Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Boustead Perlu Persetujuan OEM, Vendor Tempatan Untuk Teruskan Perolehan LCS

Sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

0 2,402

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan bersetuju memberikan tempoh selama enam bulan untuk fasa mobilisasi kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) bagi melaksanakan rundingan dengan 42 Original Equipment Manufacturer (OEM) dan 145 Vendor Tempatan yang terlibat dalam perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) ini.

Fasa mobilisasi ini adalah amat penting, dimana syarikat BNSSB perlu membuktikan telah mendapat sokongan penuh daripada semua OEM dan Vendor yang terlibat serta bersetuju untuk terus membekalkan peralatan dalam meneruskan perolehan ini.

“Selain itu, pembuktian ini penting bagi memastikan tiada isu peralatan yang diterima akan mengalami isu penggantian barang pada masa akan datang (obsolete). “

LCS

“Pembinaan akan diteruskan oleh syarikat BNSSB setelah fasa mobilisasi ini selesai dan syarikat BNSSB berjaya mendapatkan persetujuan daripada semua OEM dan Vendor untuk meneruskan perolehan ini,” kata Menteri Pertahanan dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Selaras dengan ini juga katanya, Fasa Mobilisasi ini dipantau rapi oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Khas atau Project Monitoring Committee (PMC) yang dianggotai Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan supaya teratur dan selari dengan keputusan yang telah dibuat oleh Jemaah Menteri.

Pada 20 April lepas, Kementerian Pertahanan telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung cadangan penyelesaian bagi Kontrak Perolehan 6 Buah Kapal Second Generation Patrol Vessel Berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) Untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meneruskan perolehan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak BNSSB dalam pelan pemulihan tersebut.

Dalam satu lagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan juga berkata syarikat BNSSB pada masa ini masih dalam proses rundingan dengan pihak OEM di luar negara seperti Perancis, Jerman, dan United Kingdom secara berperingkat sejak 4 Julai 2022 yang lalu.

LCS
Gambar salah sebuah kapal LCS. (kredit BNS)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Setelah rundingan selesai, Syarikat BNSSB akan membentangkan laporan tersebut kepada Project Monitoring Committee (PMC) yang dianggotai oleh beberapa buah agensi kerajaan.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

Comments
Loading...