu melakukan pendaratan cemas di sebuah pengkalan udara.
Video mengenai insiden membabitkan pesawat F-35B di Naval Air Station Joint Reserve Base di Fort Worth, Texas telah viral di dalam media sosial.
Keputusan untuk menggantung operasi sebahagian pesawat F-35B itu dibuat oleh Pejabat Program Bersama F-35 yang mengatakan disebabkan risiko akibat insiden yang berlaku itu, pesawat pejuang generasi kelima itu akan digantung sekurang-kurangnya sehingga awal tahun depan.
Insiden di Fort Worth, Texas libatkan pesawat F-35B (VSTOL). Pilot ejected. pic.twitter.com/YFT8k7FQi7
— Defence Security Asia (@defence_asia) December 16, 2022
Menurut pejabat itu, sebahagian daripada pesawat pejuang itu akan terus digantung sehingga siasatan selesai dijalankan.
Pejabat itu turut menyatakan bahawa pergantungan operasi itu melibatkan kesemua varian pesawat F-35.
Beberapa hari lalu, Tentera Udara Israel turut mengumumkan tindakan mereka untuk menggantung operasi pesawat F-35 miliknya berikutan insiden membabitkan yang berlaku di Texas itu.
Israel menggunakan varian pesawat F-35A.
Pesawat pejuang F-35 di bina oleh syarikat Lockheed Martin dan datang di dalam tiga varian – A untuk kegunaan di landasan konvensional, B untuk varian VSTOL dan C untuk operasi di kapal pengangkut pesawat.
Comments are closed.