Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dron Buatan China Berhadapan Masalah Teknikal Serius?

Beberapa buah negara yang menggunakan dron-dron buatan China telah mengambil keputusan untuk menggantung perkhidmatannya dan menjualnya kembali ke pihak ketika berikutan masalah teknikal yang serius serta tahap penyelenggaran yang rendah.

0 5,431

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Usaha China untuk menjadi pembekal pesawat tanpa pemandu (UAV) utama di dunia berhadapan dengan masalah besar, apabila satu demi satu negara yang menggunakan dronnya termasuk  “CH-4” keluarannya mengambil keputusan untuk menghentikan penggunaan dron itu berikutan masalah teknikal yang amat serius, walaupun baru sahaja memperolehinya.

Tindakan negara-negara terbabit menghentikan penggunaan dron keluaran syarikat-syarikat China itu telah menjejaskan imej Beijing sebagai negara pengeluar sistem persenjataan utama dunia, menimbulkan persoalan sama ada produk-produk pertahanan keluaran negara itu reliable.

Terdapat pandangan bahawa sistem persenjataan yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat pertahanan China dibelenggu dengan masalah teknikal yang serius.

Menurut laporan-laporan media pertahanan luar negara, negara-negara di Timur Tengah, Asia Selatan serta Afrika Utara terpaksa menggantung penggunaan dron-dron yang dibeli mereka daripada China selepas ia “jatuh menyembah bumi” dengan masalah teknikal disebut sebagai punca utama insiden itu.

Laporan media terbaru mengatakan Jordan bukan sahaja menggantung perkhidmatan dron CH-4 buatan China itu tetapi telah bertindak menjual semula dron itu walaupun negara Timur Tengah itu baru sahaja membelinya kira-kira dua tahun lepas.

CH-4
CH-4

 

Puncanya adalah kerana “Jordan tidak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dron terbabit” dan mahu menghentikan penggunaannya serta menjualnya kepada pihak ketiga, menurut tentera Jordan kepada media pertahanan antarabangsa, Shepard Media.

Dron kombat CH-4B itu telah dibangunkan oleh China Academy of Aerospace Aerodynamics, sebuah entiti dibawah China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC).

Ia mampu membawa peluru berpandu “Blue Arrow 7” , TG100/INS/GPS-bom panduan dan AR-1/HJ-10 peluru berpandu anti-kereta kebal.

CH-4
Dron China yang terhempas di Nigeria.

 

Pihak tentera Jordan dikatakan membeli sehingga enam buah dron kombat CH-4, yang rekabentuknya adalah hampir sama dengan dron Predator buatan Amerika Syarikat.

CASC dikatakan menciplak rekabentuk dron “Predator” buatan Amerika Syarikat, dengan beberapa negara di Timur Tengah muncul menjadi pembeli dron itu selepas mereka gagal memperolehi dron buatan negara Uncle Sam itu akibat perjanjian Missile Technology Control Regime (MTCR).

Tidak lama sebelum itu, sebuah lagi negara Timur Tengah iaitu Iraq juga mengadu ia menghadapi masalah untuk menyelenggara dron CH-4 buatan China.

Laporan media antarabangsa mendakwa Iraq telah membeli 10 buah dron kombat CH-4 itu daripada China tetapi negara pengeluar minyak itu hanya mampu menerbangkan hanya satu daripada 10 dron terbabit disebabkan masalah penyelenggaraan yang kritikal.

Pada 2012, Algeria juga membeli beberapa buah dron kombat daripada China itu tetapi beberapa buah daripadanya didakwa telah terhempas disebabkan masalah kawalan yang dialaminya.

Insiden terbaru berlaku di Pangkalan Udara Bir Raqqa, timur Algeria pada tahun lepas dimana sebuah dron CH-4 telah terhempas.

Dron-dron keluaran China juga didakwa terhempas akibat masalah teknikal di Nigeria, manakala dron CH-4 yang digunakan oleh UAE di Libya juga telah berjaya ditembak jatuh oleh pasukan tentera Government of National Accord (GNA).

Beijing telah menjual dron-dronnya kepada beberapa buah negara termasuk Nigeria, Jordan, Zambia, Iraq, Arab Saudi, Ethiopia, Turkmenistan, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan dan Myanmar.

CH-4

Laporan daripada Pakistan juga mengatakan bahawa tentera negara itu juga berhadapan masalah dengan dron-dron buatan China itu, sehingga menjejaskan keupayaan tentera negara itu.

Menurut laporan itu, dron-dron buatan China itu berhadapan dengan masalah “hanya beberapa hari” selepas ia ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera Pakistan.

Tiga buah dron buatan  syarikat Chengdu Aircraft Industry Group (GAIG) mula memasuki perkhidmatan tentera Pakistan pada awal tahun ini, dengan cadangan untuk membina kira-kira 50 buah dron terbabit di Pakistan menerusi kerjasama antara syarikat kedua-dua negara.

Apa yang membangkitkan kemarahan tentera Pakistan adalah tahap perkhidmatan dan penyelenggaran dron tersebut oleh syarikat pembuat dron itu daripada China.

Kebanyakkan masalah dengan dron China itu berpunca daripada masalah Global Positioning System (GPS) sehingga menyebabkan dron-dron itu gagal diterbangkan, sekaligus menyebabkan ia terbengkalai dan tidak boleh digunakan walaupun ia baru sahaja diperolehi.

Pihak tentera Pakistan juga mengesan kebocoran nitrogen pada peralatan kamera Electro-Optical/Infra Red (EO/IR) sehingga menyebabkan peralatan kritikal yang dipasang pada dron itu gagal berfungsi, selain kerosakan pada peralatan Synthetic Aperture Radar (SAR) serta SATCOM dron itu.

Ini bukanlah kali pertama tentera Pakistan berhadapan dengan masalah sistem persenjataan China yang bukan sahaja tidak reliable serta tahap perkhidmatan dan penyelenggaran oleh syarikatnya yang amat mengecewakan.  

CH-4
Sebuah dron buatan China yang terhempas di Kemboja.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...