Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

BHIC Peroleh Dua Kontrak Sokongan, Selenggara Kapal Selam TLDM Bernilai RM140 Juta

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini , BHIC berkata pada 17 Mei lalu anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) telah menerima Surat Anugerah (Letter of Award) bertarikh 5 Mei 2023 daripada Kementerian Pertahanan, mewakili kerajaan.

0 1,932

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat Boustead Heavy Industries Bhd (BHIC) telah memperoleh dua kontrak kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Kementerian Pertahanan secara keseluruhan bernilai kira-kira RM140 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini , BHIC berkata pada 17 Mei lalu anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) telah menerima Surat Anugerah (Letter of Award) bertarikh 5 Mei 2023 daripada Kementerian Pertahanan, mewakili kerajaan.

Menurut syarikat itu, Kementerian Pertahanan menganugerahkan kontrak Sokongan Perkhidmatan Interim (ISS) bagi Kapal Selam Kelas Perdana Menteri TLDM bernilai RM99.8 juta.

Kapal Selam
KD Tunku Abdul Rahman dan helikopter Fennec (TLDM.)

 

Kontrak itu adalah untuk tempoh 11 bulan bermula 15 Mac 2023 sehingga 14 Februari 2024.

“Kontrak rasmi antara kerajaan dan BSES akan dimuktamad dan dilaksana pada satu tarikh kemudian,” katanya.

Kedua-dua kapal selam jenis “Scorpene” kelas-Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak milik negara telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 2009 dan kini beroperasi daripada Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Dalam satu lagi kenyataan berasingan, BHIC berkata BSES telah menerima Surat Anugerah bertarikh 5 Mei 2023 daripada Kementerian Pertahanan, yang mewakili kerajaan, untuk lanjutan kontrak menyelenggara kemudahan kapal selam bagi TLDM bernilai RM40.26 juta.

Kontrak berkenaan, katanya adalah untuk tempoh 12 bulan bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.

Torpedo
Torpedo Black Shark yang melengkapi kapal selam TLDM

 

BHIC berkata, kontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Kecuali Tan Sri Aziah Ali dan Dr Salihin Abang yang masing-masing adalah Pengarah BHIC dan BSES, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau individu yang berkaitan dengan mereka, memiliki sebarang kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini,” katanya.

BHIC merekodkan kerugian bersih RM21.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding keuntungan bersih RM15.19 juta setahun sebelumnya.

Pendapatannya dalam tempoh itu merosot kepada RM141.76 juta daripada RM149.19 juta tahun sebelumnya dengan perolehan tahun yang dikaji itu diraih terutamanya daripada kontrak-kontrak kapal selam dan projek-projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan pertahanan.

Mengenai prospek, syarikat itu menyatakan bahawa ia mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk menyiapkan pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) bagi melindungi keselamatan dan pertahanan negara ini. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...