Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peluru Berpandu Anti-Kapal Turki “Atmaca” Dilancar Guna Pelancar Bergerak

Berbanding ujian pelancaran kali pertama yang dilakukan daripada kapal petang, ujian kedua ini menggunakan pelancar bergerak di daratan (ground-based mobile launcher)  yang mampu membedil sasaran sejauh 220km.

0 3,685

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Turki sekali lagi telah berjaya melakukan ujian penembakan peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan dipanggil “Atmaca.”

Berbanding ujian pelancaran kali pertama yang dilakukan daripada kapal petang, ujian kedua ini menggunakan pelancar bergerak di daratan (ground-based mobile launcher)  yang mampu membedil sasaran sejauh 220km.

Menurut kenyataan daripada pihak Turki, ujian pelancaran peluru berpandu itu menemui kejayaan dengan “Atmaca” yang dilancar daripada darat telah mengenai sasaran yang berada di Laut Hitam.

Atmaca

Kementerian Pertahanan Turki turut berkongsi rakaman video pelancaran itu yang diadakan di utara negara itu di Sinop.

Peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” itu telah dibangunkan oleh syarikat pertahanan  Turki, Roketsan.

Peluru berpandu “Atmaca” dikategorikan sebagai peluru berpandu yang memiliki ketepatan yang tinggi dan jarak jauh yang boleh digandingkan dengan bot-bot peronda, kapal-kapal korvet dan friget. 

Pada ketika ini, kapal-kapal perang Tentera Laut Turki dilengkapi dengan peluru berpandu “Harpoon” buatan Amerika Syarikat,  tetapi bakal digantikan dengan “Atmaca” apabila peluru berpandu keluaran tempatan itu beroperasi. 

Peluru berpandu “Atmaca” berkemampuan membedil sasaran sejauh 220km.

Atmaca
Kawasan dilindungi oleh sisitem peluru berpandu “Atmaca”

 

Usaha membangunkan peluru berpandu anti-kapal buatan Turki itu telah dimulakan pada 2009. 

Peluru berpandu buatan syarikat pertahanan Turki itu akan digunakan oleh kapal-kapal korvet yang dibina di bawah projek kapal kebangsaan “MILGEM” serta kapal-kapal selam negara itu. 

Turki juga dijangka menggunakan pelancar-pelancar bergerak peluru berpandu “Atmaca” di kawasan pesisir pantainya. 

Enjin kepada peluru berpandu ini menggunakan enjin KTJ-3200 yang dibangunkan oleh Kale Group. 

 Turki akan menggantikan kesemua peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat dengan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan tempatan di kesemua kapal-kapal perang milik Tentera Lautnya.

Atmaca

Penggantian peluru berpandu anti-kapal “Atmaca”di kesemua kapal perang Tentera Laut Turki itu akan dilakukan di dalam tempoh dua hingga tiga tahun, melibatkan kira-kira 350 buah peluru berpandu “Harpoon”, menurut sumber kepada portal pertahanan antarabangsa, Defense News.

Tindakan menggantikan peluru berpandu “Harpoon” buatan syarikat Boeing dengan peluru berpandu anti-kapal tempatan “Atmaca” itu akan membantu Turki menjimatkan kira-kira US$500 juta (RM2 bilion).

Penjimatan itu mampu dilakukan kerana harga peluru berpandu “Atmaca” adalah 50 peratus lebih murah berbanding peluru berpandu buatan Amerika Syarikat itu.

Peluru berpandu “Atmaca” merupakan peluru berpandu anti-kapal subsonic dan sea-skimming yang mampu membedil sasaran sejauh 220km menggunakan kepala peledak seberat 250kg.

Atmaca

Peluru berpandu ciptaan Turki itu boleh beroperasi dalam semua keadaan cuaca.

Ia dikatakan amat berkesan terhadap sasaran yang berada di laut lepas atau sasaran di kawasan pesisir pantai.

Pada tahun 2019 selepas hampir 10 tahun dibangunkan, peluru berpandu “Atmaca” yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Turki telah dilengkapkan pada sebuah kapal korvet Tentera Laut Turki, TCG Kinaliada.

Setahun selepas itu pada 2020, peluru berpandu tempatan berjaya dilancarkan buat pertama kali,menyusuli pentauliahannya di dalam Tentera Laut Turki tidak lama selepas itu. — DSA

 

 

Comments
Loading...