Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jepun Sumbang “Long Range Acoustic Device” (LRAD) Kepada APMM

Juga digelar sesetengah pihak sebagai “Voice of God”, LRAD adalah sejenis “senjata” tetapi jika dibandingkan dengan senjata konvensional lain yang digunakan oleh anggota tentera, LRAD hanya mengeluarkan bunyi yang amat kuat  sehingga boleh mencederakan serta menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa yang disasarkannya.

0 2,484

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Jepun telah menyumbang alatan “Long Range Acoustic Device” (LRAD) kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi digunakan dalam tugasan agensi itu untuk memastikan keselamatan perairan Malaysia.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, peralatan yang didermakan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) akan digunakan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang maritim oleh APMM di perairan Malaysia.

Alatan LRAD itu akan diserahkan kepada pihak Malaysia sejurus selepas ia selesai menjalani prosedur yang ditetapkan.

“Sebelum ini, Jepun melalui JICA telah menghantar pakar ke APMM untuk melaksanakan pelbagai projek kerjasama melibatkan teknikal dalam bidang penguatkuasaan undang-undang maritim, operasi mencari dan menyelamat dan sebagainya sejak penubuhan APMM pada 2005,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Jepun turut menyumbang dua kapal peronda besar, KM Arau dan KM Pekan ke Malaysia pada 2016.

LRAD
LRAD yang digunakan oleh TUDM. (kredit TUDM)

 

Kedua-dua kapal itu telah memainkan peranan penting dalam melindungi perairan Malaysia sehingga hari ini, menurutnya.

Sekitar tahun 2020, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengeluarkan beberapa keping gambar di dalam media sosialnya menunjukkan krew helikopter HC225M miliknya mengendalikan peralatan dipanggil LRAD.

Gambar-gambar itu turut menunjukkan Panglima TUDM ketika itu Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad melihat dengan lebih dekat pengendalian alatan LRAD  itu oleh krew helikopter HC225M TUDM itu.

Setakat ini tiada maklumat mengenai jumlah alatan LRAD digunakan oleh TUDM/Angkatan Tentera Malaysia (ATM), walaupun terdapat laporan mengatakan bahawa TUDM memperolehi tiga buah alatan itu untuk digunakan oleh tentera udara.

Di Amerika Syarikat penggunaan alatan LRAD oleh agensi penguatkuasaannya adalah agak meluas, walaupun pihak-pihak tertentu terutamanya masyarakat sivil membantah penggunaan LRAD terhadap mereka yang berhimpun secara aman.

LRAD
Tentera Ukraine juga menggunakan alatan LRAD.

 

Kita juga tidak mempunyai maklumat syarikat pembuat alatan LRAD yang digunakan oleh anggota tentera kita dan tujuan apakah ATM atau TUDM dalam menggunakan LRAD itu.

Bagaimanapun, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menggunakan LRAD ini di rantau Asia Tenggara kerana Singapura juga melengkapkan kapal Littoral Mission Vessel (LMV) dengan LRAD, dan pasukan polis Filipina turut menggunakannya “meriam bunyi” itu.

Apakah LRAD?

Juga digelar sesetengah pihak sebagai “Voice of God”, LRAD adalah sejenis “senjata” tetapi jika dibandingkan dengan senjata konvensional lain yang digunakan oleh anggota tentera, LRAD hanya mengeluarkan bunyi yang amat kuat  sehingga boleh mencederakan serta menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa yang disasarkannya.

Sebab itulah LRAD walaupun adalah senjata non-lethal, tetapi ia juga dipanggil “Meriam Bunyi” (Sound Cannon) dan “Senjata Sonic” (Sonic Weapon).

Menurut syarikat-syarikat yang membangunkan LRAD, kegunaan utama alatan ini adalah untuk berkomunikasi dalam jarak yang jauh (long-range communications), tetapi terdapat kegunaan lain yang selalunya LRAD digunakan.

LRAD
LRAD digunakan oleh tentera laut Jepun.

 

Memandangkan LRAD itu boleh menghasilkan bunyi yang amat kuat, maka ia kerapkali digunakan untuk untuk mengawal perhimpunan tanpa menggunakan sebarang kekerasan menerusi penggunaan senjata-senjata konvensional seperti baton, gas pemedih mata dan lain-lain.

Dengan mengeluarkan bunyi yang amat kuat, penggunaan LRAD itu boleh menyebabkan mangsa mengalami kerosakan otak sederhana, kehilangan pendengaran secara kekal, tinnitus (berdesing dalam telinga), sakit telinga, pening kepala dan kehilangan keseimbangan badan.

LRAD ini digunakan oleh pasukan-pasukan penguatkuasaan undang-undang dan agensi keselamatan serta pertahanan untuk memberikan amaran kepada sasaran dalam jarak yang jauh, dengan laporan mengatakan LRAD boleh menghasilkan bunyi yang kuat sehingga 5.5km jauhnya.

Ia juga digunakan untuk menghalau haiwan seperti burung daripada menghampiri kawasan lapangan terbang dan kawasan-kawasan strategik yang lain.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Tentera Amerika menggunakan LRAD di Iraq dan Afghanistan untuk memberi amaran kepada orang awam daripada menghampiri kawasan-kawasan yang dikawalnya selepas penggunaan kaedah amaran biasa seperti bendera, flares serta tembakan amaran tidak dihiraukan oleh penduduk tempatan.

Mereka mendapati bunyi dihasilkan oleh LRAD amat kuat sehingga mereka yang berada dalam kenderaan yang bising pada jarak jauh masih boleh mendengar bunyi dihasilkan oleh alatan itu dengan jelas. — DSA

Comments
Loading...