Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Kapal Perang Amerika Dan China Hampir “Berlanggar” Di Selat Taiwan

Menurut kenyataan daripada pemerintahan Indo-Pasifik Tentera Laut Amerika Syarikat (USINDOPACOM), insiden itu berlaku ketika kapal destroyer miliknya USS Chung-Hoon sedang belayar di Selat Taiwan itu bersama kapal perang Tentera Laut Kanada, HMCS Montreal.

0 1,492

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Marah” dengan tindakan kapal Tentera Laut Amerika Syarikat belayar di Selat Taiwan, sebuah kapal perang China bertindak berlayar dalam keadaan berbahaya sehingga hampir menyebabkan kedua-duanya terlibat dalam insiden pelanggaran.

Menurut kenyataan daripada pemerintahan Indo-Pasifik Tentera Laut Amerika Syarikat (USINDOPACOM), insiden itu berlaku ketika kapal destroyer miliknya USS Chung-Hoon sedang belayar di selat itu bersama kapal perang Tentera Laut Kanada, HMCS Montreal.

Selat Taiwan adalah selat yang amat strategik kerana ia memisahkan tanah besar China dengan pulau Taiwan yang masih dianggap oleh Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Selat Taiwan

Beijing telah berikrar untuk “mengembalikan” Taiwan kepada pemerintahannya, sama ada menerusi aman atau peperangan.

Menteri Pertahanan China Li Shangfu yang kini berada di Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La dilaporkan memberikan reaksi berikut: “Jaga hal ehwal anda sendiri, jaga wilayah dan perairan anda dan jika anda berbuat demikian tiada masalah pada masa depan.”

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin turut berada di Singapura pada ketika dan telah menghulurkan pelawaan untuk mengadakan pertemuan dengan delegasi China di republik itu tetapi tidak dilayan oleh Beijing.

Kapal perang China dipercayai daripada destroyer kelas-Luyang itu melakukan manuver berbahaya di belakang kapal perang Amerika Syarikat, dengan kedua-dua kapal perang pada satu ketika hanya berada 137 meter di antara satu sama lain.

Video yang diambil oleh sebuah stesen televisyen Kanada menunjukkan kapal perang China itu bertindak meningkatkan kelajuannya dalam usaha untuk menghampiri USS Chung-Hoon dan melakukan manuver yang berbahaya sehingga hampir menyebabkan pelanggaran.

Kenyataan USINDOPACOM menyatakan bahawa kapal perang China itu “telah melakukan manuver yang amat berbahaya” berhampiran USS Chung-Hoon sehingga menyebabkan kapal perang Amerika Syarikat itu terpaksa memperlahankan kelajuan dan mengubah laluannya untuk mengelak berlakunya insiden pelanggaran.

Kenyataan daripada kapal perang Kanada itu pula menyatakan bahawa kapal China itu telah secara tiba-tiba meningkatkan kelajuannya untuk memintas USS Chung-Hoon, sebuah kapal destroyer daripada kelas-Arleigh Burke.

Komander kapal perang Kanada itu menyifatkan apa yang dilakukan oleh kapal China itu sebagai “amat berbahaya” dan “disengajakan.”

HMCS Montreal telah berada di Laut China Selatan untuk menjalankan rondaan sejak 25 Mei lalu.

USS Chung Hoon
USS Chung-Hoon

 

Baru-baru ini, pihak tentera Amerika Syarikat juga melaporkan tentang tindakan pesawat pejuang China melakukan penerbangan berbahaya berhampiran sebuah pesawat peninjaunya di Laut China Selatan.

Dalam insiden yang berlaku pada 26 Mei itu, sebuah pesawat pejuang China, J-16 telah melakukan manuver berbahaya berhampiran pesawat peninjau Amerika Syarikat, berada hanya 400 kaki daripada muncung pesawat peninjau RC-135 itu.

Beijing menyalahkan Washington atas insiden itu kerana menghantar pesawat-pesawat peninjaunya “sangat hampir” dengan wilayahnya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...