Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tiada Rancangan Bangun Stesen Luar Pantai Di Beting Patinggi Ali – Menteri Pertahanan

“Kementerian Pertahanan tidak berhasrat untuk melaksanakan pembangunan di Beting Patinggi Ali (BPA),” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dalam jawapan bertulis beliau pada soalan di Dewan Rakyat pada 14 Jun yang lalu.

0 1,753

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun perairan sekitarnya kerap diceroboh oleh kapal-kapal pengawal pantai China, namun Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada 14 Jun yang lalu.

Beliau bertanya sama ada kementerian mempunyai perancangan membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Patinggi Ali untuk meletakkan aset-aset ketenteraan negara, sebagaimana apa yang dilakukannya di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

 

“Kementerian Pertahanan tidak berhasrat untuk melaksanakan pembangunan di Beting Patinggi Ali (BPA),” kata Mohamad Hasan dalam jawapan bertulis beliau itu.

Dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali berkedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

Beting ini berada di kedudukan paling selatan dalam gugusan Kepulauan Spratly. 

Kawasan dasar laut di kawasan beting ini menyimpan khazanah gas asli dan minyak yang masih banyak yang dianggarkan bernilai berbilion-bilion Ringgit.

Laporan daripada Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington menyatakan bahawa kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali sebanyak 316 hari dalam setahun pada tahun lepas.

Menteri Pertahanan berkata untuk menangani cabaran maritim di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali, kementerian telah memperolehi kelulusan untuk membangunkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baru iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak.

PASKAL
Helikopter TUDM menurunkan anggota PASKAL ketika latihan misi penyusupan di Stesen Lima, Terumbu Layang-Layang  tahun lepas (ATM)

 

Selain itu katanya, perolehan kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMBS2) juga telah diluluskan melalui Rolling Plan Ketiga Tahun 2023 baru-baru ini.

“Cadangan untuk mewujudkan Pangkalan TLDM yang baru di Sarawak adalah hasil penilaian strategik berpusat kepada dua perkara utama iaitu melindungi kepentingan sumber negara serta mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing,” kata beliau.

Menurut Mohamad Hasan, berdasarkan kajian semasa, Bintulu dinilai sebagai lokasi yang paling sesuai untuk membangunkan sebuah pangkalan TLDM yang baru.

“Secara tidak langsung, pembangunan bagi kedua-dua elemen ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan sebagai langkah untuk mewujudkan keupayaan kritikal bagi aspek pertahanan maritim khususnya di perairan Sarawak,” kata Menteri Pertahanan dalam jawapan bertulis beliau.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Daripada aspek operasi, TLDM kata beliau, sentiasa memastikan keselamatan perairan negara khasnya dan pertahanan negara umumnya berada di tahap tertinggi dengan pelaksanaan operasi-operasi di perairan negara termasuk di Laut China Selatan.

Kerjasama TLDM dan APMM melalui Operasi NAGA bertujuan memastikan perairan Zon Maritim Malaysia terjamin dari sebarang pencerobohan oleh bot dan kapal asing.

Pemantauan dan rondaan yang dilaksanakan adalah secara berterusan sepanjang masa dan aset TLDM/APMM sentiasa memperagakan kehadiran bagi menjaga keselamatan nelayan tempatan dan komuniti maritim yang lain, katanya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...