Baykar Tech Bakal Lebar Sayap Ke Sektor Jet Perniagaan, Pesawat Misi Khusus Ketenteraan/Keselamatan ??
Kini, apabila IP dan rekabentuk jet perniagaan Piaggio P1XX itu berada “di dalam tangan” syarikat pembuat dron Turkiye itu, Baykar Technology dilaporkan berhasrat untuk membangunkan jet perniagaan itu serta varian-variannya termasuk untuk kegunaan ketenteraan dan keselamatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, syarikat pembuat dron terkenal Turkiye, Baykar Technology telah berjaya dalam bidaan untuk membeli gergasi aeroangkasa Itali, Piaggio Aerospace yang telah beroperasi sejak 130 tahun lalu.
Menerusi perolehan syarikat aeroangkasa ikonik Itali itu, Baykar dilaporkan turut berjaya memperolehi hak cipta intelek (IP) dan rekabentuk jet perniagaan (business jet) Piaggio P1XX yang dibangunkan pada 2011.
Bagaimanapun pembangunan jet perniagaan Piaggio P1XX itu telah ditamatkan berikutan syarikat Itali itu kekurangan peruntukan kewangan untuk membangunkannya ke peringkat seterusnya.
Kini, apabila IP dan rekabentuk jet perniagaan itu berada “di dalam tangan” syarikat pembuat dron Turkiye itu, Baykar Technology dilaporkan berhasrat untuk membangunkan jet perniagaan itu serta varian-variannya termasuk untuk kegunaan ketenteraan dan keselamatan.
Nampaknya Baykar Technology mahu mengembangkan lagi sayapnya ke arah sektor jet perniagaan, selepas menempa kejayaan di dalam pembangunan dron.
Piaggio P1XX ialah sebuah pesawat jet berkembar yang dicadangkan oleh Piaggio Aero, dengan projek ini bermula sekitar tahun 2006 dengan tujuan membangunkan pesawat yang berbeza daripada model terdahulu, Piaggio P.180 Avanti.
Pada ketika itu, Piaggio menegaskan bahawa reka bentuk P1XX bukan sekadar “peningkatan enjin” bagi P180 Avanti, tetapi merupakan usaha untuk menawarkan alternatif kepada jet sedia ada tanpa mengisi niche baru.
Walaupun pasukan khusus telah bekerja dan menyiapkan reka bentuk P1XX dan mencapai kemajuan melebihi peringkat konsep, namun pada Ogos 2010, Piaggio mengumumkan bahawa pelancaran rasmi jet perniagaan tersebut ditangguhkan disebabkan oleh keadaan pasaran yang lemah.
Namun, syarikat itu terus mempertimbangkan kemungkinan melancarkan P1XX pada masa hadapan apabila keadaan pasaran menjadi lebih baik.
Jet perniagaan seperti Piaggio P1XX itu bukan sahaja boleh berfungsi sebagai jet perniagaan dan komersial, tetapi ia juga boleh dijadikan pesawat khusus untuk melaksanakan misi-misi ketenteraan dan keselamatan termasuk sebagai platform stand-off jammer dan pesawat mini Airborne Early Warning Control (AEWC).
Sebenarnya, banyak negara mengambil pendekatan menggunakan jet-jet perniagaan yang telah diubah suai untuk kegunaan ketenteraan dan keselamatan terutamanya untuk melaksanakan misi seperti pengawasan (surveillance), peperangan elektronik dan pengangkutan VIP dan AEWC.

Antara contoh jet-jet perniagaan yang diubahsuai menjadi platform ketenteraan/keselamatan adalah: Gulfstream G550 CAEW (Conformal Airborne Early Warning) yang asasnya menggunakan jet perniagaanGulfstream G550.
Ia berfungsi sebagai pesawat AEWC dengan negara-negara penggunanya termasuklah Israel (IAF), Itali (AMI) dan negara jiran, Singapura (RSAF). Antara ciri-ciri khasnya adalah ia dilengkapi dengan radar AESA Elta EL/W-2085 yang dipasang pada badan pesawat.
Satu lagi jet perniagaan yang telah diubahsuai menjadi platform ketenteraan/keselamatan adalah Bombardier Global 6000 – E-11A BACN yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dan berfungsi sebagai Relay komunikasi (Battlefield Airborne Communications Node – BACN).
Sistem BACN yang membolehkan komunikasi antara pelbagai unit di medan perang.
Jet perniagaan Dassault Falcon 7X / Falcon 900 MSA juga diubahsuai menjadi platform ketenteraan dan digunakan oleh pasukan Pengawal Pantai Jepun serta Tentera Laut Perancis untuk melaksanakan misi pengawasan maritim dan tugas-tugas ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance).
Ia dilengkapi dengan pelbagai peralatan termasuk sensor elektro-optik dan radar pengawasan maritim.
Jet perniagaan sering menjadi pilihan untuk kegunaan ketenteraan kerana kecekapan bahan api, jarak penerbangan jauh, dan kebolehan diubah suai untuk misi khusus.
