Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sepanyol Mahu Lelong Kapal Selamnya “Mistral” Pada RM600,000 Atau Lupus Besi Buruk

Walaupun ditawar pada harga US$150,000 (RM600,000) kepada mana-mana pembeli yang berminat, tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil ke hadapan untuk membeli kapal selam kelas-Agosta, "Mistral" milik Tentera Laut Sepanyol yang telah dilucut tauliah dan kini mahu melupuskannya sebagai besi buruk sahaja.

0 2,293

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Selepas menabur bakti selama 35 tahun dengan Tentera Laut Sepanyol, kapal selam kelas-Agosta bernama “Mistral” milik tentera laut negara itu telah dilelong oleh lembaga perlupusan di Cartagena, (sebuah wilayah negara itu) pada harga permulaan sebanyak US$150,000 (RM600, 000).

Walaupun dilelong pada harga RM600,000, namun sehingga kini tiada pihak tampil ke hadapan untuk membeli kapal selam itu yang telah dilucut tauliah daripada perkhidmatan tentera laut Sepanyol pada pertengahan tahun 2020.

Pihak Tentera Laut Sepanyol bercadang mahu menjual kapal selam kepada syarikat yang khusus dalam kerja-kerja perlupusan besi buruk selepas ia mengeluarkan pelbagai peralatan dan sistem misi daripada kapal selam terbabit. 

Secara dasarnya, Tentera Laut Sepanyol mahu menjual kapal selam “Mistral” itu sebagai besi buruk sahaja.

Namun, walau hendak menjualnya sebagai besi buruk, masih belum ada pihak yang tampil ke hadapan untuk membelinya.

Mistral
Kapal selam Sepanyol “Mistral”

 

Di Cartagena, sebuah badan sivik telah mengemukakan cadangan untuk meletakkan bahagian hadapan (bow) kapal selam itu dan bahagian (sail) yang menempatkan periskop serta menara komunikasi di sebuah bulatan (roundabout) di bandar terbabit.

Initiatif itu tercetus pada ketika pihak berkuasa tempatan di Cartagena itu bercadang mahu menjadikan sebuah lagi kapal selam yang telah dilucutkan perkhidmatannya di Tentera Laut Sepanyol “Tonina” sebagai muzium dengan kerjasama syarikat pembuat kapal, Navantia dan Tentera Laut Sepanyol.

Kapal selam “Mistral” telah ditamatkan perkhidmatan oleh Tentera Laut Sepanyol pada 10 Jun 2022 dan diletakkan di Cartagena sejak daripada “hari persaraannya.”

Sejak “bersara”, Tentera Laut Sepanyol dengan sokongan syarikat, Navantia telah bertindak menanggalkan pelbagai alatan dan sistem kapal selam “Mistral” yang boleh digunakan sebagai alat ganti untuk dua buah kapal selam yang masih digunakan, S-71 Galerna dan S-74 Tramontana.

Mistral
Kapal selam “Mistral” Sepanyol

 

Sebahagian daripada peralatan dan sistem kapal selam “Mistral” juga akan diserahkan kepada Sekolah Kapal Selam Almirante Mateo Garcia de los Reyes untuk digunakan bagi melatih krew-krew kapal selam Tentera Laut Sepanyol.

Kapal selam “Mistral” adalah kapal selam ketiga daripada empat buah kapal selam Agosta-90B, yang juga dikenali sebagai kelas-Galerna menggunakan rekabentuk Perancis.

Selain Sepanyol, kapal selam kelas Agosta-90B turut digunakan oleh Tentera Laut Perancis dan Tentera Laut Pakistan.

Ia telah dibina di limbungan kapal E. N Based di Cartagena bermula pada November 1983.

Agosta
Kapal selam Agosta yang pernah dijadikan platform untuk melatih krew kapal selam TLDM yang kini dijadikan muzium di Melaka.

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga pernah mengoperasi kapal selam Agosta untuk suatu jangka masa pendek iaitu sebagai platform latihan krew kapal selam kita sebelum mereka cukup terlatih mengendalikan kapal selam Scorpene.

Kini, kapal selam Agosta itu telah dijadikan sebagai muzium kapal selam dan berada di Melaka untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Sepanjang di antara 68 hingga 70 meter dan berat 1,760 tan, kapal selam “Mistral” yang memulakan perkhidmatan dengan Tentera Laut Sepanyol pada tahun 1977 boleh membawa 70 orang krew, selain boleh dilengkapkan dengan 16 butir torpedo dan peluru berpandu anti-kapal Exocet SM39.

Sepanjang perkhidmatannya selama 35 tahun dengan Tentera Laut Sepanyol, kapal selam “Mistral” itu telah menghabiskan sebanyak 3,039 hari di lautan, belayar sejauh 243,468 batu nautika, 69,289 jam dengan 43,776 jam berada di bawah permukaan. – – DSA

Apps

DEFENCE  SECURITY ASIA  APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...