Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dulu Dianggap Hero Ukraine, Kini Peluru Berpandu Kruis Storm Shadow Semakin “Senyap”

Dalam penilaian yang dikeluarkan pada 15 Disember 2024, Institut Kajian Perang (Institute for the Study of War) mencadangkan bahawa Ukraine mungkin telah "hampir kehabisan" stok peluru berpandu kruis Storm Shadow itu, merujuk kepada ketiadaan penghantaran baru daripada United Kingdom atau Perancis.

0 13,558
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Barat sebelum ini meletakkan harapan yang tinggi terhadap peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP-EG, yang digambarkan oleh pemimpin politik dan komander tentera mereka sebagai ‘senjata revolusioner” yang mampu mengubah hala tuju konflik di antara Russia dan Ukraine yang telah pun memasuki tahun yang ketiga.
Ucapan penuh keyakinan yang sama turut kedengaran pada November 2024, apabila Kyiv menerima kebenaran daripada Britain dan Amerika Syarikat untuk menggunakan peluru berpandu kruis jarak jauh itu bagi menyerang sasaran jauh di dalam wilayah Russia.
“Kini, peluru berpandu berkenaan (Storm Shadow) tidak lagi menjadi perhatian utama.”
“Menjelang Mac 2025, laporan mengenai penggunaannya semakin berkurangan. Persoalan yang timbul kini ialah: adakah Ukraine sudah menghentikan penggunaan Storm Shadow, atau peranannya dalam konflik ini sengaja tidak lagi ditonjolkan,” menurut laporan oleh laman web pertahanan Bulgarian Military baru-baru ini.
Menurut laman web pertahanan itu lagi, berdasarkan kepada maklumat perisikan daripada sumber-sumber terbuka, kenyataan rasmi serta pandangan pakar, realiti sebenar nampaknya berpunca daripada gabungan beberapa faktor.
Ia termasuklah kekangan logistik, tindakan balas oleh Russia serta perubahan arus geopolitik – semuanya menyebabkan senjata yang pernah menjadi tumpuan sebelum ini ini semakin tersisih daripada perhatian umum.
Ketika Ukraine mula menggunakan peluru berpandu kruis Storm Shadow itu terhadap sasaran Russia selepas mendapat kelulusan daripada Barat pada akhir tahun lalu, kesannya amat ketara dan tidak dapat disangkal.
storm shadow
“Storm Shadow”
Serangan ke atas kemudahan ketenteraan di wilayah Kursk dan Bryansk — yang disahkan oleh sumber Ukraine serta rakaman bergambar yang dikesan lokasi dan tersebar di platform X pada November 2024 — membuktikan keupayaan peluru berpandu tersebut untuk mengenai sasaran bernilai tinggi jauh di luar garisan hadapan.
Namun, menjelang Disember 2024, laporan mengenai penggunaannya mula menyepi.
Penganalisis yang mengikuti perkembangan perang melalui platform seperti X mula mengesan penurunan mendadak berkaitan serangan menggunakan Storm Shadow.
Jika sebelum ini terdapat dakwaan serangan hampir setiap minggu — sering kali disertakan dengan rakaman kabur daripada dron atau hantaran di Telegram oleh pihak Russia yang memaparkan kerosakan — insiden seumpama itu semakin jarang berlaku.
Dalam penilaian yang dikeluarkan pada 15 Disember 2024, Institut Kajian Perang (Institute for the Study of War) mencadangkan bahawa Ukraine mungkin telah “hampir kehabisan” stok peluru berpandu kruis Storm Shadow itu, merujuk kepada ketiadaan penghantaran baru daripada United Kingdom atau Perancis.
United Kingdom, yang menjadi pembekal utama Storm Shadow kepada Ukraine, dilaporkan telah membekalkan antara 100 hingga 200 unit peluru berpandu kruis itu sejak tahun 2023, menurut anggaran pegawai pertahanan yang dipetik oleh Reuters.
Storm Shadow
“Storm Shadow”
Perancis, selaku pengeluar bersama sistem itu, turut menyumbang dengan varian Scalp-EG miliknya, namun jumlahnya dilaporkan jauh lebih kecil.
