Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

AUKUS Di Indo-Pasifik: Bahaya Pakatan Dan Keselamatan Serantau

Objektif penubuhan pakatan AUKUS adalah sebagai strategi pencegahan (deterrence) kuasa China di Indo-Pasifik. Strategi ini mempromosikan arkitektur keselamatan serantau berdasarkan polisi terbuka dan pematuhan undang-undang antarabangsa. 

0 1,848

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Selepas ANZUS (1951) dan QUAD (2007), tanggal 15 September 2021 telah meningkatkan lagi ketegangan rantau Indo-Pasifik apabila Amerika Syarikat mengumumkan penubuhan AUKUS (Australia, United Kingdom dan United States) sebagai satu pakatan strategi untuk meningkatkan kerjasama militeri dan teknologi di antara tiga kuasa besar dunia.

Objektif penubuhan pakatan AUKUS adalah sebagai strategi pencegahan (deterrence) kuasa China di Indo-Pasifik. Strategi ini mempromosikan arkitektur keselamatan serantau berdasarkan polisi terbuka dan pematuhan undang-undang antarabangsa. 

Pakatan AUKUS menunjukkan dua kelakuan negara yang nyata.

Satu ialah pengasasan pakatan di kalangan negara-negara “Anglo” yang mempunyai hubungan yang amat istimewa.

Keduanya ialah tercetusnya hubungan renggang di antara negara-negara English-Saxon dengan Peranchis, yang amat kecewa dengan kelakuan AS yang menamatkan kontrak kapal selam diesel dengan Australia.

Aukus

Kontrak penjualan 12 kapal selam ‘Shortfin Barracuda’  Peranchis ditandatangani dengan Australia pada 2016 bernilai US$90 billion. Apabila Peranchis sedang bersedia memenuhi perjanjian kontrak, AS telah menawarkan tawaran istimewa kepada Australia.

AS menawarkan usaha pembangunan kapal selam berkuasa nuklear, peluru berpandu ‘Tomhawk’, dan kerangka kerjasama pertahanan dan teknologi keselamatan yang canggih.

Canberra membatalkan kontrak dengan Peranchis yang mencetuskan ketegangan trilateral di antara Peranchis-Australia-AS.

Tawaran ini datang dengan penyebaran kuasa nuklear ke negara bukan kuasa nuklear iaitu Australia, bertentangan dengan Perjanjian NPT (Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapon).

Penyebaran kuasa nuklear di Indo-Pasifik membimbangkan negara-negara di rantau ini termasuk Malaysia dan Indonesia.

Perkembangan terbaru di Indo-Pasifik daripada pembatalan kontrak Australia-Peranchis, tawaran pembangunan kuasa nuklear oleh AS dan UK, pembangunan teknologi canggih dalam pakatan AUKUS semakin merosakkan hubungan AS dengan China serta hubungan China dengan UK dan Australia.

Penubuhan pakatan menjerumuskan kuasa-kuasa dunia dalam kancah persaingan ketenteraan yang membawa kepada perimbangan kuasa di Indo-Pasifik.

Kapal Selam
Kapal selam berkuasa nuklear China.

 

Apa yang membimbangkan ialah pakatan dan perimbangan kuasa ini amat merbahaya kepada keselamatan dunia. Strategi penubuhan pakatan telahpun memulakan Perang Dunia I dan Perang Dunia II dalam abad ke 20.

Dalam Perang Dunia I (1914-1919), persaingan senjata merupakan salah satu faktor yang membawa kepada penubuhan pakatan untuk perimbangan kuasa.

Pada abad ke-19 dan awal ke-20, British merupakan kuasa laut yang amat berwibawa. Jerman juga bercita-cita menjadi kuasa laut yang gagah dengan meningkatkan kuantiti armada laut. Jerman juga terlibat dalam persaingan senjata dengan Russia dan Peranchis.

Militarism menjerumuskan mereka dalam penubuhan pakatan ‘The Alliance’ (Britain, France, Russia) dan ‘The Central Power’ (Germany, Austria-Hungary, Italy, Turkey).

Pakatan ini hanya menunggu faktor serta-merta (catalyst factor); pembunuhan putera Austria-Hungary, Archduke Franz Ferdinand di Sarajevo pada Jun 1914 untuk mencetuskan Perang Dunia I. Negara-negara Eropah bertindak berdasarkan perjanjian pakatan, di mana negara-negara mara ke dalam peperangan untuk melindungi sekutu mereka.

