Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi Bakal Perolehi 12 Buah Kapal Destroyer Type 052D Buatan China?

Jika Arab Saudi benar-benar membeli 12 buah kapal destroyer Type 052 buatan China itu, ia hanya mengesahkan perubahan mendadak situasi geo-politik di Timur Tengah,dengan Riyadh yang dahulu rapat dengan Washington kini menjalin hubungan yang semakin rapat dengan Beijing serta Moscow.

2,746

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penganalisis pertahanan di Timur Tengah mendakwa Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

Kapal destroyer Type 052D kelas-Luyang itu merupakan di antara kapal perang termoden dan paling berkemampuan di dalam armada Tentera Laut China,seringkali disamakan dengan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Jika Riyadh benar-benar membeli sejumlah besar kapal perang buatan China itu, ia hanya mengesahkan perubahan mendadak situasi geo-politik di Timur Tengah,dengan Arab Saudi menjalin hubungan yang semakin rapat dengan Beijing.

Beijing merupakan seteru kepada Amerika Syarikat, yang sejak sekian lama merupakan pendokong utama kerajaan Arab Saudi serta pembekal utama pelbagai jenis senjata kepada angkatan tenteranya.

Hasil usaha China juga, hubungan di antara Riyadh dan Teheran akhir-akhir ini juga semakin akrab.

Type 052D
Kapal destroyer Tentera Laut China, Type 052D

 

Ketika hubungan diantara Amerika Syarikat dan Arab Saudi semakin dingin (bermula sejak pemimpin parti Demokrat mengetuai Rumah Putih), hubungan di antara Riyadh, Teheran dan Beijing serta Russia pula semakin erat.

Walauapapun, sistem persenjataan buatan syarikat pertahanan China semakin mendapat tempat di Timur Tengah, sebuah rantau yang selama ini didominasi oleh syarikat dan konglomerat pertahanan Amerika Syarikat serta negara-negara sekutunya.

Keadaan geo-politik di Timur Tengah semakin berubah, dengan China dan Russia mengambilalih peranan aktif yang dimainkan oleh Amerika Syarikat sebelum ini. 

Ok berbalik kepada spekulasi perolehan sehingga 12 buah kapal perang Type 052DE China oleh Arab Saudi, para penganalisis ketenteraan serantau mengatakan bahawa perolehan itu sekiranya direalisasikan bakal menjadikan Tentera Laut Arab Saudi sebagai tentera laut terkuat dirantau itu.

Type 052D

Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya juga mengakui keupayaan kapal perang Type 052D itu.

Baru-baru ini, Beijing mengumumkan bahawa ia ingin menawarkan kepada pembeli-pembeli “yang berkemampuan” untuk memperolehi kapal perang Type 052DE, yang disifatkan sebagai antara kapal perang paling berkemampuan China.

Kapal destroyer Type 052DE (varian eksport) mula diperkenalkan di dalam Tentera Laut China pada tahun 2014.

Pakar-pakar ketenteraan China mendakwa kapal perang Type 052D seberat 7,500 tan dan sepanjang 161 meter itu merupakan kapal perang pertahanan udara paling moden di pasaran antarabangsa ketika ia mula-mula diperkenalkan.

Type 052D

Dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array), Vertical Launch System (VLS) yang berkemampuan melancar pelbagai jenis peluru berpandu dan sistem fire-control termoden, Beijing membangunkan kapal perang Type 052D untuk memberikan saingan kepada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang “bersimpang-siur” di Laut China Selatan dan perairan di Indo-Pasifik.

Selain itu, kapal perang Type 052D itu turut dilengkapi dengan 64 buah cell VLS yang berkemampuan melancarkan peluru-peluru berpandu untuk menangani ancaman darat, udara, kapal serta bawah permukaan dibantu oleh radar AESA yang berkuasa tinggi itu.

Aegis Ashore
Kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson diiringi kapal pemusnah kelas-Arleigh Burke, USS Bunker ketika memasuki Teluk Manila tidak lama dahulu.

 

Kini selepas 25 buah kapal destroyer Type 052D ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut China dan enam buah masih dalam pembinaan, Beijing  telah mengumumkan persediaannya untuk mengeksport di antara kapal perang termodennya itu kepada mana-mana negara yang berminat untuk memperolehinya.

Harga bagi sebuah kapal destroyer kelas-Arleigh Burke adalah kira-kira US$1.8 billion (RM7.2 bilion) dan sehingga Mei tahun lepas, Tentera Laut Amerika Syarikat memiliki sebanyak 22 buah kapal perang terbabit.

Adalah dijangkakan harga bagi sebuah kapal destroyer Type 052D adalah jauh lebih kurang berbanding harga sebuah kapal destroyer Arleigh Burke. — DSA 

APPPS

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: [email protected]

 

 

Comments are closed.