Kekurangan ini bukan sesuatu yang sukar untuk difahami. Setiap peluru berpandu Storm Shadow dianggarkan berharga lebih AS$2 juta seunit, dan proses pengeluarannya bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara besar-besaran atau pantas.
Syarikat MBDA, syarikat yang membangunkan peluru berpandu tersebut, tidak menghasilkannya seperti peluru artileri — sebaliknya ia merupakan senjata berketepatan tinggi yang dibina dalam jumlah terhad.
Stok simpanan Barat yang sedia ada — yang sudah pun berkurangan akibat komitmen ketenteraan di tempat lain sejak beberapa tahun lalu — gagal memenuhi keperluan mendesak Ukraine, terutamanya selepas Kiev meningkatkan operasi serangan jarak jauh susulan kebenaran penggunaan yang diberikan pada November.
Peluru berpandu “Storm Shadow” adalah peluru berpandu kruis lancaran udara (air-launched cruise missile – ALCM) hasil usahasama tiga buah negara itu United Kingdom, Perancis dan Itali.
Storm Shadow
Tentera Russia memeriksa peluru berpandu Storm Shadow.
Storm Shadow
Kesan serangan peluru berpandu “Storm Shadow” oleh pesawat pejuang Su-24 Ukraine terhadap Jambatan Chongar di Crimea.
Juga dikenali dengan panggilan SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général), peluru berpandu itu telah dibuat oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.
Pembangunan sistem peluru berpandu itu telah bermula seawal 1990-an dan direkabentuk untuk menjadi sistem persenjataan jarak jauh, stand-off yang boleh dilancarkan daripada pesawat terhadap sasaran strategik dan pada masa yang sama memastikan pesawat tetap berada di luar jarak jangkauan sistem pertahanan udara musuh.
Peluru berpandu “Storm Shadow” boleh membedil sasaran sejauh 560km atau 300 Batu Nautika bagi membolehkan ia mensasarkan sasaran strategik.
Pada ketika ini peluru berpandu kruis ini sedang berkhidmat dengan beberapa negara seperti United Kingdom, Perancis, Itali,Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, iaitu negara-negara pengguna pesawat pejuang Tornado, Eurofighter Typhoon dan Rafale.
Setiap sebuah peluru berpandu kruis itu adalah seberat 1.3 tan, dengan keseluruhan peluru itu adalah 5.10 meter.
Storm Shadow
Pesawat Su-24 Ukraine membawa “Storm Shadow”
Ia menggunakan sistem propulsion turbojet, Turbomeca Microturbo TRI 60-30 yang memacu peluru berpandu itu ke sasaran dengan kelajuan dan ketepatan yang tinggi.
 Mengenai sistem navigasinya pula,sistem peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu dipandu oleh sistem-sistem INS (Inertial Navigation ), GPS (Global Positioning System) dan Terrain Reference Navigation bagi memastikan ia memiliki ketepatan yang amat tinggi.
Manakala bagi peledaknya pula, ia direka untuk menyebabkan kemusnahan yang maksima.
Sebelum dilancarkan, peluru berpandu itu akan “disediakan”, dengan segala data dan maklumat komprehensif tentang sasaran dan trajektori yang diperlukannya bagi memastikan ia “sampai” ke sasaran dimasukkan ke dalam sistem peluru berpandu itu secara pre-loaded.
Selepas dilancarkan daripada pesawat membawanya, peluru berpandu “Storm Shadow” itu akan menggunakan sistem navigasi sendirinya untuk menuju ke sasaran.
Storm Shadow
Serpihan peluru berpandu Storm Shadow yang ditembak jatuh oleh tentera Russia
“Storm Shadow” itu memiliki kepala peledak dua peringkat dinamakan Bomb Royal Ordnance Augmented Charge (BROACH) yang menggabungkan letupan (blast) dan kemampuan penembusan (penetration capabilities).
Cara kepala peledak BROACH itu berfungsi adalah secara dua peringkat, dengan peringkat pertama menyaksikan ia meletup untuk “membuka” permukaan sasaran dan seterusnya peringkat kedua dimana kepala peledak yang lebih besar, menembusi sasaran dengan lebih dalam sebelum meletup, beberapa saat selepas letupan pertama.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.