Russia turun untuk melindungi Serbia daripada tekanan Austria. Russia ditekan oleh Jerman. Jerman pula diancam oleh Peranchis dan British turun dalam kancah peperangan, diikuti dengan Amerika Syarikat.

Penubuhan Pakatan tentera dan perimbangan kuasa juga mencetuskan Perang Dunia II (1939-1945).

Pakatan (‘Axis Power’ dan ‘Allied Power’), imbangan kuasa, persaingan, nasionalism, dan militarism telah menolak dunia ke dalam kancah peperangan yang lebih dasyat.

Para pemimpin seperti Hitler, Mussolini, Joseph Stalin, dan Emperor Hirohito hilang rasionaliti dalam situasi peperangan untuk membawa kebinasaan. Seramai 70-85 million nyawa dikorbankan dalam peperangan ini.

Bom atom ‘Fatman’ dan ‘Littleboy’ digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima untuk memaksa Jepun menyerah diri dan menamatkan peperangan.

Aukus

Perang Dingin bermula rentetan daripada Perang Dunia II dan berlangsung sehingga 1990. Era pasca Perang Dingin juga penuh dengan krisis berterusan yang sukar diselesaikan.

Strategi pakatan di Indo-Pasifik menyaksikan persaingan kuasa, persaingan senjata, peningkatan militarism, dan perimbangan kuasa.

Apabila China bangkit sebagai kuasa ekonomi yang kuat, AS berfikiran realis (realist) bimbang tentang objektif dan polisi China. AS cuba memelihara “penstabilan hegemoni” (hegemonic stability).

Dalam strategi mencegah kebangkitan China sebagai kuasa hegemon, AS membentuk pakatan-pakatan dengan sekutu-sekutunya. China melihat pakatan AUKUS sebagai suatu ancaman kepada kepentingan nasionalnya. AUKUS juga mencetuskan dilemma sekuriti kepada negara-negara lain di Indo-Pasifik.

Ketegangan di Indo-Pasifik dapat dirasakan selepas penubuhan QUAD (Quadrilateral Security Dialogue di antara US, India, Japan, and Australia) pada 2007 di Indo-Pasifik.

Aukus

Lima implikasi penting tidak dapat dielakkan dalam jangka masa pendek.

Pertama, China boleh meningkatkan kuasa militarism vis-à-vis Amerika Syarikat. Kedua, China boleh menghangatkan isu unifikasi Taiwan dengan tanah besar China. Ke-tiga, India dan negara lain boleh mengikuti langkah Australia dalam pembangunan kapal selam nuclear (proliferasi nuklear dicergaskan, melanggar undang-undang antarabangsa).

Keempat, pakatan ketenteraan boleh dibentuk oleh musuh-musuh politik AS (China, Russia, Iran). Ke-lima, hubungan bilateral dan multilateral dalam European Union boleh terjejas dan hubungan dengan AS boleh dipertikaikan (benih-benih permusuhan lama boleh muncul).

Implikasi jangka masa panjang tidak dapat diramalkan dengan tepat. Kemungkinan besar sejarah berulang dalam memecahkan sistem antarabangsa kepada dua pakatan ketenteraan dan mengheret ke arah Perang Dunia III.

Menyedari bahaya AUKUS, Malaysia merupakan negara awal di rantau ini yang melahirkan rasa tidak senang hati tentang tentang Pakatan ini.

Malaysia risau AUKUS boleh mencetuskan persaingan nuklear yang boleh membawa ketidakstabilan di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan komitmen dalam memelihara rantau Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear, selaras dengan Deklarasi ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Negara-negara ASEAN yang lain mempunyai pendirian lain terhadap penubuhan AUKUS. Indonesia dan Kemboja mempunyai pertimbangan yang sama seperti Malaysia.

Filipina, sekutu AS yang kuat, menyokong AUKUS sebagai pengimbang kuasa terhadap China yang tegas. Singapura dan Vietnam mengalu-alukan Pakatan AUKUS dan berharap ia dapat menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini.

 

Dr Nor Aishah Hanifa

Jabatan Pengajian Strategi

Fakulti Pengajian Pertahanan dan Pengurusan

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...