Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Proton Jangka Mampu Capai Sasaran Jualan 150 Ribu Unit Tahun Ini

Jualan kenderaan Proton kekal rancak bersandarkan produk yang mengguna pakai teknologi berinovasi tinggi yang ditawarkan pada harga kompetitif.

0 306

(AUTO) — Proton Holdings Bhd dijangka mampu mencapai sasaran jualan sebanyak 150,000 unit pada tahun ini walaupun insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah berakhir.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata jualan kenderaan Proton kekal rancak bersandarkan produk yang mengguna pakai teknologi berinovasi tinggi yang ditawarkan pada harga kompetitif.

“Kerajaan telah berkorban selama dua tahun untuk tidak mengambil SST dan sekarang mungkin pihak pengeluar seperti Proton terpaksa berkorban pula untuk mengambil tanggungjawab itu untuk memberi apa yang sepatutnya kepada rakyat dan memastikan industri automotif Malaysia terus berkembang maju,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan eksklusif media ke kilang pemasangan enjin baharu dan berteknologi tinggi di sini hari ini.

proton

Beroperasi sejak April, kemudahan baharu di kilang itu menghasilkan enjin 1.5 TGDI (turbo dengan sistem suntikan bahan api terus), kali pertama dipasang di luar negara China dan merupakan antara barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di negara ini.

Roslan berkata pengenalan engin baharu enjin 1.5 TGDI itu pada model-model keluaran Proton telah mempamerkan peningkatan jualan sekitar 30 peratus pada peringkat permulaan, malah ramai juga pelanggan menyukai versi enjin 1.5 yang ditala pada varian model X70.

Beliau berkata Proton akan mengeluarkan tiga model baharu dalam jangka masa dua tahun dan tidak menolak penggunaan enjin 1.5 TGDI pada model-model baharu itu nanti.

Katanya Proton memperoleh peningkatan tempahan sebanyak 300 peratus pada minggu terakhir sebelum pengecualian SST berakhir pada 30 Jun 2022 berbanding pada minggu-minggu biasa.

“Sebanyak 150,000 unit tempahan telah diterima untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini dan 90,000 unit masih tertunggak berikutan belum dihantar kepada pelanggan.

Proton

“Dijangka 90,000 unit itu dapat diurus pengeluaran dan penghantarannya dalam masa dua hingga enam bulan, bergantung kepada jenis model,” katanya, sambil menganggarkan kadar pembatalan sebanyak 10 peratus daripada tempahan itu mungkin berlaku berikutan perlu menunggu lama.

Proton merekodkan jumlah jualan bagi separuh pertama tahun ini sebanyak 60,124 unit, meningkat sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengeluar kereta nasional ini merekodkan jumlah jualan tahunan sebanyak 114,708 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada 2021, sekali gus menjadi angka penutupan tertinggi bagi tempoh sejak 2014.

“Sehingga akhir Jun 2022, jumlah jualan menepati apa yang dirancangkan cuma sedikit terjejas pada suku pertama berikutan banjir. Namun, pada bulan lima dan enam serta seterusnya, produksi kita akan dipastikan dapat memenuhi keperluan pelanggan,” kata Roslan.

Proton

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Beliau berkata walaupun suasana persekitaran ekonomi berterusan mencabar, isu seperti bekalan cip komputer telah hampir berjaya diatasi hasil kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka meningkat, Roslan berkata masih terlalu awal untuk menilai kesannya terhadap permintaan.

Mengenai pergerakan ringgit, katanya sama ada kelemahan mata wang domestik memungkinkan peningkatan kos atau diserap, masih dalam peringkat perbincangan antara pihaknya dengan rakan kongsi dan vendor pembekal. 

Comments
Loading...