Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

ATM Bakal Tambah Sistem VSHORAD, SHORAD Untuk Pertahanan Udara

Selepas perolehan sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD) dan Short Range Air Defence System (SHORAD), negara perlu memperolehi sistem "Medium Range Air Defence System" (MERAD) untuk menwujudkan sistem pertahanan udara berlapis (layered air defence system) untuk melindungi aset-aset strategik dan taktikal daripada sebarang ancaman udara musuh.

0 7,964

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dilengkapi dengan lebih banyak sistem peluru berpandu pertahanan udara aras dekat dan amat dekat, “Very Short Range Air Defence” (VSHORAD) dan “Short Range Air Defence” (SHORAD) di dalam jangkamasa terdekat ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ketika menjawab pertanyaan lisan oleh Anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus di Dewan Rakyat itu,  beliau memaklumkan bahawa perolehan kedua-dua sistem pertahanan udara itu telah didaftarkan di bawah Second Rolling Plan (RP 2) Tahun 2022 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

RMK-12 adalah perancangan pembangunan selama lima tahun, dengan rancangan pembangunannya akan dilaksanakan bermula pada tahun ini sehingga tahun 2025.

Pada ketika ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilengkapi dengan beberapa sistem pertahanan udara jenis VSHORAD atau MANPADS (Man-Portable Air Defence System) dan SHORAD seperti “Igla” (NATO reporting SA-18 Grouse) buatan Russia, Anza (Pakistan),  “Starstreak” dan “Jernas” sebagaimana yang digunakan oleh Tentera British.

Jernas
Sistem Jernas SHORAD

 

Tidak lama dahulu, kita juga menggunakan sistem MANPAD “FN-6” buatan China , tetapi tidak pasti sama ada sistem itu masih beroperasi atau tidak

Selain sistem peluru berpandu, ATM juga menggunakan sistem pertahanan udara berasaskan kepada meriam dipandu radar seperti Oerlikon 35mm.

Selain itu Menteri Pertahanan juga berkata bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai perancangan untuk sistem pertahanan udara termasuk sistem pertahanan udara jarak sederhana atau “Medium Range Air Defence System” (MERAD) yang lebih berkemampuan dan lebih jauh jarak operasi peluru berpandunya.

Sistem MERAD bagi ATM akan dioperasikan oleh TUDM.

Perolehan sistem-sistem VSHORAD, SHORAD dan MERAD ini akan membantu usaha negara kita dalam menwujudkan sistem pertahanan udara berlapis (layered air defence system) bagi melindungi aset-aset strategik dan taktikal negara daripada sebarang ancaman udara pihak-pihak musuh.

MERAD
Sistem ASTER-30 Tentera Singapura

 

Kenyataan oleh Hishammuddin itu hanya mengesahkan lagi kenyataan yang dibuat oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada majalah pertahanan berbahasa Inggeris tentang perancangan TUDM untuk mengoperasikan sistem pertahanan udara jarak sederhana.

Beliau berkata, perancangan untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana itu adalah selaras dengan program CAP 55 (Capability Development 2055)  yang dirangka oleh TUDM.

“Selaras dengan program CAP 55 TUDM, satu rejimen GBAD (Ground-Based Air Defence) dengan empat bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana akan ditubuhkan. Perancangan teliti mengenainya akan dilaksanakan pada RMK-12.”

“Perolehan sistem itu akan dilakukan secara progresif (berperingkat) sehinggalah satu rejimen (sistem pertahanan udara jarak sederhana) berjaya ditubuhkan dengan lengkap menjelang tempoh pada akhir RMK-15,” kata Panglima TUDM itu dalam temuramah dengan majalah pertahanan itu.

Beliau berkata, perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana itu akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan kemampuan TUDM untuk menjadi sebuah angkatan udara yang lengkap dalam semua spectrum peperangan.

Dengan perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana katanya, ia bakal melihat TUDM memiliki kemampuan “area defence” untuk memberikan perlindungan terhadap aset-aset kritikal dan strategik negara daripada segala bentuk ancaman udara.

MERAD
Anggota tentera Thailand dengan sistem pertahanan udara jarak sederhana KS-1C buatan China.

 

Ackbal juga berkata, Angkatan Tentera Malaysia telah memutuskan supaya pihak TUDM merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam mengoperasikan sistem pertahanan udara jarak sederhana.

Perolehan sistem MERAD bagi ATM adalah langkah yang tepat dan long overdue kerana ia adalah selari dengan perkembangan di rantau ini dimana angkatan tentera beberapa negara jiran telah pun dilengkapi dengan sistem pertahanan udara jarak sederhana.

Singapura dengan sistem MERAD “Spyder” buatan Israel dan ASTER 30 daripada MBDA serta lain-lain, Filipina juga dengan “Spyder,” Indonesia dengan sistem NASAM yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Norway, Kongsberg.

Manakala Thailand pula menggunakan sistem pertahanan udara KS-1C buatan syarikat China Aerospace Science and Industry Cooperation (CASIC) untuk pertahanan udara jarak sederhananyam manakala bagi pertahanan jarak dekat dan amat dekat ia menggunakan kombinasi seperti sistem VL Mica dan lain-lain.

Daripada aspek sistem pertahanan udara jarak sederhana, kita sebenarnya sudah terlewat berbanding negara-negara jiran.

DEFENCE SECURITY ASIA

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

 

Comments
Loading...