Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Adakah Perjanjian Rumah Api Pulau Pisang Boleh Dikaji Semula?

Adakah Singapura akan terus dibenarkan mentadbir dan menyelenggara Rumah Api di Pulau Pisang di Pontian, Johor selagi ada "bulan dan bintang."

0 1,870

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mengapa sebuah rumah api yang terletak di Pulau Pisang di Pontian, Johor itu masih ditadbir oleh pihak berkuasa Singapura, walaupun negara sudah lama merdeka dan tidak lagi terikat dengan perjanjian yang ditandatangani pada zaman kolonial.

Menurut seorang pakar perlembagaan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain yang bercakap kepada akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini, kajian menyeluruh perlu dibuat untuk melihat beberapa perjanjian yang ditandatangani mengenai Pulau Pisang itu.

“Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi melihat beberapa isu membabitkan perjanjian Kerajaan Negeri Johor dan British berhubung rumah api di Pulau Pisang.”

“Perkara itu termasuklah status Singapura ketika perjanjian dimeterai sama ada ketika itu negara berada di bawah penguasaan Johor atau British.”

“Tempoh masa dan sejarah perlu dijadikan ukuran untuk membuat semakan semula membabitkan isu rumah api di pulau berkenaan,” Dr Wan Ahmad Fauzi.

Pulau Pisang
Pulau Pisang

 

Kerajaan menurutnya juga perlu melihat sama ada perjanjian itu ditandatangani dengan pihak yang betul memandangkan isu-isu itu sangat teknikal dan perlu dikaji secara menyeluruh sebelum melihat dengan terperinci isu Rumah Api di Pulau Pisang itu.

Sementara itu pengamal undang-undang Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin juga berkata kepada akhbar itu bahawa perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri Johor dengan British tentang kebenaran membina dan menyelenggara rumah api di Pulau Pisang boleh diubah kerana negara ini sudah merdeka dan tidak lagi terikat dengan dokumen itu.

Berdasarkan kepada hujah undang-undang antarabangsa, Malaysia boleh mengubah dan meminda perjanjian yang dimeterai ketika zaman penjajahan.

Bagaimanapun ia bergantung kepada kandungan dokumen terbabit yang memperincikan butiran perjanjian melibatkan pembinaan rumah api yang diuruskan oleh pihak berkuasa Singapura.

“Berdasarkan hujan undang-undang antarabangsa, negara telah merdeka tidak terikat dengan perjanjian zaman kolonial. Ini bermakna perjanjian itu boleh diubah. Bukan sahaja melibatkan Pulau Pisang tetapi juga perjanjian air dengan Singapura.”

“Perjanjian zaman kolonial boleh diubah sebab kita tidak diikat. Namun sebarang pindaan perjanjian perlukan perbincangan antara dua kerajaan iaitu Singapura dan Malaysia,” kata beliau kepada akhbar terbabit.

Pada ketika itu, rumah api di Pulau Pisang itu diuruskan oleh agensi kerajaan Singapura selagi ada “bulan dan bintang” berdasarkan kepada perjanjian yang ditandatangi pada tahun 1900 di antara Sultan Johor pada ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir James Alexander Sweetenham.

Mengikut perjanjian itu,  Pulau Pisang adalah hak mutlak Kerajaan Negeri Johor dan British pada ketika itu hanya diberikan kebenaran untuk membina, mengendali dan menyelenggara rumah api berdasarkan perjanjian bertulis atau indenture yang ditandangani pada 6 Oktober 1900 dengan persefahaman diteruskan sehingga kini.  

Pulau Pisang

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...