Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal China Meronda Di Beting Patinggi Ali Selama 316 Hari Tahun Lepas

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington, kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) hampir setiap hari sepanjang tahun lepas.

0 1,582

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Analisis oleh badan penyelidik antarabangsa mendapati rondaan oleh kapal-kapal pengawal pantai milik China pada tahun lepas di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk yang jelas terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia,  adalah lebih meluas dan agresif.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington, kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) hampir setiap hari sepanjang tahun lepas.

Beting Patinggi Ali terletak  84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak         berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Luconia Shoals

AMTI menganalisis data AIS daripada tahun 2022 di lima ciri maritim di Laut China Selatan yang kerap menerima rondaan daripada kapal-kapal pengawal pantai China.

Ciri-ciri maritim itu adalah Second Thomas Shoal, Beting Patinggi Ali,Scarborough Shoal, Vanguard Bank dan Thitu Island.

Menurut AMIT, tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan secara menyeluruh rondaan kapal-kapal pengawal pantai China di ciri-ciri maritim itu Laut China Selatan.

“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik itu.

Laporan oleh AMTI itu menunjukkan kapal-kapal pengawal pantai China itu berada di Beting Patinggi Ali hampir sepanjang 360 hari pada tahun lepas.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

Bilangan hari di mana kapal-kapal peronda pantai China meronda di Beting Patinggi Ali adalah kedua tertinggi di antara kelima-lima ciri maritim di Laut China Selatan.

Ia hanya dibelakang Scarborough Shoal yang menyaksikan bilangan hari rondaan kapal-kapal China meronda pada tahun lepas meningkat kepada 344 hari daripada 287 hari pada 2020.

Sementara itu, bilangan hari kapal-kapal pengawal pantai China meronda di Vanguard Bank, yang merupakan lokasi utama minyak dan gas Vietnam telah meningkat sekali ganda daripada 142 hari pada 2020 kepada 310 hari pada tahun lepas.

Bagi Second Thomas Shoal pula, rondaan kapal-kapal pengawal pantai China telah meningkat daripada 142 hari pada 2020 kepada 310 hari pada 2022, manakala bagi Pulau Thitu milik Filipina, rondaan kapal-kapal China telah meningkat kepada 208 hari pada tahun lepas, menurut AMTI.

Kapal-kapal pengawal pantai China bersama-sama bot militia maritim miliknya kekal meronda hampir setiap hari di beberapa lokasi Laut China Selatan pada tahun lepas, sekaligus membuktikan kesungguhan Beijing untuk menguatkuasakan kawalan terhadap kawasan maritim yang termasuk dalam “Nine Dash Line”.

Beting

AMTI mengatakan, memandangkan data-data yang diperolehinya adalah daripada AIS tidak lengkap, maka berkemungkinan bilangan hari kapal-kapal pengawal pantai China meronda di Laut China Selatan adalah lebih tinggi.

Terdapat kapal-kapal pengawal pantai China tidak dapat dipantau menerusi platform AIS — samada kerana transceiver AIS itu ditutup atau tidak dapat dikesan oleh satelit.

Sementara itu, bekas pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat Kolonel (B) Raymond M. Powell memberitahu Defence Security Asia bahawa walaupun dakwaan Nine Dash Line oleh China itu telah ditolak oleh Tribunal Arbitral Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016, namun Beijing meneruskan kempen agresif untuk menguasai dan mengawal perairan ZEE milik negara-negara jirannya.

China menurut beliau, dalam jangka masa panjang, menerusi penonjolan kuasa yang berterusan akan melemahkan tentangan negara-negara terbabit dan memaksa mereka melupuskan hak-hak maritim mereka yang sah itu.

Powell merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...