China Tawar Beri Dua Buah Kapal Selam Terpakai Pada Thailand
Tawaran oleh China itu berkemungkinan kerana dua buah kapal selam kelas-Yuan “S26T” yang dipesan oleh Thailand daripada Beijing akan mengalami kelewatan daripada segi penghantaran akibat sebab-sebab kegawatan ekonomi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan menawar pemberian dua buah kapal selam terpakai kepada Thailand bagi membolehkan anggota tentera laut negara jiran itu memulakan latihan pengoperasian kapal selam.
Tawaran oleh China itu berkemungkinan kerana dua buah kapal selam kelas-Yuan “S26T” yang dipesan oleh Thailand daripada Beijing akan mengalami kelewatan daripada segi penghantaran akibat sebab-sebab kegawatan ekonomi.
Perolehan dua buah kapal selam itu mengalami kelewatan kerana masalah ekonomi dihadapi oleh Thailand berikutan masalah pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan beberapa sektor utama negara jiran itu.
Beijing dikata menawarkan dua buah kapal selam terpakai sama ada daripada jenis Type 035B kelas-Ming atau Type 039 kelas-Song kepada Tentera Laut Thailand bagi membolehkan ia memulakan latihan pengendalian kapal selam.
Kedua-dua kapal selam yang ditawarkan oleh Beijing itu masih lagi digunakan oleh Tentera Laut China.

Baru-baru ini, laporan media negara jiran itu mengatakan bahawa tentera Thailand dijangka tidak akan memohon peruntukan untuk memperolehi dua lagi buah kapal selam kelas-Yuan “S26T” buatan China pada belanjawan tahun 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober tahun ini.
Sebaliknya, tentera negara jiran itu akan hanya memohon peruntukan untuk membeli dua buah kapal selam China pada belanjawan tahun 2024 yang akan dibentangkan pada Oktober tahun depan.
Akhbar utama negara jiran itu, Bangkok Post dalam laporannya berkata Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Somprasong Nilsamai telah pun bersetuju untuk menangguhkan permohonan peruntukan pembelian dua buah kapal selam untuk setahun.

Panglima Tentera Laut Thailand itu berpendapat peruntukan pembelian kapal selam itu sepatutnya disalurkan kepada tujuan membantu ekonomi rakyat negara itu yang terjejas akibat COVID-19.
“Ia adalah keputusan yang diambil oleh Panglima Tentera Laut tanpa sebarang arahan daripada kerajaan. Walaupun kapal selam adalah aset strategic yang amat perlu,tetapi keadaan ekonomi negara tidak mengizinkan kita untuk memperolehinya.”


Comments are closed.