Bangladesh Beli Helikopter Penyerang Mi-28NE “Night Hunter”
Dengan berat menghampiri 11 tan, helikopter penyerang itu bakal memberikan Tentera Bangladesh keupayaan yang jitu bagi membolehkan negara itu menangani ancaman keselamatan yang wujud sama ada di sempadan negara itu dengan Myanmar atau India.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Bangladesh dilaporkan telah bersetuju untuk memperolehi lapan buah helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” atau “Havoc” buatan Russia bagi memperkuatkan lagi sistem pertahanan negara Asia Selatan itu.
Perolehan helikopter penyerang yang dibangunkan oleh firma Russia, Rostvertol itu dilakukan menerusi rundingan kerajaan-dengan-kerajaan (government-to-government).
Helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” adalah helikopter yang berkemampuan tinggi kerana ia dilengkapi dengan meriam 30mm bagi memusnahkan sasaran di darat, udara dan laut, selain kelengkapan lain.
Ia direkabentuk untuk melaksanakan pelbagai misi sama ada siang atau malam dan dalam semua keadaan cuaca
Dengan berat menghampiri 11 tan, helikopter penyerang itu bakal memberikan Tentera Bangladesh keupayaan yang jitu bagi membolehkan negara itu menangani ancaman keselamatan yang wujud sama ada di sempadan negara itu dengan Myanmar atau India.
Selain meriam 30mm itu, helikopter penyerang buatan Russia itu juga dilengkapi sehingga 16 peluru berpandu anti-kereta kebal “Ataka” yang boleh membedil sasaran di darat seperti kereta kebal, kenderaan berperisai dan kubu-kubu diperkukuh daripada sejauh 6km dan 10km.
Ia juga boleh membawa peluru berpandu udara-ke-udara “Igla” dan “Strelets” bagi memusnahkan sasaran udara, selain juga direkabentuk untuk membawa pelbagai jenis roket dan bom sehingga berat 500kg.
Helikopter dilengkapi dengan sistem avionik yang moden bagi membolehkan pengesanan sasaran dilakukan secara automatik ketika misi sebenar.
Ia juga memiliki sistem thermal “Ohotnik” bagi membolehkannya memproses imej-imej video tidak kira malam atau siang dengan berkesan dan cepat, bersesuaian dengan namanya “Night Hunter” atau “Pemburu Malam.”
Juruterbang helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” juga dilengkapi dengan sistem “Helmet Mounted Identification and Indication System”.
Bagi sistem enjinnnya pula, helikopter Mi-28NE ini memiliki dua enjin VK-2500 turboshaft yang dibangunkan oleh syarikat Klimov yang memberikannya kuasa 2,200 kuasa kuda setiap satu.
Kelajuan maksimum helikopter penyerang Russia ini adalah 300km sejam, manakala jarak operasinya adalah sejauh 435km.
Bilah kipas helikopter penyerang ini didakwa tidak rosak sekiranya ditembak dengan senjata sehingga kaliber 30mm, manakala kesemua cerminnya adalah kalis peluru.
Selain dioperasikan oleh Tentera Russia, helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter” ini turut digunakan oleh Iraq serta Algeria dan kini Bangladesh.
Sebelum ini Bangladesh dikatakan berminat untuk mendapatkan helikopter penyerang AH-64D “Apache” buatan Amerika Syarikat.
Comments are closed.