Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Ditegur Kerana “Bermain Politik Dengan Kesihatan Manusia” Menerusi Diplomasi Vaksinnya

Ia sebagai respons terhadap usaha China yang sedang galak dengan "diplomasi vaksin" kelolaan negara itu.

2,304

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken mengkritik China kerana “bermain politik dengan kesihatan manusia” menerusi apa yang diperkatakannya sebagai diplomasi vaksin COVID-19.

Bercakap pada sidang media di Jepun semalam, diplomat utama Amerika Syarikat itu berkata, apa yang dilakukan oleh Beijing menerusi “vaksin diplomasi” itu amat malang.

“Pelbagai negara termasuk China terlibat dalam diplomasi vaksin (COVID-19). Kita tidak sepatutnya mengaitkan pengedaran atau akses kepada vaksin kepada politik atau geopolitik,” katanya kepada media-media Jepun.

Blinken berkata, diplomasi vaksin itu mengaitkan pengedaran dan akses terhadap vaksin dengan “permohonan” tertentu terhadap negara-negara yang menerima vaksin COVID-19 keluaran negara terbabit.

“Pemberian atau pengedaran vaksin sepatutnya dilakukan oleh sesiapa kerana ia adalah di atas dasar kepentingan kemanusiaan. Saya berharap itu (dasar kemanusiaan) adalah pendorong kepada negara-negara dalam mewujudkan akses yang lebih besar kepada semua untuk mendapatkan vaksin,” kata setiausaha negara Amerika Syarikat itu.

Vaksin

Bulan lepas, Kementerian Luar China mengumumkan bahawa ia telah dan akan membekalkan bantuan vaksin kepada 53 negara dan eksport kepada 27 negara.

Untuk bersaing dengan “vaksin diplomasi” China itu, negara-negara Quad – Amerika Syarikat, Jepun, India dan Australia – bersetuju pada minggu lepas untuk mengedar 1 billion dos vaksin dibuat di India kepada negara-negara Asia Tenggara.

Beberapa negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina menggunakan vaksin Sinovac buatan China.

Pembiayaan kewangan bagi program ini akan disediakan oleh Amerika Syarikat dan Jepun manakala Australia pula akan memberikan bantuan lojistik.

Negara-negara Quad ini diibaratkan seperti versi NATO di benua Asia bertujuan untuk mengekang pengaruh dan tindakan agresif China dalam tuntutan terhadap Laut China Selatan.

Terdapat juga ura-ura supaya negara-negara Quad ini menambah keanggotaannya dikalangan negara-negara Asia.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.