Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Bakal Guna Kuasa Udara Untuk Kuasai Laut China Selatan

Sememangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing tanpa segan-silu telah memperagakan kekuatan maritim dan udaranya terhadap negara-negara littoral Laut China Selatan, seolah-olah mengatakan kepada negara terbabit supaya tidak mencabar "pemilikan" China terhadap perairan yang penting itu. 

0 2,689

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tidak dapat dinafikan bahawa China bukan sahaja sebuah kuasa ekonomi utama dunia tetapi ia juga adalah sebuah kuasa tentera global yang tidak segan untuk menunjukkan kekuatan ketenteraannya kepada negara-negara jirannya yang lebih kecil.

Tidak cukup dengan pencerobohan kapal-kapal pengawal pantainya, China pada 31 Mei lepas telah menghantar 16 pesawat pengangkut tenteranya pula untuk melakukan penerbangan “provokatif” berhampiran ruang udara Malaysia, berkemungkinan besar untuk menghantar “signal atau petanda” kepada Malaysia tentang “ketidakpuasanhatinya” tentang perkara tertentu.

Sememangnya, sejak beberapa tahun kebelakangnya ini, Beijing tanpa segan-silu telah memperagakan kekuatan maritim dan udaranya terhadap negara-negara littoral Laut China Selatan, seolah-olah mengatakan kepada negara terbabit supaya tidak mencabar “pemilikan” China terhadap perairan yang penting itu. 

Menurut seorang ahli akademik, penerbangan 16 buah pesawat tentera China berhampiran ruang udara negara termasuk di Beting Patinggi Ali pada Mei lepas, menunjukkan potensi Beijing menggunakan kekuatan tentera udaranya untuk menguasai Laut China Selatan, terutamanya di perairan Malaysia.

Perkara itu dinyatakan oleh seorang professor madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Adam Leong Kok Wey dalam penulisannya di Royal United Services Institute (RUSI), yang merupakan sebuah think tank (badan pemikir)  antarabangsa tentang isu-isu pertahanan dan keselamatan.

China
Pesawat-pesawat J-16 Shenyang Tentera Udara China.

 

Selama ini, perhatian banyak tertumpu terhadap penggunaan kapal-kapal sama ada pengawal pantai China atau bot-bot militia maritim oleh China untuk menguasai Laut China Selatan, tetapi penerbangan pada 31 Mei itu mungkin menunjukkan Beijing bakal menggunakan kekuatan udaranya pula untuk menguasai Laut China Selatan terutamanya yang berhampiran dengan Malaysia.

“Negara-negara littoral dan kuasa-kuasa besar yang berpegang kepada rules-based order di Laut China Selatan perlu mengakui (perkembangan baru ini),” kata beliau.

Selain itu katanya, kehadiran pesawat-pesawat China itu mungkin untuk menguji sistem pertahanan udara Malaysia serta reaksi politiknya.

Keduanya, China mungkin sedang menguji kemungkinan untuk melaksanakan operasi airborne sebagai salah satu cara untuk mengukuhkan tuntutannya.

“Secara hipotetikal, China boleh menggunakan pesawat tenteranya untuk mengangkut anggota marin dan peralatan untuk menduduki ciri-ciri maritim (pulau, batuan dan terumbu karang) yang tidak berpenghuni di Laut China Selatan serentak. Ia kemudiannya akan melakukan pembinaan platform, struktur dan asas di ciri-ciri maritim ini sambil dibantu oleh kapal-kapal,” katanya.

TUDM
Pesawat pengangkut tentera China Xian Y-20 digelar “Chubby Girl” yang dipintas oleh pesawat TUDM pada 31 Mei lepas.(kredit TUDM)

 

Pada 31 Mei lepas, 16 pesawat tentera China terdiri daripada pesawat Ilyushin Il-76 dan Xian Y-20 terbang di ruang udara Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) dan Beting Patinggi Ali sehingga kira-kira 60 batu daripada pantai Sarawak.

Selepas gagal menjawab pertanyaan daripada menara kawalan, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengerahkan pesawat Hawk 208 untuk memintas, menyebabkan pesawat-pesawat tentera China itu berpatah balik.

Pesawat-pesawat China itu terbang dalam formasi taktikal di perairan yang di dakwa oleh China sebagai milikinya di bawah konsep “Nine Dash Line.”

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

Menurut Adam, penerbangan pesawat-pesawat China berhampiran ruang udara Malaysia pada 31 Mei itu mungkin adalah “suatu perubahan taktik.”

Perubahan taktik itu mungkin kerana pergerakan kapal-kapal China di Laut China Selatan terlalu dipantau, menyebabkannnya menukar taktik kepada penggunaan pesawat-pesawat tentera pula untuk mengukuhkan kekuasaannya di Laut China Selatan itu (terutamanya di perairan Malaysia).

China
Pesawat pengangkut Xian Y-20 China, sama seperti pesawat yang dirakam oleh TUDM menceroboh ruang udara negara pada 31 Mei lepas.

 

Penggunaan kekuatan udara oleh China untuk menguasai sesuatu perairan itu bukanlah sesuatu yang baru kerana Beijing telah menggunakan pesawat-pesawatnya di kawasan perairan Senkaku yang dimiliki oleh Jepun dan di Taiwan.

China mengerah pesawat-pesawat seperti pengebom H-6K, TU-154, Su-30 dan Shenyang J-11 untuk terbang di ruang udara Kepulauan Senkaku.

Tahun lepas, terdapat 675 penerbangan pesawat tentera China di sekitar Kepulauan Senkaku, menurut Adam, manakala di Taiwan pula,  dari Januari hingga Oktober 2020 pihak berkuasa pulau itu mengerah pesawat-pesawatnya untuk memintas pesawat China sebanyak 2,972 kali di kawasan ADIZ Taiwan.

Pada 2020,  Taiwan membelanjakan US$1 bilion untuk operasi pemintasan pesawat-pesawat China dan kini hanya mengerah radar dan sistem pertahanan udaranya untuk memantau pencerobohan oleh Beijing itu.

China
Sebuah pesawat pengebom H-6 ketika terbang di Laut China Selatan. (Gambar Hiasan)

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...