Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengawal Pantai China, CCG 5402 Sudah Sebulan Berada Di Beting Patinggi Ali

Dalam emelnya kepada Defence Security Asia, penyelidik antarabangsa  Raymond M. Powell berkata kapal pengawal pantai China itu yang dikesan tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali pada 31 Mac lepas, masih terus berada di perairan ZEE milik Malaysia itu hampir sebulan selepas ketibaannya di perairan negara itu.

0 9,492

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengawal pantai China CCG 5402 didapati masih berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di luar pantai Sarawak, kira-kira sebulan sejak kapal itu dikesan tiba di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia itu.

Dalam emelnya kepada Defence Security Asia, penyelidik antarabangsa  Raymond M. Powell berkata kapal pengawal pantai China itu yang dikesan tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali pada 31 Mac lepas, masih terus berada di perairan ZEE milik Malaysia itu hampir sebulan selepas ketibaannya di perairan negara itu.

Kapal pengawal pantai China itu berkemungkinan turut menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam perairan ZEE Malaysia itu.

CCG 5402
kredit: Raymond M. Powell

 

Dalam ciapannya menerusi akaun Twitter miliknya sebelum ini, penyelidik itu berkata, kapal pengawal pantai China itu telah bertindak “menganggu” aktiviti minyak dan gas yang dijalankan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Beting Patinggi Ali.

“Pagi ini, 18 April pada 0746 waktu tempatan, kapal pengawal pantai China 5402 melintasi dalam lingkungan 300 meter daripada kapal perkhidmatan pesisir Malaysia, SK Majestic dan pelantarnya serta meneruskan ‘gangguan’ terhadap lapangan gas Petronas di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali),” katanya dalam ciapan beliau pada 18 April lepas.

Raymond M. Powell merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan bekas pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat.

Kapal pengawal pantai China dipercayai berada hampir dengan projek pembangunan gas Kasawari di Blok SK316 yang sedang diusahakan oleh Petronas.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.

Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak di Laut China Selatan dan sememangnya telah terbukti sebagai kawasan perairan yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.

Kapal pengawal pantai CCG 5402 dikesan belayar daripada pangkalannya di Sanya, Pulau Hainan pada 29 Mac lepas dan memasuki perairan ZEE Malaysia di perairan Beting Patinggi Ali dua hari kemudiaan.

Sementara itu Powell juga memberitahu bahawa pada ketika ini tiada kapal-kapal penguatkuasa milik Malaysia dikesan berada di perairan yang sama di mana kapal pengawal pantai China CCG 5402 itu berada.

APMM
Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di luar pantai Sarawak. (gambar fail)

 

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Kedah menurut beliau, dikesan berada di kawasan perairan di Beting Patinggi Ali sehingga 24 April memantau kapal China itu tetapi telah berpatah-balik ke pangkalnnya di Kota Kinabalu.

“Kapal-kapal TLDM dan Pengawal Pantai Malaysia secara amnya akan berada di kawasan perairan itu dalam seminggu untuk memantau kapal pengawal pantai China itu, tetapi ada juga minggu-minggu di mana mereka tidak berada di kawasan perairan itu, “ menurut Powell.

Antara kapal-kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang pernah ditugas memantau kapal pengawal pantai China CCG 5402 baru-baru ini adalah KM Tabah dan KM Bistari.— DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...