Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Utara Hasilkan “Copy Ori” Dron “Reaper” dan “Global Hawk” Amerika

Tidak pasti sejak bila Korea Utara membangunkan kedua-dua dron itu tetapi dua tahun lepas pemimpin utamanya, Kim Jong Un mengerahkan tentera negara itu untuk membangunkan “dron penyerang” dan “dron pemantau” yang berkemampuan beroperasi sejauh 500km.

0 3,257

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Utara menerusi media rasminya telah mendedahkan buat pertama kalinya dua buah dron miliknya yang rekabentuknya adalah hampir sama dengan dron-dron  “Global Hawk” dan MQ-9 “Reaper” yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.

Tidak pasti sejak bila Korea Utara membangunkan kedua-dua dron itu tetapi dua tahun lepas pemimpin utamanya, Kim Jong Un mengerahkan tentera negara itu untuk membangunkan “dron penyerang” dan “dron pemantau” yang berkemampuan beroperasi sejauh 500km.

Kedua-dua dron Korea Utara itu dipertontonkan kepada orang-orang kenamaan termasuk Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu pada pameran senjata dan pertahanan yang diadakan di ibu negara Pyongyang.

Dron
Dron ciplak “Global Hawk” Korea Utara
Dron
Kim Jong Un dan Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu dibawa melihat dengan dekat dron ciplak “Global Hawk” pada pameran pertahanan di Pyongyang.

 

Maklumat daripada dalam Korea Utara mengatakan bahawa dron-dron yang memiliki no siri tentera negara itu telah pun menjalani ujian penerbangannya.

Sebuah dron yang menyerupai dron MQ-9 Reaper buatan Amerika Syarikat turut dilengkapi peluru berpandu yang tidak diketahui jenisnya tetapi rekabentuknya menyamai peluru berpandu “Hellfire” buatan Amerika dan kerap digunakan oleh dron terbabit.

Yang Uk, yang merupakan penganalisis ketenteraan di Asan Institute, Seoul dipetik oleh NK News berkata, dron tiruan Korea Utara itu berkemampuan membawa enam buah peluru berpandu seakan-akan “Hellfire” itu.

Kelihatannya, dron tiruan Korea Utara adalah lebih “bersenjata” berbanding “Reaper” kerana ia berkemampuan membawa lebih banyak peluru berpandu.

“Bongol” di depan dron tiruan MQ-9 Reaper itu menunjukkan kemungkinan ia menempatkan peralatan komunikasi satelit tetapi penganalisis menyatakan pada ketika ini Korea Utara tidak memiliki sebarang teknologi komunikasi satelit.

Dron
Dron ciplak “MQ-9 Reaper” milik Korea Utara sedang melakukan penembakan ujian.

 

Bagaimanapun “bongol” itu mungkin juga menyimpan peralatan lain.

Sementara itu dron yang menyerupai Global Hawk itu pula mula dikesan berada di Pangkalan Tentera Udara Panghyon di Korea Utara, dipercayai untuk melakukan ujian penerbangannya.

Penganalisis mengatakan dron menyerupai Global Hawk itu dipercayai adalah dron HALE (High Altitude Long Endurance).

Kemampuan Korea Utara membangunkan dron-dron “tiruan” itu berkemungkinan bertujuan untuk mempertingkatkan aspek Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) yang sehingga kini disifatkan sebagai antara kelemahan tentera itu.

Kedua-dua dron itu dipercayai akan digunakan oleh Korea Utara untuk mengutip pelbagai maklumat tentang Korea Selatan dan Amerika Syarikat di kawasan-kawasan sempadan darat serta maritim.   — DSA 

Dron
Dron-dron ciplak Korea Utara di pameran pertahanan di ibu negara itu.

donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...