China Kerah J-20 “Mighty Dragon” Ke Laut China Selatan. Bersediakah TUDM?
Bersediakan pesawat-pesawat pejuang TUDM untuk berdepan dengan pesawat-pesawat termoden negara China iaitu, J-20 "Mighty Dragon" di Laut China Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu bersedia kerana tentera China telah pun mengerahkan jet pejuang paling modennya, J-20 “Mighty Dragon” untuk tugas-tugas di Laut China Selatan, yang sebahagian besar didakwa sebagai miliknya.
Jika pada 31 Mei tahun lepas, China hanya menghantar pesawat-pesawat pengangkutnya iaitu “Y-20” dan “Ilyushin-76” ke Zon Maritim Malaysia (ZMM), maka TUDM perlu bersedia kerana selepas ini mereka mungkin akan berhadapan dengan pesawat-pesawat J-20 di Laut China Selatan.
Jika pesawat Hawk kita boleh memintas (intercept) pesawat-pesawat pengangkut Y-20 dan Ilyushin-76 dalam insiden pada 31 Mei lalu, bagaimana pula jika terpaksa berhadapan dengan pesawat generasi kelima dan termoden China, J-20 “Mighty Dragon” itu pula.
Laporan tentang “kehadiran” J-20 di Laut China Selatan itu juga menyusul tentang laporan media China tentang latihan-latihan pengeboman di lokasi tidak dinamakan di Laut China Selatan dilakukan oleh pesawat-pesawat pengebom terkini negara itu, H-6J.
Pesawat pengebom itu turut mengugurkan periuk-periuk api di dalam latihan itu, yang berkemungkinan menunjukkan senario cubaan China untuk menawan sesebuah pulau atau beting di Laut China Selatan atau Taiwan.
Pemodenan dan peningkatan keupayaan TUDM dan ATM secara keseluruhannya tidak harus ditangguhkan lagi.
Ok berbalik tentang kerahan pesawat generasi ke-lima China itu untuk tugas di Laut China Selatan, ia diketahui menyusuli laporan oleh syarikat pembuat pesawat J-20 iaitu Chengdu Aircraft Industrial Group tentang bermulanya pembuatan secara besar-besaran (mass production) pesawat itu.
Sebuah pesawat J-20 telah dikesan melakukan penerbangan ujian di kilang pembuatannya di Huantianba di Chengdu
Pesawat dengan nombor siri 61162 itu telah dikenalpasti berpengkalan di 5th Air Brigade, Southern Theatre Command (Pemerintahan Kawasan Selatan) membuktikan bahawa pesawat pejuang termoden China itu kini ditugaskan di Laut China Selatan.
Tentera China memiliki lima kawasan pemerintahan tentera dengan Southern Theatre Command bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan di selatan China dan keseluruhan Laut China Selatan yang Beijing dakwa sebagai miliknya.
Pemerhati tentera China Andreas Rupprecht berkata kepada Radio Free Asia bahawa kerahan pesawat J-20 ke Southen Theatre Command itu menunjukkan Tentera China sedang meningkatkan keupayaan tentera di Laut China Selatan dan pesawat-pesawat itu bertujuan untuk operasi-operasi kombat dan bukan latihan.
Seorang lagi penganalisis, Collin Koh daripada S.Rajaratnam School of International Studies di Singapura pula berkata, tindakan China itu sememangnya tidak memeranjatkan kerana Southern Theatre Command itu sememangnya bertanggungjawab untuk operasi tentera di Taiwan dan Laut China Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beijing menurutnya telah memulakan pembuatan besar-besaran pesawat J-20 dengan motif untuk melengkapkan lebih banyak skuadron tentera udaranya.
Bukan setakat pesawat pejuang J-20 itu ditempatkan di selatan China untuk tujuan operasi di Laut China Selatan tetapi Beijing turut bertindak menempatkan pesawat termodennya itu di pangkalan-pangkalannya berhampiran dengan sempadannya negara itu dengan India.
Dan kini laporan daripada China mengatakan pesawat J-20 itu kini telah pun dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat tempatan dikenali dengan nama “WS-10C Turbofan” bagi menggantikan enjin buatan Russia, Saturn AL-31FN.
Pesawat J-20 itu dikatakan rekabentuknya menyerupai pesawat pejuang generasi ke-lima Amerika Syarikat iaitu F-22 Raptor.
Pesawat J-20 “Mighty Dragon” adalah pesawat generasi kelima yang beroperasi di dunia selepas F-22 Raptor dan F-35.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Pada ketika ini, pemerhati tentera antarabangsa menganggarkan di antara 50 hingga 60 buah pesawat J-20 telah pun beroperasi di dalam Tentera Udara China dan dengan pemasangan enjin buatan tempatan bermakna produksinya akan hanya dipertingkatkan dengan lebih pantas.
Apa yang pasti, kita akan melihat dengan lebih kerap pesawat termoden China itu, J-20 “Mighty Dragon” di Laut China Selatan selepas ini….
Sama ada kita bersedia atau tidak…