Embraer Jual Dua Pesawat C-390 Millennium Pada Pelanggan Tidak Didedahkan Identiti
Kedua-dua buah pesawat ini akan dikonfigurasi khas untuk memenuhi keperluan pelanggan, termasuk pengangkutan taktikal tentera dan kenderaan, bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana dan pemindahan perubatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Embraer telah menandatangani kontrak dengan pelanggan tidak didedahkan identitinya meliputi penjualan dua buah pesawat pelbagai misi C-390 Millennium.
Kontrak ini turut merangkumi pakej latihan dan sokongan yang komprehensif serta bekalan alat ganti.
Pesawat ini akan dikonfigurasi khas untuk memenuhi keperluan pelanggan, termasuk pengangkutan taktikal tentera dan kenderaan, bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana dan pemindahan perubatan.
“Kami berbesar hati dengan pemilihan pelanggan baharu ini untuk pesawat C-390 Millennium.
Pesawat ini mentakrif semula konsep penerbangan pengangkutan tentera dengan gabungan teknologi canggih, kebolehpercayaan, dan kos operasi rendah yang tiada tandingan, serta prestasi luar biasa,” kata Bosco da Costa Jr, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Embraer Defense & Security.
Pelanggan baharu ini merupakan negara ke-10 yang memilih C-390 selepas Brazil, Portugal, Hungary, Korea Selatan, Belanda, Austria, Republik Czech, Sweden dan Slovakia.
