Sebuah Lagi Dron MQ-9 Reaper Amerika Ditembak Jatuh Houthi, Dron Kedua Dalam 72 Jam
Secara keseluruhannya, ia adalah dron MQ-9 Reaper milik Amerika yang ke-sembilan berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan pejuang di Timur Tengah sejak konflik di antara Palestin dan Israel tercetus 7 Oktober tahun lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan bersenjata Houthi di Yemen mendakwa mereka telah menembak jatuh sebuah lagi dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat, yang merupakan dron kedua daripada jenis yang sama berjaya ditembak jatuhnya anggotanya dalam tempoh 72 jam sahaja.
Secara keseluruhannya, ia adalah dron MQ-9 Reaper milik Amerika yang ke-sembilan berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan pejuang sejak konflik di antara Palestin dan Israel tercetus 7 Oktober tahun lepas.
Sebuah dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat dianggarkan bernilai US$30 juta (RM135 juta), bermakna Washington dianggarkan menanggung kerugian sebanyak US$270 juta (RM1.16 billion) selepas sembilan buah dron canggih MQ-9 Reaper miliknya berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan-kumpulan pejuang di Timur Tengah sejak Oktober tahun lepas.
Menurut jurucakap kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree yang dipetik oleh media tempatan, dron MQ-9 Reaper ke-sembilan milik tentera Amerika Syarikat itu berjaya ditembak ketika ia melakukan aktiviti menjejaskan keselamatan Yemen di wilayah Saada, Yemen.
Tujuh puluh dua jam sebelum penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper di wilayah Saada itu,dron MQ-9 Reaper yang kelapan telah berjaya ditembak jatuh oleh pejuang Houthi ketika dron buatan syarikat General Atomics itu sedang melakukan aktiviti menjejaskan keselamatan negara Arab itu di wilayah Marib.

Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.
Dron buatan Amerika Syarikat yang canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitive.
Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.
Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.
Tentera Amerika Syarikat dilapor bercadang menghentikan perkhidmatan dron MQ-9 Reaper itu pada tahun 2035.

Comments are closed.