Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Arah Syarikatnya Di Myanmar “Bawa Keluar” Kakitangan Mereka

Sentimen anti-China agak berleluasa di Myanmar ketika ini, dengan penduduk negara itu menyalahkan Beijing kerana menyokong tentera negara itu yang merampas kuasa.

0 1,765

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan China telah mengarahkan syarikat-syarikat miliknya supaya membawa keluar “kakitangan tidak penting” (non-essential) di Myanmar, selepas kilang-kilang milik mereka menjadi mangsa serangan khianat penunjuk perasaan di negara itu.

Arahan supaya kakitangan syarikat-syarikat milik kerajaan China itu dibawa keluar dengan segera daripada Myanmar juga berpunca daripada sentimen anti-China yang semakin menebal di negara Asia Tenggara itu.

Myanmar

Menurut akhbar South China Morning Post, arahan itu dikeluarkan oleh State Assets Supervision and Administration Commission (Sasac) milik kerajaan China.

Menurut seorang pekerja pembinaan warga China di Myanmar yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar terbabit, belia telah menerima notis “keluar dari Myanmar” tersebut daripada Sasac berikutan serangan terhadap kilang-kilang milik syarikat negara itu di negara itu.

Beliau berkata, hampir kesemua projek oleh syarikat-syarikat China di Myanmar telah pun dihentikan dan hampir kesemua kakitangan warga China sedang bersiap-sedia untuk pulang ke negara asal mereka.

Arahan oleh agensi kerajaan China itu juga meminta syarikat-syarikat China di Myanmar supaya mengadakan latihan kecemasan bagi memastikan mereka memiliki bekalan makanan, air, bahan api, kenderaan dan bekalan lain yang mencukupi.

Myanmar

Seorang lagi warga China memberitahu bahawa keadaan di Myanmar agak tegang pada ketika ini apabila tentera mengambil pendekatan yang keras terhadap penunjuk perasaan.

Beliau berkata, mereka menghadapi kesukaran untuk membeli makanan kerana banyak kedai di Yangon dan bahagian-bahagian lain di Myanmar telah ditutup berikutan kekacauan yang melanda negara itu sejak beberapa minggu lepas.

Malah katanya, mereka juga kehabisan duit dan gagal mengeluarkan duit daripada bank-bank yang kebanyakkannya juga ditutup.

Sebanyak 32 kilang milik syarikat-syarikat China telah dirosakkkan dalam serangan khianat di Myanmar yang menyebabkan kerosakkan dianggarkan bernilai US$38.9 juta (RM155.6 juta), menurut kedutaan China di Myanmar sebagaimana dipetik oleh akhbar The Global Times.

Individu-individu tidak dikenali telah menceroboh masuk kilang-kilang, merosakkannya termasuk membakar serta mencuri barang-barang berharga.

Dua warga China yang bekerja di kilang-kilang terbabit cedera dalam kejadian itu.

Kementerian Luar China berkata serangan khianat terhadap kilang-kilang milik China di Myanmar itu adalah “amat buruk” dan meminta Yangon supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kegiatan itu dan menangkap mereka.

Pihak berkuasa Myanmar menurutnya juga perlu berusaha untuk menjaga keselamatan rakyat China dan harta benda itu.

Sentimen anti-China sedang meningkat di Myanmar akibat tindakan negara itu menyokong tentera Myanmar dan peningkatan pengaruh Beijing terhadap hal ehwal dalaman negara Asia Tenggara itu.

Pihak tentera Myanmar pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing memiliki hubungan yang rapat dengan kerajaan Beijing, malah pihak tentera mendapatkan sumber bekalan senjata mereka daripada China.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...