Digelar “Keranda Terbang” Kerana Kerap Terhempas, India Tamatkan Khidmat Pesawat Pejuang MiG-21

Perkhidmatan pesawat-pesawat pejuang MiG-21 Tentera Udara India itu kerapkali mengundang kritikan daripada penduduk negara itu disebabkan rekod keselamatannya yang buruk, disebabkan sering terhempas.

0
Selepas 60 tahun berkhidmat dengan Tentera Udara India, akhirnya pesawat pejuang era Kesatuan Soviet akan menamatkan perkhidmatannya pada September ini, sekaligus melabuhkan tirai perkhidmatannya dengan negara itu.
Menurut pegawai-pegawai kanan Tentera Udara India, skuadron terakhir pesawat pejuang MiG-21 berpangkalan di Pangkalan Udara Nal di Rajastan.
Perkhidmatan pesawat-pesawat pejuang MiG-21 Tentera Udara India itu kerapkali mengundang kritikan daripada penduduk negara itu disebabkan rekod keselamatannya yang buruk, disebabkan sering terhempas.
“Tentera Udara India akan menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG-21 sepenuhnya menjelang September tahun ini.”
“Ketika ini, skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang itu berpangkalan di Pangkalan Udara Nal di Rajasthan. Pesawat LCA Tejas Mark 1A akan menggantikan MiG-21 dalam perkhidmatan Tentera Udara India,” kata seorang pegawai pertahanan India.
Selama berdekad-dekad lamanya, pesawat pejuang MiG-21 itu menjadi tulang belakang kepada Tentera Udara India dan selepas ini, pesawat pejuang itu akan digantikan dengan pesawat pejuang ringan LCA Tejas Mark 1A buatan tempatan.
Tentera Udara India dijangka menerima sekurang-kurangnya enam buah pesawat pejuang ringan LCA Tejas Mark 1A menjelang Mac 2026, menurut Pengerusi dan Pengarah Urusan Hindustan Aeronautics Ltd (HAL), D.K. Sunil, hanya beberapa minggu selepas Ketua Tentera Udara India menyuarakan kebimbangan serius berhubung kelewatan penghantaran pesawat tempur itu.

