Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Lipat Ganda Usaha Gagalkan Cubaan Amerika Jual F-16 Pada Argentina

India dilaporkan telah melipatgandakan usahanya bagi memastikan usaha Amerika Syarikat untuk menjual F-16 kepada Argentina itu menemui kegagalan, sebaliknya kerajaan di Buenos Aires itu memilih pesawat pejuang “Tejas" buatan syarikatnya, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

5,361

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India dilapor menggunakan segala kekuatan diplomatik dan hubungan luarnya dengan Argentina bagi memastikan pesawat pejuang “Tejas” dibangunkan oleh industri pertahanannya memenangi persaingan sengit bagi membekalkan pesawat pejuang kepada negara Amerika Latin itu.

Tindakan “terdesak” oleh New Delhi itu diambil selepas Washington mengumumkan bahawa ia menawarkan sejumlah 24 pesawat pejuang F-16A/B terpakai milik Denmark kepada Argentina dianggar bernilai kira-kira US$700 juta (RM3.1 bilion).

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mendakwa ia akan mendapatkan kelulusan daripada Kongres negara itu supaya penjualan pesawat pejuang keluaran syarikat Lockheed Martin kepada Buenos Aires itu dapat diteruskan.

Tejas
Pesawat Tejas yang dibangunkan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

 

Bagi memastikan tawarannya lebih menarik, Amerika Syarikat juga menawarkan penjualan empat buah pesawat peronda maritime P-3 Orion kepada Argentina, sekiranya ia bersetuju untuk memperolehi pesawat pejuang F-16.

Malah Washington bersedia memujuk United Kingdom supaya menarik-balik sekatan senjata terhadap Argentina bagi memastikan ia berjaya menjual pesawat pejuang F-16 kepada Buenos Aires.

United Kingdom masih mengenakan sekatan senjata terhadap Argentina, kesan daripada Perang Falklands pada 1980-an.

Pesawat F-16 menggunakan beberapa komponen buatan syarikat British terutamanya kerusi ejection, menyebabkan pesawat itu tertakluk kepada sekatan senjata dan tidak boleh dieksport kepada Argentina.

Sebelum ini, usaha Argentina untuk membeli pesawat FA-50 buatan Korea Selatan juga gagal disebabkan masalah sekatan senjata oleh United Kingdom.

Menurut laporan media tempatan India, usaha diplomatik New Delhi untuk memastikan Argentina memilih pesawat pejuang “Tejas” dan bukan F-16 itu kini dipikul oleh duta negara itu ke negara Amerika Latin itu, Dinesh Bhatia.

Tejas

Misi-misi rundingan di antara kedua-dua negara yang kini telah mencapai tahap kritikal dan ianya dikepalai oleh Bhatia.

India dilaporkan telah melipatgandakan usahanya bagi memastikan usaha Amerika Syarikat untuk menjual F-16 kepada Argentina itu menemui kegagalan, sebaliknya kerajaan di Buenos Aires itu memilih pesawat pejuang “Tejas” buatan syarikatnya, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

New Delhi bermati-matian mahu memastikan pesawat pejuang “Tejas” itu berjaya memperolehi pasaran eksportnya yang pertama iaitu Argentina, selepas kegagalan dalam beberapa persaingan termasuk di Malaysia yang bertindak memilih pesawat FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI).

Walaupun berdepan dengan lobi yang kuat daripada India, Malaysia akhirnya memilih pesawat buatan Korea Selatan itu.

New Delhi sebelum ini telah secara terbuka menawarkan untuk membeli lebih banyak minyak sawit daripada Malaysia dan menawarkan beras, gula dan sistem persenjataan keluaran syarikat pertahanannya sebagai “bayaran” bagi minyak sawit yang dibelinya daripada negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia pada ketika itu,B N Reddy dalam temuramah dengan media tempatan pada Mei tahun lepas.

FA-50
FA-50 Tentera Udara Korea Selatan.

 

Washington mahukan Argentina memilih F-16 untuk memastikan negara Amerika Latin itu tidak memilih pesawat JF-17 Block 3 yang dibangunkan oleh China/Pakistan, sekaligus memberikan peluang kepada Beijing untuk “bertapak” di Amerika Selatan.

Amerika Syarikat percaya sekiranya Argentina memilih pesawat pejuang JF-17, ia akan memberikan peluang kepada Beijing untuk “bertapak” di negara itu dan meluaskan pengaruh politik dan ketenteraannya ke keseluruhan rantau Amerika Selatan.

Adalah amat malang kepada India sekiranya Argentina memilih F-16 buatan Amerika Syarikat itu kerana New Delhi kelihatan amat yakin untuk memenangi saingan Amerika Selatan itu berikutan minat mendalam ditunjukkan oleh Kementerian Pertahanan Argentina sebelum ini.

Pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Argentina telah pun melakukan lawatan ke India sebelum ini untuk meninjau kemudahan pembuatan pesawat Tejas itu dan pegawai kanan India serta syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) juga telah bertandang ke Buenos Aires. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.