Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Aktiviti Rekrut Warga Tempatan Untuk Kesultanan Sulu Di Sabah

Aktiviti merekrut ini dilakukan dengan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri dipercayai bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu.

0 2,524

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sukarelawan Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) telah dimaklumkan melalui aplikasi Whatsapp beberapa hari lepas tentang wujudnya kegiatan merekrut warga tempatan di Sabah khususnya di Lahad Datu dipercayai untuk Kesultanan Sulu.

Aktiviti merekrut ini dilakukan dengan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri dipercayai bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu.

“Kegiatan mana-mana pihak dan/atau individu yang merekrut rakyat tempatan Sabah di Lahad Datu untuk mengikrarkan taat setia kepada Kesultanan Sulu dan juga memberikan Dokumen Pengenalan Diri yang dipercayai bagi Kesultanan Sulu kepada rakyat tempatan di Sabah adalah jelas suatu kesalahan menderhaka di bawah Kanun Keseksaan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan juga Dipertua Negeri, Sabah. “

sulu
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.

 

“Tindakan ini sememangnya bertujuan untuk mencemarkan kedaulatan Malaysia dan juga Sabah,” kata setiausaha agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.

Taat setia kepada anasir asing, seperti Kesultanan Sulu yang jelas mempunyai sejarah hitam melancarkan keganasan dan perang terhadap Yang Dipertuan Agong perlu dibendung terutamanya apabila wujud dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan perakuan taat setia terhadap Kesultanan Sulu, katanya.

“Warga tempatan di Sabah yang terlibat dalam memberikan taat setia kepada Kesultanan Sulu jelas telah melakukan suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan pihak yang telah melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agong dan juga Dipertua Negeri, Sabah.”

Hantaran Whatsapp yang diterima oleh sukarelawannya juga mengandungi gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia kepada Kesultanan Sulu.

Hishamuddin berkata, dokumen identiti diri tersebut tertulis, “KARNA’ AGAMA ISLAM BANGSAKU BAUGBUGAN, HULA’KU KALASAHAN” dan “SULTAN BANTILAN MUHAMMAD MUIZUDDIN II BIN DATU WASIK –ARANAN”.

Terdapat juga tulisan-tulisan seperti, “SULU SULTANIYAH DARUL ISLAM TANDA’ KARAAYATAN TAUSUG” dan “SOOLO (SULU) SULTANATE DARUL ISLAM NATION (TAUSUG NATION IDENTIFICATION CARD).

sulu
Kumpulan bersenjata Sulu

 

Pihak MHO menurut beliau, mengecam segala usaha dan kegiatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam merekrut kumpulan untuk memberikan taat setia kepada anasir asing khususnya Kesultanan Sulu.

“MHO ingin menyeru kepada semua pihak, warga tempatan Sabah termasuklah warga Stateless dan migran untuk berpihak dan memberikan taat setia kepada Yang Dipertuan Agong dan juga Dipertua Negeri, Sabah selaku pemimpin tertinggi di dalam negara Malaysia,” katanya.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sulu
Bedilan mortar 81mm terdapap kedudukan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada 2013.

 

Beliau juga menyeru semua pihak menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkenaan kegiatan mana-mana individu, gerakan atau kumpulan yang cuba merekrut dan/atau pihak yang cuba menceroboh dan/atau mencemarkan kedaulatan Malaysia dan Sabah.

Hishamuddin menggesa suatu siasatan menyeluruh dan terperinci dilakukan oleh pihak Polis bagi memastikan sebarang anasir atau ancaman oleh anasir asing seperti Kesultanan Sulu tersebut dapat dibendung daripada terus merebak di kalangan warga tempatan. — DSA

 

 

Comments
Loading...