Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Bakal Tawar Pakej Menarik Untuk Menangi Tender Pesawat FLIT/LCA Malaysia

Tender Kementerian Pertahanan bagi memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk TUDM telah menarik penyertaan enam buah syarikat dengan China diwakili oleh syarikat China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC).

0 13,625

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dijangka mengemukakan pakej yang menarik untuk memastikan syarikat negara itu muncul sebagai pemenang dalam tender bernilai RM4 bilion untuk membekalkan Malaysia dengan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Akhbar kewangan, The Edge dalam versi mingguannya berkata, tender Kementerian Pertahanan bagi 18 buah pesawat FLIT/LCA telah menarik penyertaan enam buah syarikat pembuat pesawat antarabangsa dengan China diwakili oleh syarikat China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC).

CATIC  menawarkan pesawat L-15.

“China dijangka akan mengemukakan pakej yang amat menarik daripada segi pembiayaan (financing) dan janji pemindahan teknologi daripada CATIC bagi memastikan ia memenangi kontrak daripada Malaysia itu.”

“Selain itu, terdapat juga persamaan dengan syarikat-syarikat tempatan seperti Proton Holdings yang memiliki rakan kongsi daripada China (Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd) dan syarikat-syarikat China lain yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur di Malaysia,” menurut laporan oleh akhbar itu yang memetik sumber tidak dinamakan.

FLIT
Pesawat L-15

 

Bagaimanapun insiden pencerobohan 16 buah pesawat tentera China di Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan terbang dalam bentuk formasi kira-kira 60 batu nautika daripada pantai Sarawak pada 31 Mei yang lepas mungkin menyukarkan tawaran syarikat China itu.

Sejurus daripada insiden pencerobohan pesawat-pesawat China itu, Kementerian Luar telah memanggil duta besar negara itu ke Malaysia dan menyampaikan surat bantahan terhadap insiden itu.

Hubungan Malaysia dengan China pada ketika itu agak tegang.

Selain daripada CATIC yang menawarkan pesawat L-15, syarikat-syarikat pembuat kapal terbang lain yang bersaing untuk memenangi tender Malaysia itu adalah Korea Aerospace Industries (KAI) yang bekerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd untuk menawarkan to pesawat F/A- 50.

Manakala syarikat, Turkey Aerospace Industries pula menawarkan pesawat LCA, Hürjet.

Sementara itu syarikat Itali, Leonardo menawarkan pesawat M-346 manakala Hindustan Aeronautics Ltd daripada India pula menawarkan pesawat Tejas.

Syarikat Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd — yang 71.43 peratus daripadanya dikuasai oleh National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) milik Tan Sri Ahmad Johan, 23 peratus oleh syarikat,  Russian Aircraft dan 4.76 peratus oleh Rosoboronexport pula menawarkan pesawat MIG -35.

Apa yang menarik menurut akhbar The Edge itu adalah, Pakistan yang dikatakan antara pesaing utama untuk memenangi kontrak Malaysia menerusi pesawat JF-17 Thunder, disahkan tidak menyertai tender lumayan itu.

Sementara itu akhbar terbabit juga difahamkan bahawa salah sebuah syarikat yang bersaing iaitu Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) yang menawarkan pesawat “Tejas” bersedia untuk mewujudkan pusat penyelenggaraan pesawat (Maintenance, Repair and Overhaul – MRO) di Malaysia, jika syarikat India itu berjaya memenangi kontrak itu.

Tidak pasti sama ada syarikat-syarikat lain bersedia menawarkan apa yang ditawarkan oleh HAL.

Jika HAL berjaya menawan hati Malaysia, maka negara akan menjadi pasaran eksport yang pertama bagi pesawat indigenous buatan India itu.

 

FLIT
Pesawat Tejas keluaran HAL India.

 

Sebenarnya, soal penyelenggaran pesawat ini adalah amat penting untuk mana-mana tentera udara dengan pesawat pejuang MiG-29N milik TUDM dikatakan terpaksa dibersarakan kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Dengan pusat MRO dalam negara, sudah semestinya akan mengurangkan kos penyelenggaraan sesebuah pesawat itu.

Jadi,jika benarlah HAL menawarkan pusat MRO dalam tawarannya supaya Malaysia membeli Tejas, maka ia adalah suatu cadangan yang amat menarik.  

Sementara itu sumber The Edge juga memberitahu bahawa pesawat Tejas itu memenuhi segala syarat teknikal yang digariskan oleh TUDM.

Bagi syarikat KAI daripada Korea Selatan yang menawarkan pesawat FA-50,  penggunaan pesawat itu oleh beberapa negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Indonesia memberikan kelebihan daripada segi commonality alat ganti sekiranya Malaysia memilih pesawat yang sama.

Bagaimanapun, ada yang juga yang berpendapat penggunaan pesawat yang sama oleh Malaysia hanya akan mendedahkan kemampuan pesawat FA-50 itu kepada negara-negara lain.

Dalam erti kata lain, negara-negara lain tahun titik kelemahan pesawat yang digunakan oleh Malaysia.

FLIT
Pesawat FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI).

 

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...