Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua Dari Tiga Kapal OPV APMM Diserah Tahun ini

"Pada masa ini, peratus kemajuan keseluruhan pembinaan ketiga-ketiga OPV APMM ialah sebanyak 74.62 peratus dan pihak syarikat pembina komited untuk menyerahkan dua buah kapal OPV pada tahun ini, manakala kapal OPV terakhir (ketiga) dijangka akan diserahkan pada tahun hadapan. "

0 3,031

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Dua daripada tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (Offshore Patrol Vessel) dijangka akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada pertengahan dan hujung tahun ini, kata Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan menterinya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun kapal-kapal OPV milik APMM itu sepatutnya siap dan diserahkan pada Mac dan Oktober tahun ini, tiada tambahan kos akan dikenakan terhadap kontrak itu.

“Pada masa ini, peratus kemajuan keseluruhan pembinaan ketiga-ketiga OPV APMM ialah sebanyak 74.62 peratus dan pihak syarikat pembina, komited untuk menyerahkan dua buah kapal OPV pada tahun ini, manakala kapal OPV terakhir (ketiga) dijangka akan diserahkan pada tahun hadapan,” katanya.

APMM
Lakaran grafik kapal OPV milik APMM apabila ia siap kelak.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan mengemukakan usul mengenai penggantian segera aset-aset APMM yang sudah uzur.

Pada 6 Jan lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta, projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac dan Oktober hadapan.

Beliau, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama.

Namun Saifuddin memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek kapal OPV milik APMM yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan pada tahun ini.

APMM
Salah sebuah kapal OPV milik APMM yang sedang dibina.

 

Dalam sesi yang sama, Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa APMM telah memainkan peranan yang penting, dalam memastikan perairan negara sentiasa dalam keadaan aman dan terpelihara daripada sebarang perlakuan jenayah, serta mengurangkan kehilangan nyawa dan harta benda di laut.

“Sebagai agensi tunggal penguatkuasa di laut serta peneraju dalam mencari dan menyelamat maritim, APMM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan aset-asetnya bagi melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan,” katanya.  

Syarikat THHE Destini memperolehi kontrak sebanyak RM738.9 juta daripada kerajaan pada Januari 2017 untuk membekal, menguji dan mentauliah tiga buah kapal OPV untuk APMM di dalam tempoh 42 bulan.

THHE-Destini dimiliki 51 peratus oleh Destini Berhad manakala 49 peratus dimiliki oleh TH Heavy Engineering Bhd.  

Bagaimanapun pada akhir 2021, TH Heavy membeli 51 peratus saham yang dimiliki oleh Destini.

Kapal OPV 1 milik APMM yang dinamakan Tun Fatimah itu sepatutnya dilancarkan pada 13 Sept,  sebelum tarikh pelancarannya dilanjutkan kepada 10 Oktober.

Kapal Maritim Tun Fatimah itu dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali di perairan Sarawak yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal peronda China. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...