Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Persaingan Sistem SPH Tentera Darat Antara “CAESAR” Dan “Yavuz”?

Namun admin dimaklumkan bahawa persaingan untuk Malaysia kini sebenarnya adalah di antara dua sistem sahaja iaitu CAESAR  155mm 52cal yang dibangunkan oleh syarikat Perancis, NEXTER Systems dan “Yavuz” 155mm 52cal oleh konglomerat pertahanan Turkiye,  Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE).

0 3,055

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Persaingan bagi sistem meriam bergerak (self-propelled howitzer) untuk Tentera Darat dijangka akan menarik pesaing-pesaing yang sama seperti sebelum ini, terdiri daripada beberapa negara seperti Perancis, Turkiye, China dan dua negara lain.

Pemain-pemain industri pertahanan tempatan memberitahu Defence Security Asia, sehingga lima buah sistem dijangka akan menyertai persaingan apabila Kementerian Pertahanan membuka tender terbuka antarabangsa untuk memperolehinya.

Namun admin dimaklumkan bahawa persaingan untuk kontrak Malaysia kini sebenarnya adalah di antara dua sistem SPH sahaja iaitu CAESAR  155mm 52cal yang dibangunkan oleh syarikat Perancis, NEXTER Systems dan “Yavuz” 155mm 52cal oleh konglomerat pertahanan Turkiye,  Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE).

CAESAR
Meriam SPH Bergerak “Caesar” 155mm 52-cal yang dibangunkan oleh NEXTER Systems.

 

Pada pameran Defence Services Asia (DSA) pada tahun lepas, kedua-dua sistem itu membuat penampilan tetapi pada LIMA ’23 yang baru sahaja berakhir, hanya MKE yang mendirikan booth yang agak besar hadir membawa model sistem Yavuz 155mm 52cal.

Untuk NEXTER dan rakan tempatannya, Advanced Defence Systems Sdn Bhd (ADS), memang tidak dapat dinafikan telah bertapak di Malaysia agak lama dalam usaha-usaha promosinya untuk memikat Tentera Darat bagi memperolehi sistem mereka itu.

Beberapa negara di rantau ini turut menggunakan sistem CAESAR iaitu, Thailand dan Indonesia serta negara-negara di Eropah.

Perancis serta beberapa negara Eropah lain turut “mendermakan” sistem CAESAR mereka kepada Ukraine untuk digunakan mereka bagi membedil kedudukan tentera Russia.

Pada DSA tahun lepas, ADS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nexter bagi membolehkan ia memasang sistem meriam howitzer CAESAR  155mm 52 Cal di kemudahannya di Segamat sekiranya sistem itu dipilih oleh Kementerian Pertahanan.

Dalam satu kenyataan bersama, dengan pemindahan teknologi sekiranya ADS berjaya di dalam tender untuk membekalkan sistem howitzer bergerak kepada Angkatan Tentera Malaysia maka syarikat berkeyakinan pembangunan ekonomi dalam industri pembuatan meriam di Malaysia akan terus berkembang.

CAESAR
Meriam CAESAR 155mm 52 cal dengan kenderaan 8×8.

 

“Dengan adanya sistem CAESAR 155mm di Malaysia,  rantai bekalan menerusi penggunaan produk tempatan akan dapat dipertingkatkan,” menurut kenyataan bersama itu.

Untuk sistem CAESAR 155mm 52cal menggunakan kenderaan 6×6 yang ditawarkan kepada Malaysia, ia mempunyai berat keseluruhan melebihi 17 tan dengan radius operasi sejauh 600km jauhnya.

Kenderaan 6×6 itu berkemampuan membawa sehingga 18 buah peluru 155mm manakala kenderaan re-supply akan mengikut rapat sekiranya diperlukan untuk mengisi balik kompartmen peluru apabila ia selesai digunakan.

Meriam CAESAR 155mm 52cal itu berkemampuan menembak sehingga 40km jauhnya.

Manakala bagi sistem “Yavuz” 155mm 52cal pula, admin dimaklumkan bahawa syarikat Turki itu menawarkan “pakej” yang sama kepada Malaysia sebagaimana sebelum ini.

Perolehan secara rundingan terus 18 buah unit  meriam SPH “Yavuz” dan sistem sokongannya bernilai RM800 juta telah pun dibatalkan awal tahun ini, memungkinkan tender terbuka bagi perolehan sistem itu pada tahun ini.

Yavuz SPH
Sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh gergasi industri pertahanan Turkiye, MKE.

 

Antara pakej tawarannya meliputi pemberian secara percuma  percuma sejumlah pesawat tanpa pemandu taktikal (tactical unmanned aerial vehicle – TUAV) untuk digunakan bersama-sama oleh sistem artilleri itu bergerak itu.

 “Tentera Darat dicadang menerima secara percuma sembilan buah sistem pesawat tanpa pemandu taktikal itu. Setiap satu sistem terdiri daripada dua buah pesawat tanpa pemandu, menjadikan keseluruhannya 18 buah pesawat tanpa pemandu beserta peralatan-peralatan sokongan yang lain.”

“Sistem pesawat tanpa pemandu taktikal itu akan digandingkan dengan “Yavuz” bagi memastikan sistem meriam bergerak itu dapat menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan,” kata sumber Defence Security Asia sebelum ini.

Konflik Russia-Ukraine pada ketika ini menyaksikan kedua-dua pihak terutamanya Kiev menggunakan pesawat tanpa pemandu bersama-sama bateri sistem artillerinya bagi memastikan mereka mempunyai “eyes in the sky” untuk mengenalpasti dan membedil sasaran-sasaran di darat dengan lebih tepat.

“Sistem pesawat tanpa pemandu yang bergandingan dengan sistem artilleri akan membolehkan pengendali mengesan sasaran-sasaran yang cuba berselindung di bukit-bukit, di bangunan atau bawah-bawah pokok.”

“Mereka (sistem TUAV) juga dapat melihat dengan jelas di mana peluru-peluru artilleri itu meletup dan mengubahsuai koordinat bagi memastikan bedilan-bedilan seterusnya tepat mengenai sasaran,” menurut majalah Forbes yang membincangkan tentang penggunaan UAV oleh unit-unit artileri Ukraine.

Yavuz
Tentera Russia menggunakan UAV taktikal untuk mengesan sasaran bagi sistem artilerinya. (gambar hiasan)

 

MKE merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turkiye dimana 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan Turki manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan Turki.

Mengenai komen-komen segelintir pihak mengatakan sistem “Yavuz” tidak digunakan lagi termasuk oleh tentera Turkiye, sumber memberitahu, meriam 155mm “Panter” dan komponen sokongannya yang digunakan oleh sistem SPH itu telah digunakan secara meluas oleh tentera darat Turkiye.

Menggunakan Fire Control System yang dibangunkan oleh syarikat terkenal Turkiye, ASELSAN ia telah berjaya diintegrasi dengan sistem “Yavuz.”

Sistem “Yavuz” 155mm 52cal yang berkemampuan menembak sasaran sejauh 40km dengan peluru standard itu menggunakan kenderaan 6×6 Man berkuasa 400 kuasa kuasa yang boleh mencapai kelajuan sehingga 90km sejam. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...