Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kenderaan “ANOA 6×6” Keluaran PT Pindad Kini Pilihan?

Adakah lawatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ke kemudahan syarikat PT Pindad di Bandung semalam membawa "khabar gembira" tentang tawaran syarikat Indonesia itu untuk membekalkan kenderaan perisai "ANOA 6x6" kepada Tentera Darat untuk menggantikan "Condor"?

0 3,019

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah melawat kemudahan pengeluaran produk ketenteraan dan komersial milik syarikat PT Pindad, terletak di Bandung.

PT Pindad merupakan syarikat milik kerajaan Indonesia yang terlibat dalam pembuatan produk-produk ketenteraan dan komersial.

Bercakap kepada media selepas lawatan ke PT Pindad itu, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan Malaysia menjalin kerjasama dalam bidang industri pertahanan dengan negara jiran tetangganya itu.

“Jadi bertepatanlah lawatan ini untuk kita lihat daripada segi kerjasama dengan pihak Indonesia,” katanya dan menambah, objektif lawatan ke PT Pindad adalah untuk melihat perkembangan industri pertahanan di Indonesia.

“Mungkin selepas ini kita akan lihat dari segi opportuniti atau peluang bagaimana kita boleh mengadakan kerjasama di antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

PT Pindad
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berdiri di depan kenderaan perisai “ANOA 6×6” semasa lawatannya ke syarikat itu semalam, manakala Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin dan rakan sejawatannya daripada Indonesia, Jeneral Prabowo Subianto berada di atas kenderaan perisai keluaran PT Pindad.

 

Kenyataan Perdana Menteri itu mungkin dibuat secara am dan tidak merujuk terhadap apa-apa perkara spesifik, tetapi oleh kerana PT Pindad sedang mengintai peluang untuk membekalkan kenderaan perisai 6×6 ANOA kepada Tentera Darat untuk menggantikan “Condor”,  maka ia telah mengundang pelbagai spekulasi.

Adakah kenyataan Ismail Sabri itu merupakan suatu petanda bahawa PT Pindad bakal “menerima berita baik” mengenai cadangannya untuk membekalkan kenderaan perisai “ANOA” kepada Tentera Darat?

Walaupun Kementerian Pertahanan belum mengeluarkan sebarang tender tentang perolehan kenderaan perisai 6×6, tetapi ramai dikalangan pemain-pemain industri mengetahui bahawa ia bercadang mendapatkan kira-kira 400 buah kenderaan perisai 6×6 untuk menggantikan kenderaan perisai “Condor”.

Adakah kenderaan perisai “ANOA” keluaran PT Pindad itu bakal menjadi satu lagi bukti kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia? Sebenarnya PT Pindad telah lama memasarkan kenderaan perisai “ANOA” itu kepada Malaysia, tetapi tidak beroleh kejayaan setakat ini.

Tetapi pada ketika itu tiada keperluan untuk Malaysia memperolehi kenderaan perisai 6×6 yang baru kerana Tentera Darat masih aktif menggunakan “Condor.

Hanya setelah Tentera Darat menamatkan perkhidmatan “Condor” , maka peluang untuk PT Pindad dan kenderaan perisai keluarannya “ANOA 6×6” itu muncul.

Bagaimanapun PT Pindad perlu bersaing dengan syarikat-syarikat lain, antaranya seperti FNSS yang menawarkan PARS 6×6 serta Hyundai ROTEM yang turut berminat untuk membekalkan kenderaan perisai 6×6 “K806” keluarannya sekiranya Kementerian Pertahanan mengeluarkan tender secara rasmi kelak.

PT Pindad
Kenderaan berperisai Hyundai Rotem K806

 

Di atas kertas, mungkin syarikat FNSS daripada Turki  itu sedikit ke hadapan dalam saingan berikutan kerjasamanya dengan syarikat tempatan, DEFTECH sebelum ini dalam menghasilkan kenderaan tempur “Gempita” dan “Adnan”.

Kenderaan perisai “ANOA” itu datang dalam pelbagai varian daripada APC kepada Armoured Fighting Vehicle (AFV) dan lain-lain lagi.

Sebenarnya kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan Indonesia bukanlah sesuatu yang asing dengan contoh terbesar sebelum ini adalah pembelian lapan buah pesawat pengangkut CN-235 yang dibangunkan secara bersama oleh PT Dirgantara Indonesia dengan rakan Sepanyolnya, CASA.

TUDM
Salah sebuah pesawat CN-235 TUDM yang dinaiktaraf kepada versi MSA sedang menjalani ujian penerbangan di kemudahan PT Dirgantara Indonesia (PTDI). Kelihatan Belly Radome dan FLIR telah pun siap dipasang.

 

Kerjasama itu diteruskan sehingga hari ini dengan tiga buah pesawat pengangkut CN-235 TUDM itu kini berada di kemudahan PTDI di Bandung bagi kerja-kerja menaiktarafnya kepada varian Maritime Surveillance Aircraft (MSA).

Usaha-usaha menaiktaraf tiga buah pesawat CN-235 milik TUDM kepada varian MSA itu dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat menerusi program Maritime Security Initiative (MSI).

Selain, kenderaan perisai “ANOA”, syarikat PT Pindad dengan kerjasama syarikat Turki, FNSS turut membangunkan kereta kebal sederhana yang dipanggil Indonesia “Harimau” manakala pihak Turki pula merujuknya sebagai “Kaplan MT”.

Sesuai untuk menjadi pengganti kepada kereta kebal ringan “Alvis Scorpion” yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Tentera Darat.

Berat kereta kebal sederhana “Harimau” ini adalah sekitar 30 hingga 35 tan dan persenjataan utamanya adalah meriam 105mm berbanding kereta kebal ringan “Scorpion” yang dilengkapi dengan meriam Cockerill 90mm.

PT Pindad
Kereta kebal sederhana “Harimau” atau Kaplan MT yang dibangunkan secara bersama oleh PT Pindad dan syarikat Turki, FNSS.

 

Selain senjata-senjata berat, PT Pindad juga menghasilkan pelbagai senjata ringan daripada assault rifle 5.56mm kepada sniper rifle yang mungkin boleh menarik minat ketiga-tiga cabang angkatan tentera Malaysia.

PT Pindad ini adalah sebuah syarikat pembuat senjata yang amat berpengalaman kerana ia telah beroperasi sejak 1983.

All the best kepada PT Pindad.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.
Comments
Loading...