Tentera Ukraine Berdepan Masalah Besar Dengan Bom “Bersayap” Russia
“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom bersayap yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman yang baru kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap,” kata jurucakap Tentera Udara Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Ukraine mengakui ia sedang berhadapan dengan masalah besar untuk menangani serangan-serangan udara pesawat Russia yang menggugurkan bom-bom panduan yang telah diubahsuai dan dilengkapi dengan “sayap” (winged).
Menurut jurucakap Pemerintahan Tentera Udara Ukraine Yuriy Inhat, pesawat-pesawat pejuang Russia menggugurkan bom-bom dilengkapi dengan sayap diluar daripada radius operasi sistem pertahanan udara negara itu.
“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom bersayap yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman yang baru kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap,” kata beliau.
Menurut laporan oleh media-media tempatan, 10 buah pesawat pejuang Su-35 Russia telah melakukan serangan udara terhadap Sumy Oblast, utara Ukraine dengan menggugurkan 10 buah bom-bom yang dilengkapi dengan sayap serta peluru berpandu KH-31P.
Tidak lama selepas serangan pertama itu, kawasan terbabit sekali lagi diserang oleh bom-bom bersayap itu selepas ia digugurkan oleh pesawat-pesawat Russia diluar “payung perlindungan” yang diberikan oleh sistem pertahanan udara Ukraine.
Russia dilaporkan mempertingkatkan penggunaan bom-bom FAB-500M-62 yang dilengkapi dengan kit yang dipanggil “Modul Planirovaniya I Korrektsi (MPK)” atau modul “luncuran dan pembetulan.”
Media Russia dipanggil “Military Review” telah berkongsi gambar-gambar bom FAB-500 yang gagal meledak di sebuah jalan di Donetsk dan awal Januari lepas, gambar bom FAB-500M-62 dengan sayap misteri juga telah tersebar di media online.
Bom dengan sayap misteri pada ketika itu telah digugurkan oleh pesawat pejuang Su-34.
Pada ketika itu, penganalisis telah membandingkan bom-bom FAB milik Russia itu dengan bom Joint Direct Attack Munition (JDAM) buatan Amerika Syarikat yang kini dibekalkan kepada Tentera Udara Ukraine.
Kemunculan laporan mengenai penggunaan bom-bom bersayap Russia itu berlaku pada waktu yang hampir sama ketika tersebarnya laporan mengenai penggunaan bom-bom dilengkapi dengan kit JDAM oleh Ukraine terhadap kedudukan tentera Russia di Bakhmut.
Menurut Yuriy Inhat itu lagi, apa yang diperlukan oleh Tentera Udara Ukraine pada ketika ini adalah pesawat-pesawat pejuang buatan negara Barat untuk memerangi taktik terbaru yang digunakan oleh Tentera Udara Russia.
![Sayap](https://defencesecurityasia.com/wp-content/uploads/2023/04/FsSXE09WAAASAUR.jpg)
“Sesuatu perlu dilakukan tentang ini, bukan sahaja dengan sistem pertahanan udara yang kita sedang nantikan untuk menangani tekanan baru ini, tetapi juga bekerjasama dengan rakan-rakan di Barat untuk membekalkan Ukraine dengan pesawat pejuang,” kata beliau.
Bagi pihak Ukraine, bukan sahaja pesawat-pesawat pejuangnya kini dilengkapi dengan bom-bom JDAM tetapi ia juga dibekalkan dengan Ground-Launched Small Diameter Bombs (GLSDB) untuk membedil kedudukan tentera Russia.
Bagaimanapun laporan terkini mendakwa bahawa sistem pertahanan udara Russia telah berjaya menembak jatuh bom-bom GLSDB yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat itu. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.