Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kos Operasi Sebuah Kapal LMS TLDM Cecah RM28,000 Sehari, RM1,200 Satu Jam

Anggaran kos pengoperasian bagi sebuah kapal Littoral Mission Ship (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini adalah RM 1,200.00 sejam atau RM 28,800.00 sehari bagi sebuah kapal.

0 4,889

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Anggaran kos operasi sehari bagi sebuah kapal Littoral Mission Ship (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah RM1,200 sejam atau RM28,800 sehari, menurut Menteri Pertahanan di dalam jawapan lisannya di Dewan Rakyat.

Pada 2017, TLDM telah memuktamadkan perolehan kapal kelas LMS batch yang pertama dengan pembinaan empat buah kapal di China.

Kesemua kapal tersebut iaitu KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dan KD RENCONG telah memasuki inventori TLDM secara berperingkat mulai Januari 2020 hingga Disember 2021 dan kini sedang beroperasi sepenuhnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

LMS
Kapal LMS TLDM yang keempat dan terakhir, “KD Rencong” di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. (TLDM)

 

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China dalam kontrak perolehan yang melebihi RM1 billion.

“Manakala bagi kos pengoperasian kapal LMS, ianya merujuk kepada kos selenggaraan, kos alat ganti, kos bahan bakar dan kos rangsum. “

“Berdasarkan dapatan data pengoperasian kapal LMS dalam tempoh setahun iaitu dari 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2022, anggaran kos pengoperasian bagi sebuah kapal LMS ini adalah RM 1,200.00 sejam atau RM 28,800.00 sehari bagi sebuah kapal,” kata Menteri Pertahanan dalam jawapan lisan itu semalam.

Tahap kesiagaan kapal LMS ini kata beliau, berada di tahap yang baik di mana kesemua kapal berstatus beroperasi penuh dan kapal mampu melaksanakan penugasan operasi dengan berkesan apabila diatur gerak.

LMS
Kapal LMS ketiga TLDM dinamakan “KD Badik.” (gambar kredit TLDM)

 

“Setakat ini tiada masalah besar yang dihadapi dalam pengoperasian kerana setiap perkara yang berlaku mampu dibaiki oleh anggota teknikal kapal sendiri di laut atau bantuan dari pihak depot setiba kapal di pangkalan,” katanya.

Program Transformasi Armada TLDM 15 ke5 telah diperkenalkan pada November 2017 untuk mewujudkan pengurusan keupayaan Armada TLDM yang kredibel, dinamik dan ekonomikal.

Pelan jangka panjang sehingga tahun 2050 ini dijangka akan dapat mengatasi cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh TLDM dalam pengurusan aset yang usang melalui pengurangan 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal sahaja.

Lima kelas kapal TLDM itu adalah Littoral Combatant Ship (LCS), Littoral Mission Ship (LMS), Multi Role Support Ship (MRSS), New Generation Patrol Vessel. — LCS

 

Comments
Loading...