Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kami Kini Sebuah Negara Bankrap” – PM Sri Lanka

Rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund - IMF) untuk mendapatkan bantuan bagi memulihkan ekonomi Sri Lanka juga berhadapan jalan sukar kerana ia berunding sebagai sebuah negara bankrap dan bukan sebagai sebuah negara membangun.

0 1,685

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe mengakui bahawa negara Asia Selatan itu kini dikategorikan sebagai sebuah negara yang bankrap, berikutan krisis ekonomi terburuk dialaminya sehingga menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran untuk membeli makanan, ubatan dan minyak.

Rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF) untuk mendapatkan bantuan bagi memulihkan ekonomi Sri Lanka juga berhadapan jalan sukar kerana ia berunding sebagai sebuah negara bankrap dan bukan sebagai sebuah negara membangun.

“Kami kini menyertai rundingan (dengan IMF) sebagai sebuah negara bankrap dan oleh kerana itu kita terpaksa berhadapan dengan proses rundingan yang lebih sukar berbanding rundingan-rundingan sebelum ini,” kata Wickremesinghe kepada parlimen negara itu.

Bankrap
Penduduk Sri Lanka terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan minyak.

 

Oleh kerana Sri Lanka kini adalah sebuah negara yang bankrap, ia perlu mengemukakan pelan hutangnya kepada IMF secara berasingan dan akan disusuli dengan pelbagai lagi siri rundingan sebelum mencapai kata persetujuan untuk pakej bantuan.

Perdana Menteri Sri Lanka itu berharap untuk mengemukakan pelan penstrukturan hutang dan pemulihan ekonomi kepada IMF pada bulan Ogos ini.

Sekiranya pelan itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak, barulah program bantuan pinjaman yang komprehensif oleh IMF dapat dilaksanakan untuk tempoh empat tahun bagi membolehkan Sri Lanka kembali pulih daripada segi ekonomi.  

Sri Lanka yang memiliki 22 juta penduduk sedang berhadapan dengan krisis ekonomi paling teruk dalam sejarahnya apabila simpanan wang asingnya (foreign exchange reserve) jatuh dengan mendadak, dengan kerajaan kehabisan wang dollar Amerika untuk membayar pembelian barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan dan minyak.

Bankrap
Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe

 

Inflasi di Sri Lanka dijangka melonjak sehingga ke tahap 60 peratus pada akhir tahun ini.

Berikutan krisis ekonomi yang teruk itu, kerajaan Sri Lanka terpaksa menutup sekolah-sekolah selain menjimatkan penggunaan minyak untuk sektor-sektor yang amat penting.

Di bandar-bandar penting Sri Lanka termasuk ibu negara, Colombo, penduduk terpaksa beratur panjang selama berjam-jam lamanya untuk membeli minyak dibawah pengawasan ketat anggota polis dan tentera.

Bankrap
Anggota keselamatan Sri Lanka lengkap bersenjata mengawal stesen minyak.

 

Ahad lepas, Menteri Tenaga Sri Lanka Kanchana Wijesekera berkata negara itu hanya mempunyai simpanan minyak selama satu hari.

“Dalam soal minyak dan makanan, negara kita sememangya akan berhadapan dengan krisis sebegini suatu hari kelak. Minyak memang sukar untuk diperolehi dan harga makanan pula melambung,” katanya sambil menambah bahawa peperangan di antara Ukraine dan Russia telah memburukkan lagi keadaan di Sri Lanka. — DSA

 

Comments
Loading...