MiG-21 India

Peralihan kepada Tejas ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan India untuk memperkukuhkan kemampuan pertahanan melalui pembangunan industri pertahanan tempatan, selaras dengan visi “Atmanirbhar Bharat” atau India Berdikari.
Pesawat MiG-21, yang pertama kali diperkenalkan dalam perkhidmatan tentera udara negara itu pada tahun 1963, merupakan jet supersonik pertama milik India.
Walaupun penggunaannya adalah terhad semasa Perang Indo-Pakistan 1965, MiG-21 kemudiannya memainkan peranan penting dalam beberapa konflik ketenteraan utama yang lain, termasuk Perang Pembebasan Bangladesh pada tahun 1971 dan Perang Kargil pada tahun 1999.
Pesawat itu turut digunakan semasa serangan udara Balakot pada tahun 2019 yang menyasarkan kem pengganas di Pakistan.
Dalam operasi tersebut, sebuah pesawat MiG-21 Tentera Udara India telah ditembak jatuh, mengakibatkan juruterbangnya, Wing Komander Abhinandan, ditawan oleh pihak berkuasa Pakistan.
Ketika ini, India hanya mengoperasikan sekitar 36 buah MiG-21 Bison yang ditempatkan dalam dua skuadron terakhir di Pangkalan Udara Nal di Rajasthan.
Langkah penamatan perkhidmatan MiG-21 ini dibuat selepas beberapa insiden kemalangan yang membabitkan pesawat tersebut dalam tempoh beberapa dekad lalu yang telah mencetuskan pelbagai kritikan serta gesaan agar ia digantikan dengan pesawat moden.
Sepanjang lebih enam dekad perkhidmatannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 1963, Tentera Udara India telah mengoperasikan hampir 900 buah pesawat MiG-21 dalam pelbagai varian.
Namun demikian, pesawat ini turut digelar sebagai “keranda terbang” (flying coffin) oleh sesetengah pihak berikutan rekod keselamatan yang buruk.
Menurut laporan media pertahanan antarabangsa, lebih daripada 400 kemalangan melibatkan MiG-21 telah direkodkan sejak mula digunakan.
Insiden-insiden ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya antara 170 hingga 200 orang juruterbang Tentera Udara India.
Selain itu, sekitar 60 orang awam juga dilaporkan terkorban dalam pelbagai insiden berkaitan pesawat ini, menjadikannya antara pesawat tempur dengan kadar kemalangan paling tinggi dalam sejarah moden.
Walaupun begitu, MiG-21 tetap dianggap sebagai ikon kekuatan udara India pada era Perang Dingin, terutama kerana ia merupakan jet supersonik pertama yang dioperasikan negara itu.
Penamatan perkhidmatan MiG-21 menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah pertahanan India, namun pada masa yang sama membuka lembaran baharu ke arah teknologi pertahanan moden yang lebih selamat, berdaya saing dan dibangunkan sendiri dalam negara.
Dari sudut spesifikasi teknikal, MiG-21 Bison merupakan pesawat pejuang jarak dekat yang menggunakan enjin tunggal Tumansky R-25-300 turbojet dengan kuasa tujahan sehingga 69.62 kN apabila menggunakan afterburner.
Pesawat ini mampu terbang pada kelajuan maksimum Mach 2.05 (sekitar 2,175 km/j) dengan kadar pendakian sehingga 225 meter sesaat dan siling operasi sekitar 17,500 meter.
Namun, kelemahan ketara pesawat ini adalah jarak operasi yang terhad, sekitar 370 hingga 580 kilometer dalam misi tempur, dan hanya sehingga 1,500 kilometer dengan tangki bahan api luaran.
Dari aspek persenjataan, MiG-21 Bison dilengkapi dengan satu meriam GSh-23L 23mm serta mampu membawa peluru berpandu udara ke udara jenis R-60 atau R-73, pelbagai jenis bom tidak berpandu serta roket pelbagai kaliber.
Pesawat ini mempunyai lima stesen gantungan yang membolehkan muatan senjata dan bahan api tambahan sehingga 2,000 kilogram.
MiG-21 Bison turut dilengkapi dengan radar Kopyo pulse-doppler, sistem Head-Up Display (HUD) moden, serta Helmet Mounted Sight (HMS) yang membolehkan juruterbang mengunci sasaran hanya dengan menggerakkan kepala.
Namun begitu, teknologi avionik dan sistem radar pesawat ini tetap jauh ketinggalan berbanding jet tempur generasi keempat dan kelima yang kini mendominasi arena pertahanan global.
Penamatan perkhidmatan MiG-21 membuka ruang untuk penggantinya, iaitu pesawat LCA Tejas Mark 1A yang dibangunkan secara tempatan oleh Hindustan Aeronautics Limited (HAL).
Menurut HAL, enam buah Tejas Mark 1A dijangka diserahkan kepada Tentera Udara India menjelang Mac 2026, sebagai sebahagian daripada inisiatif pemodenan aset udara negara.
Pesawat Tejas bukan sahaja lebih canggih dan serba boleh, malah mencerminkan usaha India untuk memperkukuh industri pertahanan dalam negara selaras dengan dasar “Atmanirbhar Bharat” (India Berdikari).
Penamatan MiG-21 juga melambangkan peralihan strategik India ke arah kebergantungan teknologi tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada aset import, dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta keselamatan negara dalam menghadapi ancaman masa hadapan.
Walaupun MiG-21 akan terus dikenang sebagai ikon pertahanan India, era baharu telah pun bermula — era di mana pesawat tempur moden seperti Tejas akan mengambil alih peranan penting dalam mempertahankan ruang udara India di abad ke-21.
Dengan itu, tamatlah legasi MiG-21, yang bukan sahaja mengukir sejarah tetapi juga meninggalkan pelbagai pengajaran tentang keperluan pemodenan dan keselamatan dalam dunia pertahanan yang sentiasa berubah.
Tejas LCA Mark 1A: Simbol Keupayaan Tempur Baharu Tentera Udara India
Pesawat pejuang ringan Tejas LCA Mark 1A merupakan simbol kebangkitan industri pertahanan tempatan India dan tulang belakang kepada usaha kerajaan untuk memperkukuh pertahanan negara melalui teknologi buatan sendiri.
Dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Limited (HAL), Tejas Mark 1A adalah varian termaju daripada siri Light Combat Aircraft (LCA) yang direka khusus untuk menggantikan pesawat legasi seperti MiG-21 Bison dalam perkhidmatan Tentera Udara India.
Pesawat ini menggabungkan reka bentuk aerodinamik canggih, sistem avionik moden dan keupayaan tempur pelbagai peranan.
Tejas Mark 1A dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) jenis EL/M-2052, sistem peperangan elektronik (EW) termaju, serta keupayaan untuk melancarkan peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana dan jarak jauh termasuk Derby dan Astra.
Selain itu, ia turut mempunyai kemampuan untuk membawa peluru berpandu udara ke darat, bom pintar berpandu laser dan sistem pengesanan sasaran optik-infra merah (IRST).
Dikuasakan oleh enjin GE F404-IN20, pesawat ini mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 1.6 dan mempunyai julat operasi sekitar 1,850 km, bergantung pada konfigurasi misi.
Struktur kompositnya menjadikan Tejas lebih ringan, manuver tinggi dan menjimatkan penggunaan bahan api.
Lebih penting lagi, 65 peratus komponennya adalah buatan tempatan, satu pencapaian besar bagi program “Atmanirbhar Bharat” atau India Berdikari dalam sektor pertahanan.
Tejas Mark 1A bukan sekadar pengganti MiG-21, tetapi juga simbol aspirasi India untuk berdiri setanding dengan negara-negara maju dalam pembangunan teknologi aeroangkasa ketenteraan.

Leave a Reply