Bangladesh Perolehi Helikopter Penyerang Mi-28NE “Night Hunter”
Komitmen kerajaan Bangladesh terhadap usaha meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya perlu dipuji selepas ia bersetuju untuk memiliki helikopter penyerang Mi-28NE "Night Hunter" yang keupayaan tinggi bagi membolehkan negara itu menangani ancaman keselamatan yang wujud sama ada di sempadan negara itu dengan Myanmar atau India.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun sering diperlekeh sebagai negara yang kurang berkemampuan daripada segi kewangan, tetapi komitmen kerajaan Bangladesh terhadap peningkatan kemampuan angkatan tenteranya perlu dipuji dengan tentera udara negara Asia Selatan itu dilaporkan telah bersetuju untuk memperolehi lapan buah helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” atau “Havoc” buatan Russia bagi memperkuatkan lagi sistem pertahanan negara Asia Selatan itu.
Perolehan helikopter penyerang yang dibangunkan oleh firma Russia, Rostvertol itu dilakukan menerusi rundingan kerajaan-dengan-kerajaan (government-to-government).
Helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” adalah helikopter yang berkemampuan tinggi kerana ia dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara, udara-ke-darat dan meriam 30mm bagi memusnahkan sasaran di darat, udara dan laut, selain kelengkapan lain.
Ia direkabentuk untuk melaksanakan pelbagai misi sama ada siang atau malam dan dalam semua keadaan cuaca.
Dengan berat menghampiri 11 tan, helikopter penyerang itu bakal memberikan Tentera Bangladesh keupayaan yang jitu bagi membolehkan negara itu menangani ancaman keselamatan yang wujud sama ada di sempadan negara itu dengan Myanmar atau India.
Selain meriam 30mm itu yang boleh menembusi soft-skinned and lightly armoured vehicle, helikopter penyerang buatan Russia itu juga dilengkapi sehingga 16 peluru berpandu anti-kereta kebal “Ataka” yang boleh membedil sasaran di darat seperti kereta kebal, kenderaan berperisai dan kubu-kubu pertahanan diperkukuh daripada sejauh 6km dan 10km.
Ia juga boleh membawa peluru berpandu udara-ke-udara “Igla” dan “Strelets” bagi memusnahkan sasaran udara, selain juga direkabentuk untuk membawa pelbagai jenis roket dan bom sehingga berat 500kg.
Helikopter Mi-29NE juga dilengkapi dengan sistem avionik yang moden bagi membolehkan pengesanan pelbagai sasaran dilakukan secara automatik ketika misi sebenar.
Ia juga memiliki sistem thermal “Ohotnik” bagi membolehkannya memproses imej-imej video tidak kira malam atau siang dengan berkesan dan cepat, bersesuaian dengan namanya “Night Hunter” atau “Pemburu Malam.”
Juruterbang helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” juga dilengkapi dengan sistem “Helmet Mounted Identification and Indication System”.
Comments are closed.