Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Kekal Keupayaan Kombatan Kapal-Kapal LCS TLDM

Kementerian Pertahanan memberikan jaminan bahawa tidak akan ada sebarang pengurangan di dalam keupayaan kombatan kapal-kapal perang Littoral Combat Ship (LCS) millik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM.

0 4,385

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa keupayaan kombatan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS) akan kekal sebagaimana spesifikasi asal kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak akan ada sebarang pengurangan keupayaan kombatan terhadap kapal-kapal LCS itu.  

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tiada sebarang pengurangan keupayaan kombatan terhadap kapal LCS ini sebagaimana objektif asalnya. “

“Tidak ada pengurangan Tuan Yang di-Pertua, kita akan ikut spesifikasi yang awal. Jika dapat diteruskan projek ini, ia akan dibuat seperti mana reka bentuk dan juga segala keupayaan kombatannya akan mengikut spesifikasi awal pihak penggunanya iaitu pihak TLDM,” kata Menteri Pertahanan.

Mohamad Hasan yang juga dikenali sebagai “Tok Mat” berkata demikian di Dewan Rakyat baru-baru ini.

NSM
Peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM)

 

Beliau juga berkata kertas kabinet mengenai pembinaan kapal-kapal LCS itu akan dikemukakan kepada kabinet untuk diputuskan sama ada pembinaan kapal perang itu disambung semula atau tidak.

Kontraktor utama kepada projek pembinaan kapal perang termoden dalam armada TLDM itu adalah Boustead Naval Shipyard (BNS) yang memiliki limbungan kapalnya sendiri di Lumut, berhampiran dengan Pangkalan TLDM Lumut.

BNS dengan Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) dipertanggungjawabkan untuk merekabentuk kapal LCS mengikut rekabentuk korvet Gowind 2500 sebagaimana dimiliki oleh Tentera Laut Mesir.

Bagaimanapun rekabentuk kapal-kapal Gowind kelas-Maharaja Lela TLDM lebih besar dengan beratnya (full load) mencecah 3,100 tan dan dikategorikan sebagai sebuah kapal friget.

Selepas kontrak pembinaan ditandatangani pada Januari 2014, kapal pertama LCS dijangka diserahkan kepada TLDM pada April 2019 dan diikuti dengan lima kapal yang lain.

LCS
Lakaran grafik kapal LCS TLDM

 

Kapal LCS kelas-Maharaja Lela TLDM apabila siap dibina kelak memiliki panjang 111 meter dan membawa kira-kira 118 orang krew kapal daripada pegawai sehinggalah kepada anak-anak kapalnya.

Dengan jenis propulsion CODAD (Combined Diesel and Diesel), kapal LCS TLDM itu memiliki kelajuan 28 knots ++ dan jarak operasi sehingga 5,000 batu nautika (pada kelajuan 15 knots).

Kapal-kapal LCS TLDM ini mampu beroperasi lebih jauh dan lebih lama .

Disebabkan saiznya, kapal memiliki kemudahan hangar dan helipad untuk mengoperasikan helikopter bersaiz sederhana seberat di antara 10 hingga 12 tan seperti EC725 dan lain-lain jenis helikopter.

Mengenai sistem persenjataannya,  kapal-kapal kelas-Maharaja Lela ini akan dilengkapkan dengan sebuah meriam BAE Systems Bofor 57mm dengan kupola halimunan bertujuan mengurangkan Radar Cross Section (RCS) kapal.

LCS
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship di Lumut. (kredit FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

 

Selain itu,ia juga dilengkapi dengan dua meriam MSI Defence DS30 MkII 30mm Remote Control Weapon System (RCWS) dan J+S pelancar torpedo.

Bagi sistem peluru berpandu anti-kapalnya pula, ketika kontrak ditandatangani kapal-kapal kelas-Maharaja Lela TLDM ini merupakan kapal perang pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan peluru berpandu NSM yang dibangunkan oleh firma Kongsberg daripada Norway.

Setiap sebuah kapal LCS TLDM itu akan dilengkapi dengan lapan butir peluru berpandu moden itu.

Bagi pertahanan udaranya pula, kapal perang itu dikatakan akan dilengkapidengan sistem peluru berpandu VL (Vertical Launch) MICA yang dibangunkan oleh firma MBDA, walaupun ramai peminat pertahanan mahukan ia dilengkapi dengan sistem pertahanan udara, ASTER 15 sebagaimana yang dilakukan oleh Tentera Laut Singapura terhadap enam buah kapal friget kelas-Formidable miliknya.

Mengenai Sistem Pengurusan Peperangan (Combat Management System –CMS) pula, kapal-kapal LCS TLDM itu menggunakan sistem SETIS yang dibangunkan sendiri oleh firma Naval Group, walaupun di dalam laporan PAC mengatakan TLDM lebih berminat kepada sistem CMS “Tacticos.”

LCS
Anggota media dibawa melawat limbungan kapal milik BNS di Lumut hari ini untuk melihat dengan lebih dekat pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship. (kredit Abam Hensem)

 

 

Bagaimanapun, sememangnya pengguna kapal-kapal Gowind memang menggunakan Sistem Pengurusan Peperangan “SETIS.” 

Untuk fire control radar, kapal-kapal LCS akan menggunakan Rheinmetall TMX/EO MKII manakala bagi sistem ESM pula ia menggunakan THALES VIGILE 100 ESM dan sonar pula kapal dilengkapi dengan THALES CAPTAS Variable Depth Sonar.

Untuk sistem decoy pula, ia menggunakan Super Barricade Decoy System manakala komunikasi ia menggunakan Link 16 dan Link 11 serta THALES TUUM-Underwater Communication System. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...