Bom-Bom “Bersayap” Russia Memeningkan Kepala Tentera Ukraine
“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom bersayap yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman yang baru kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap,” kata jurucakap Tentera Udara Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Ukraine mengakui ia sedang berhadapan dengan masalah besar untuk menangani serangan-serangan udara pesawat Russia yang menggugurkan bom-bom panduan yang telah diubahsuai dan dilengkapi dengan “sayap” (winged).
Menurut jurucakap Pemerintahan Tentera Udara Ukraine Yuriy Inhat, pesawat-pesawat pejuang Russia menggugurkan bom-bom dilengkapi dengan sayap diluar daripada radius operasi sistem pertahanan udara negara itu.
“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom bersayap yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman yang baru kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap,” kata beliau.
Menurut laporan oleh media-media tempatan, 10 buah pesawat pejuang Su-35 Russia telah melakukan serangan udara terhadap Sumy Oblast, utara Ukraine pada 24 Mac lalu dengan menggugurkan 10 buah bom-bom yang dilengkapi dengan sayap serta peluru berpandu KH-31P.
Pada 28 Mac, kawasan itu sekali lagi diserang oleh bom-bom bersayap itu selepas ia digugurkan oleh pesawat-pesawat Russia diluar “payung perlindungan” yang diberikan oleh sistem pertahanan udara Ukraine.
Russia dilaporkan mempertingkatkan penggunaan bom-bom FAB-500M-62 yang dilengkapi dengan kit yang dipanggil “Modul Planirovaniya I Korrektsi (MPK)” atau modul “luncuran dan pembetulan.”
Media Russia dipanggil “Military Review” telah berkongsi gambar-gambar bom FAB-500 yang gagal meledak di sebuah jalan di Donetsk dan awal Januari lepas, gambar bom FAB-500M-62 dengan sayap misteri juga telah tersebar di media online.
Bom dengan sayap misteri pada ketika itu telah digugurkan oleh pesawat pejuang Su-34.
Pada ketika itu, penganalisis telah membandingkan bom-bom FAB milik Russia itu dengan bom Joint Direct Attack Munition (JDAM) buatan Amerika Syarikat yang kini dibekalkan kepada Tentera Udara Ukraine.
Kemunculan laporan mengenai penggunaan bom-bom bersayap Russia itu berlaku pada waktu yang hampir sama ketika tersebarnya laporan mengenai penggunaan bom-bom dilengkapi dengan kit JDAM oleh Ukraine terhadap kedudukan tentera Russia di Bakhmut.
Comments are closed.