Dron Buatan Iran Tapi Guna Komponen Canggih Israel, Amerika
Daripada dron-dron berani mati dan peninjau Iran yang berjaya ditembak jatuh itu, pakar-pakar ketenteraan Ukraine mendapati bahawa dron berkenaan banyak menggunakan peralatan dan komponen daripada Israel dan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat serta Jepun.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa bulan lepas, kempen ketenteraan Russia di Ukraine telah menyaksikan penggunaan ribuan dron berani mati dan dron peninjau buatan Iran, yang telah diakui oleh penganalisis ketenteraan Barat sebagai amat berkesan dan sukar ditangani.
Namun, terdapat juga dron-dron berani mati dan peninjau buatan Iran yang berjaya ditembak jatuh atau “dijatuhkan” secara elektronik oleh tentera Ukraine.
Daripada dron-dron berani mati dan peninjau Iran yang berjaya ditembak jatuh itu, pakar-pakar ketenteraan Ukraine mendapati bahawa dron berkenaan banyak menggunakan peralatan dan komponen daripada Israel dan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat serta Jepun.
Penemuan oleh pakar-pakar Ukraine itu amat mengejutkan kerana, sebagaimana yang kita ketahui – Iran bukan sahaja bermusuh dengan Israel dan Amerika Syarikat, tetapi negara Parsi itu juga berhadapan dengan sekatan ekonomi yang amat ketat daripada negara-negara itu.
Jadi persoalannya adalah, bagaimana industri persenjataan Iran dengan mudah memperolehi peralatan komponen canggih daripada Israel, Amerika Syarikat serta negara Barat lain dan menggunakannya pada dron-dron berani matinya.

Pihak-pihak Israel, Amerika Syarikat dan negara lain mula menjalankan siasatan untuk mengetahui bagaimana peralatan canggih buatan syarikat mereka boleh sampai ke tangan pembuat-pembuat senjata Iran.
Jikalau dron-dron berani mati Iran dan peninjau yang digunakan oleh Russia itu boleh melaksanakan misinya dengan berkesan di Ukraine menggunakan peralatan canggih negara-negara Barat, ia juga boleh berbuat perkara yang sama di Timur Tengah untuk mengancam sekutu-sekutu rapat Amerika Syarikat dirantau itu.
Hasil penemuan mengejutkan oleh pihak tentera Ukraine itu didapati selepas ia berjaya “menjatuhkan” dron peninjau Iran “Mohajer-6” menerusi kaedah godaman elektronik (electronic hacking).

Apa yang didapati mereka adalah dron peninjau buatan Iran itu menggunakan enjin ROTAX 914 yang diperbuat oleh syarikat ROTAX, yang merupakan cabang kepada syarikat Bombardier yang berpengkalan di Kanada.
Dron berani mati Iran, “Shahed” selepas ia ditembak jatuh oleh pihak tentera Ukraine juga didapati menggunakan enjin buatan ROTAX.
Comments are closed.