Populariti F-35 di Eropah “Bunuh” Industri Aeroangkasa Benua Itu?
Dominasi pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat di Eropah telah memaksa syarikat-syarikat pembuat pesawat pejuang benua itu untuk bergantung-harap kepada pasaran luar Eropah terutamanya di Timur Tengah dan Asia untuk menjana jualan supaya mereka syarikat dapat “terus hidup.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini media-media Perancis dilaporkan telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang masa depan industri aeroangkasa Eropah berikutan “kegilaan” negara-negara benua itu sendiri untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan Amerika Syarikat.
“Kegilaan” negara-negara Eropah membeli pesawat pejuang F-35 itu dikhuatiri secara tidak langsung akan “membunuh” industri aeroangkasa di benua itu sendiri.
Terbaru, Portugal memberi bayangan bahawa ia menjadi negara terbaru dan ke-14 di Eropah yang memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 yang digunakannya sebelum ini.
Pada akhir November lepas, Ketua Staff Tentera Udara Portugal Jeneral João Guilherme Rosado Cartaxo Alves menyifatkan pesawat pejuang F-35A sebagai pesawat pejuang paling sesuai untuk menggantikan pesawat pejuang F-16AM/BM milik negara itu.
Populariti pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan Amerika Syarikat telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pesawat pejuang pilihan di benua Eropah.
Bagaimanapun pada masa yang sama ia menimbulkan persoalan tentang masa depan syarikat-syarikat pembuat pesawat pejuang benua itu termasuk Dassault Aviation (Rafale), BAE Systems, Leonardo, Airbus (Eurofighter Typhoon) dan Saab Group (Gripen).
Walaupun syarikat-syarikat terlibat sedang terlibat dalam pembangunan pesawat pejuang generasi ke-6, namun “perjalanan masih jauh” dan tiada kepastian pesawat pejuang dihasilkan mereka mampu bersaing dengan pesawat pejuang generasi ke-6 dibangunkan Amerika Syarikat.
Lockheed Martin yang membangunkan F-35 menganggarkan menjelang tahun 2030, sebanyak 550 buah pesawat pejuang generasi kelima itu akan beroperasi di Eropah termasuk skuadron pesawat F-35 Amerika Syarikat yang beroperasi di Pangkalan Udara Lakenheath di England.
Kebanyakkan pegawai-pegawai kanan syarikat pembuat pesawat pejuang Eropah berkenaan telah melahirkan rasa kecewa mereka terhadap dominasi pesawat F-35 di benua milik mereka.
Malah pemimpin-pemimpin politik di Perancis telah menyeru rakan-rakan negara Eropah mereka supaya berkempen untuk “membeli barangan Eropah” dalam satu usaha terdesak untuk meredakan “kegilaan” negara jirannya yang berduyun-duyun membeli pesawat F-35.
Comments are closed.